Menteri sumber manusia berkata keputusan berkaitan pengambilan pekerja asing dibuat berdasarkan keperluan industri dan sektor.

Ramanan mengulas kenyataan seorang timbalan menteri Bangladesh bahawa kira-kira 200,000 pekerja Bangladesh akan diambil Malaysia secara berperingkat dalam tempoh enam bulan bermula hujung bulan ini.
Mengulas lanjut, Ramanan berkata jumlah itu tidak menggambarkan keperluan semasa negara.
“Mana masuk akal 200,000 nak datang dalam masa enam bulan. Adakah itu bermaksud setiap hari kita nak bawa 1,000 lebih warga Bangladesh masuk Malaysia. Tak logik, tak masuk akal langsung,” katanya kepada FMT.
Ramanan berkata, beliau turut sudah berbincang dengan rakan sejawatnya dari Bangladesh berhubung perkara itu dan mendapati terdapat kekeliruan mengenai kenyataan tersebut.
Semalam, Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan, Pembangunan Luar Bandar dan Koperasi Bangladesh, Mir Shahe Alam, berkata Malaysia merancang mengambil kira-kira 200,000 pekerja Bangladesh dalam tempoh enam bulan akan datang.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Bangladesh, Shuhada Othman, bertemu dengan Menteri Kerajaan Tempatan, Pembangunan Luar Bandar dan Koperasi, Abdul Moyeen Khan.
Terdahulu hari ini, Jurucakap Kerajaan Fahmi Fadzil turut menafikan dakwaan tersebut dan berkata kenyataan dibuat timbalan menteri Bangladesh itu tidak mewakili pendirian rasmi Dhaka.
Ramanan berkata, keputusan berkaitan pengambilan pekerja asing dibuat berdasarkan keperluan industri dan sektor, selaras dengan siling yang ditetapkan Kementerian Ekonomi menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
“Memang (kerajaan komited kurangkan pekerja asing). Jemaah Menteri pun telah membuat keputusan mengikut siling yang telah ditetapkan oleh Kementerian Ekonomi ikut RMK-13.
“Sekiranya betul-betul ada keperluan, baru kita berbincang di Kabinet,” katanya.
Katanya, jumlah pekerja asing yang diperlukan tidak boleh ditentukan secara umum, sebaliknya agensi kawal selia (AKS) bagi setiap sektor perlu menilai keperluan sebelum sebarang keputusan dibuat.
Sebelum ini kerajaan memaklumkan Malaysia akan mengekalkan had 13% ke atas pekerja asing daripada jumlah tenaga kerja Malaysia, selepas mengurangkan kebergantungan negara terhadap buruh asing daripada 15% dan berhasrat menurunkannya lagi kepada 10% menjelang 2030.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin, berkata Malaysia tidak akan meningkatkan kebergantungan kepada buruh asing walaupun ada permintaan daripada perniagaan. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.