Peguam Abdul Azeez Abdul Rahim hari ini memberi penjelasan dari pihaknya mengapa bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji itu memakai baju lokap polis dan bergari sewaktu dibawa ke mahkamah hari ini.
Amer Hamzah Arshad mendakwa Abdul Azeez pada mulanya dibenarkan memakai pakaian biasa sebelum dibawa keluar dari lokap polis.
Bagaimanapun, dakwa peguam terbabit, Abdul Azeez diarahkan menukar kepada pakaian lokap berwana ungu bagi mematuhi prosedur operasi standard Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Beliau kemudiannya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen (Jenayah) 2 bagi permohonan reman polis sambil memakai pakaian tersebut dan perintah reman selama dua hari diluluskan terhadapnya," kata Amer Hamzah dalam kenyataan.
Dia berkata Abdul Azeez yang juga bekas Ketua Putera Umno dan bekas Ahli Parlimen Baling kekal di bawah jagaan PDRM sepanjang tempoh berkenaan, manakala gari yang dipakaikan pula milik polis, bukannya SPRM.
"Selepas prosiding reman, Abdul Azeez terus dibawa dari Mahkamah Sesyen (Jenayah) 2 ke Mahkamah Sesyen (Jenayah) 9 bagi pembacaan pertuduhan SPRM terhadapnya.
"Sepanjang tempoh itu - termasuk semasa pemindahan dari satu mahkamah ke mahkamah lain - anak guam kami kekal di bawah tahanan polis.
"Beliau tidak dibebaskan daripada tahanan polis di antara kedua-dua prosiding, dan tidak diberi sebarang peluang untuk menukar pakaian lokap sebelum dihadapkan ke Mahkamah Sesyen (Jenayah) 9," katanya kepada Malaysiakini.
Terdahulu SPRM mengeluarkan kenyataan menjelaskan mengapa ahli politik terbabit muncul di mahkamah dengan pakaian ungu.
Kata agensi antirasuah tersebut, ia adalah pilihan Abdul Azeez dan bukan arahan mereka.
/file/attachments/orphans/azeez3123_784659.jpg)
"Sebelum dibawa ke mahkamah, beliau dinasihati pegawai SPRM serta pegawai polis yang mengiringi dia dan juga peguamnya untuk menukar kepada pakaian biasa selain menyatakan tidak perlu memakai gari.
"Bagaimanapun, dia berkeras untuk kekal memakai pakaian lokap dan juga gari berkenaan sehingga proses pertuduhan selesai dibacakan.
"Justeru, SPRM ingin menegaskan bahawa pemakaian baju lokap dan gari terhadap dia bukan atas arahan atau kehendak mana-mana pihak, khususnya SPRM," kata agensi tersebut.
Namun, Amer Hamzah berkata pihaknya "keliru" dengan kenyataan yang disuarakan SPRM.
"Bagi mengelakkan sebarang keraguan, anak guam kami berada di bawah tahanan PDRM sepanjang masa, dan pakaian lokap serta gari berkenaan berpunca daripada tahanan polis tersebut," katanya.
Dia menegaskan sebarang dakwaan bahawa Abdul Azeez secara sukarela memilih untuk tampil sedemikian adalah tidak benar dan memberi gambaran mengelirukan mengenai keadaan sebenar semasa dihadapkan ke mahkamah.
Tambahnya, Abdul Azeez, 59, mempertahankan semua haknya, termasuk untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang mencipta, menyiarkan, menyebarkan atau meneruskan naratif palsu atau mengelirukan mengenai insiden berkenaan.
Abdul Azeez mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan salah guna kuasa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Dia didakwa menyalahguna jawatan sebagai Pengerusi Tabung Haji pada 2014 untuk menerima suapan berupa jawatan Pengerusi Putrajaya Perdana yang menawarkan ganjaran RM690,000setahun, sebuah kereta BMW Siri 7 serta pemandu peribadi. - Mkini

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.