Perdana menteri berkata kerjasama baik itu antara faktor menyumbang kepada kestabilan politik dan membolehkan kerajaan merancang hala tuju negara.

Jelasnya, kerjasama dalam Jemaah Menteri antara faktor menyumbang kepada kestabilan politik dan membolehkan kerajaan merancang hala tuju negara.
“Betul, kita tidak menafikan prestasi kita membanggakan kerana dasar jelas, politik stabil, kerjasama ada dalam Jemaah Menteri, walaupun kadang-kadang dalam media sosial itu lain sedikit.
“Tapi dari segi kerjasama, umumnya kita muafakat dengan baik dan ini memberikan gambaran kestabilan dan boleh kita merencanakan untuk negara,” katanya pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Perladangan dan Komoditi di Putrajaya.
Beliau berkata, kerajaan perlu memanfaatkan kestabilan politik itu untuk meneruskan rancangannya dan melaksanakan dasar yang memanfaatkan negara.
Beliau turut mengingatkan semua pihak tidak terlalu selesa dengan pencapaian mereka, tetapi terus berusaha meningkatkan prestasi kerajaan.
Sebelum ini, Bloomberg memetik sumber sebagai berkata, hubungan Anwar dan Timbalannya, Zahid Hamidi semakin tegang menyebabkan mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini terpaksa ditamatkan lebih awal.
Menurut laporan itu, ketegangan antara Anwar dan timbalannya berpunca daripada keputusan Barisan Nasional bertanding menentang Pakatan Harapan dalam PRN Johor serta Negeri Sembilan.
Laporan itu turut mendakwa keadaan diburukkan lagi dengan tekanan daripada DAP untuk pembaharuan institusi dilaksanakan menjelang akhir tahun ini dan Anwar memerlukan sokongan BN bagi mendapatkan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat untuk meluluskan pindaan Perlembagaan.
Zahid yang juga pengerusi BN menafikan dakwaan itu dengan berkata, hubungannya dengan Setiausaha Aagung DAP, Loke Siew Fook juga sangat baik.
Katanya, mesyuarat Jemaah Menteri berakhir 1 tengah hari seperti biasa, bukan seperti yang dilaporkan Bloomberg.
Tegasnya, BN akan terus berpegang kepada janjinya untuk kekal dalam kerajaan perpaduan sehingga akhir penggal pentadbiran semasa. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.