Menteri pendidikan tinggi berkata kejayaan pendidikan diukur sejauh mereka mampu kuasai STEM, cipta teknologi, miliki harta intelek serta bina syarikat bertaraf global.

Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir berkata ukuran kejayaan pendidikan bukan lagi sekadar jumlah anak Melayu dan Bumiputera yang memasuki universiti, tetapi sejauh mana mereka mampu menguasai STEM, mencipta teknologi, memiliki harta intelek serta membina syarikat bertaraf global.
“Untuk mencapainya, kita perlu bergerak daripada akses kepada kualiti, daripada kelayakan kepada kompetensi, daripada pekerjaan kepada keusahawanan dan daripada penggunaan teknologi kepada pemilikan teknologi,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Pendidkan Melayu 2026 di PWTC.
Zambry turut menegaskan bahawa universiti tidak seharusnya hanya melahirkan graduan yang memiliki ijazah, sebaliknya individu yang mempunyai ilmu, kemahiran, integriti dan keupayaan menyelesaikan masalah.
Katanya, masalah pendidikan tinggi juga perlu dilihat dari akar kerana jurang bandar dan luar bandar, pendapatan keluarga serta akses kepada teknologi turut menentukan kemampuan seseorang mengambil manfaat daripada ekonomi masa depan.
Dalam menghadapi perkembangan kecerdasan buatan (AI), beliau berkata teknologi itu boleh menjadi ‘great equaliser’ (penyama rata yang hebat) tetapi juga ‘great divider’ (pemisah yang hebat) .
“Pelajar yang mempunyai asas ilmu yang kukuh akan menggunakan AI untuk berfikir lebih jauh. Pelajar yang asasnya lemah mungkin menggunakannya untuk mengelak daripada berfikir.
“Kita tidak boleh membiarkan AI menggantikan proses membaca, menulis, mengira dan menaakul. Kita perlu melahirkan manusia yang diperkasakan oleh AI, bukan manusia yang bergantung sepenuhnya kepada AI,” katanya.
Tambahnya lagi, anak Bumiputera tidak seharusnya hanya menjadi operator kepada teknologi milik pihak lain, tetapi perlu dibentuk sebagai jurutera, penyelidik, pencipta, pemilik paten, pengasas syarikat dan pemimpin industri.
Dalam isu bahasa, beliau berkata bahasa Melayu perlu diperkasa sebagai bahasa ilmu, identiti dan peradaban, manakala bahasa Inggeris serta bahasa tambahan menjadi jambatan kepada dunia.
Konvensyen itu turut membincangkan tiga sesi utama, iaitu cabaran pendidikan anak bangsa daripada kumpulan B40 dan M40, peranan Universiti Teknologi Mara (UiTM), serta pembaharuan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).
Beliau berkata hasil perbincangan akan dirumuskan dalam satu resolusi untuk diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.