Mazlan Ali berkata perjanjian rasmi yang mengikat kepentingan kedua-dua parti akan beri lebih kestabilan berbanding sekadar persefahaman bersama.


Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia memberitahu FMT bahawa perjanjian rasmi yang mengikat kepentingan kedua-dua parti akan memberikan lebih kestabilan berbanding sekadar persefahaman bersama.
Beliau berkata PAS dan Umno sebelum ini pernah bekerjasama dalam gabungan Muafakat Nasional (MN), tetapi pakatan itu akhirnya gagal kerana Umno tidak berpuas hati dengan hubungan PAS bersama Bersatu.
Bagaimanapun, katanya, landskap politik telah berubah sejak itu, dengan PAS memutuskan hubungan dengan Bersatu pada Jun lalu walaupun kedua-dua parti itu kekal sebagai rakan dalam Perikatan Nasional (PN).
Mazlan berkata pakatan tidak rasmi antara kedua-dua parti dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan bukan jaminan bahawa kerjasama itu akan bertahan sehingga PRU akan datang.
“Hanya perjanjian rasmi membolehkan hubungan politik yang berkekalan antara kedua-dua parti,” katanya.
Menurutnya, sebarang perjanjian baharu mesti memperincikan dengan jelas perkara berkaitan pembahagian kerusi, kesetiaan antara parti dan pendirian bersama mengenai isu politik.
Bagaimanapun, isu yang boleh mencetuskan pertikaian ialah menentukan siapa yang akan mengetuai kerajaan sekiranya gabungan itu memenangi PRU akan datang.
“Pada masa ini, saya tidak pasti parti mana yang sanggup melepaskan jawatan perdana menteri kepada rakan kongsinya,” katanya.
Beliau menambah bahawa perbezaan yang ketara dan kekurangan kepercayaan masih wujud antara kedua-dua parti itu walaupun terdapat momentum yang jelas untuk memperbaharui kerjasama.
“Saya fikir idea MN, walaupun mudah disebut, tidak mudah direalisasikan. Masih terdapat banyak perbezaan antara kedua-dua parti (PAS dan Umno), dan tahap kepercayaan antara mereka masih rendah,” katanya.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata piagam rasmi boleh memberikan kekuatan politik kepada kerjasama tidak rasmi dengan menjadikannya komitmen yang khusus.
Beliau berkata piagam itu boleh meyakinkan anggota parti bahawa kerjasama tersebut mendapat sokongan kedua-dua kepimpinan, memberikan kerangka kepada pemimpin negeri untuk berunding dan memberi isyarat kepada pengundi bahawa PAS dan Umno berhasrat mengelakkan pertandingan tiga penjuru.
Bagaimanapun, kepentingannya bergantung pada kandungannya. Pengisytiharan yang hanya berpusat pada perpaduan Melayu-Islam, tanpa aturan yang mengikat, akan kekal sebahagian besarnya sebagai simbolik, katanya.
Syaza berkata perjanjian baharu hanya akan berbeza daripada MN sekiranya kedua-dua parti menangani keadaan politik dan kekaburan yang menyumbang kepada keruntuhan pakatan terdahulu.
“Kedua-dua parti mesti bersetuju sama ada kerjasama mereka bersifat eksklusif, bagaimana hubungannya dengan BN, PN dan Pakatan Harapan (PH), serta parti mana yang ada keutamaan di kawasan yang dipertandingkan. Jika tidak, ia akan mengulangi kekaburan dalam MN dengan nama baharu,” katanya.
Beliau berkata kerjasama tidak rasmi menawarkan fleksibiliti tetapi terdedah kepada kenyataan yang bercanggah dan sabotaj oleh pemimpin parti, manakala perjanjian rasmi boleh menyediakan struktur yang diberi kuasa.
Bagaimanapun, menurut Syaza, rundingan tidak rasmi mungkin masih lebih realistik pada peringkat ini.
Sebarang piagam baharu, katanya, harus mentakrifkan kedudukan rakan politik sedia ada, menetapkan prinsip telus bagi pembahagian kerusi, mewujudkan mekanisme membuat keputusan bersama dan penyelesaian pertikaian, serta menyediakan peraturan mengenai disiplin parti dan komunikasi awam.
Piagam itu juga harus menjelaskan aturan selepas pilihan raya, termasuk sama ada mana-mana parti boleh berunding dengan gabungan ketiga dan bagaimana jawatan dalam kerajaan akan diagihkan. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.