Ini termasuk mempertimbangkan penghentian pemberian lesen baharu, kata Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berkata perkara itu diluluskan dalam muktamar PAS kali ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan, menerusi usul tanpa bahas yang dibawa PAS Baling.
Usul itu turut merujuk usaha kerajaan Kedah pada November 2021 untuk menghentikan pembaharuan lesen pihak berkuasa tempatan bagi premis loteri mulai 1 Januari 2023, yang membawa kepada enam permohonan semakan kehakiman difailkan oleh ejen pertaruhan nombor ramalan, syarikat pertaruhan nombor ramalan atau pegawai kanan syarikat berkenaan bagi mencabar keputusan kerajaan negeri itu.
Pada 20 Jun 2024, Mahkamah Tinggi memberikan deklarasi bahawa keputusan kerajaan Kedah itu adalah ultra vires Perlembagaan, selain mengeluarkan perintah certiorari untuk membatalkan keputusan tersebut. Mahkamah Rayuan, menerusi keputusan majoriti pada 12 Disember 2025, memutuskan bahawa tindakan kerajaan Kedah menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan bagi pengendali pertaruhan nombor ramalan adalah tidak rasional dan tidak berperlembagaan.
Fadhli berkata perkembangan itu menunjukkan keterbatasan ruang kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengambil pendekatan lebih tegas terhadap premis perjudian apabila perkara berkaitan perjudian dan pelesenannya tertakluk kepada pembahagian kuasa di bawah Perlembagaan.
“Sehubungan itu, muktamar PAS mengambil ketetapan dan menggesa supaya kerajaan persekutuan melalui Kementerian Kewangan menilai semula dasar pemberian dan pembaharuan lesen perjudian, termasuk mempertimbangkan penghentian pemberian lesen baharu,” katanya.
Usul juga mahu Ahli Parlimen PAS membawa perkara ini ke Dewan Rakyat bagi mengkaji dan mencadangkan pindaan terhadap undang-undang persekutuan berkaitan, supaya kerajaan negeri diberikan ruang yang lebih jelas dan sah untuk menentukan dasar yang lebih ketat terhadap operasi premis perjudian.
Di samping itu, ia menyeru kerajaan negeri, khususnya negeri-negeri bawah pentadbiran PAS dan Perlis, perlu memperkemaskan undang-undang sedia ada, dasar PBT dan mekanisme pentadbiran berdasarkan nasihat perundangan bagi membolehkan tindakan membendung aktiviti perjudian dilaksanakan dengan asas undang- undang yang kukuh.
Pada 12 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan yang membatalkan tindakannya menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan bagi pengendali pertaruhan nombor ramalan di negeri berkenaan. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.