`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


16 SEPTEMBER 2026

Friday, October 9, 2026

RM5.33 bilion untuk Petra perkukuh bekalan air, tenaga dan tebatan banjir

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata antara tumpuan kerajaan ialah mengurangkan risiko banjir, kawal kos elektrik dan perluas penggunaan tenaga bersih.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof dalam pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat.
PETALING JAYA:
Kerajaan memperuntukkan RM5.33 bilion kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) menerusi Belanjawan 2027 bagi memperkukuh bekalan air dan elektrik, mengurangkan risiko banjir serta memperluas penggunaan tenaga bersih.

Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof, berkata pelbagai inisiatif dirangka bagi memastikan perkhidmatan asas lebih terjamin, kos utiliti terkawal dan infrastruktur negara lebih berdaya tahan.

Fadillah yang juga menteri peralihan tenaga dan transformasi air berkata, antara langkah utama ialah menaikkan aras perlindungan bil elektrik daripada 600 kepada 800 kilowatt-jam (kWj) sebulan, yang memanfaatkan lebih lapan juta atau sehingga 90% pengguna domestik.

Kerajaan turut menawarkan rebat sehingga RM200 menerusi program Nur Madani bagi pembelian penyaman udara dan peti sejuk cekap tenaga untuk menggalakkan penggunaan elektrik secara lebih berhemat.

“Belanjawan 2027 memberi tumpuan kepada perkara yang dekat dengan kehidupan rakyat: bekalan air yang lebih terjamin, risiko banjir yang lebih rendah serta penggunaan tenaga yang lebih cekap dan bersih,” katanya dalam kenyataan.

Bagi memperkukuh infrastruktur tenaga, Fadillah berkata Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan melabur RM15 bilion untuk memperkukuh grid nasional, manakala RM1.5 bilion dilaburkan bagi pembangunan taman solar di bangunan kerajaan.

Selain itu, kapasiti 150 megawatt (MW) menerusi projek Solar Berskala Besar (LSS) 6 dikhususkan kepada syarikat Bumiputera, sementara UEM Lestra diperuntuk RM1 bilion bagi projek penyimpanan tenaga di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan tenaga hibrid berkapasiti satu gigawatt di Johor.

Dana Iklim Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) sebanyak RM1 bilion turut disediakan bagi projek hijau manakala kerajaan bersetuju melaksanakan pemasangan Sistem Statcom bernilai RM204 juta di Pencawang Masuk Utama Dam Road dan Segaliud, Sabah.

Fadillah berkata, projek Talian Penghantaran Southern Link juga akan diteruskan sebagai langkah jangka panjang bagi memastikan kelangsungan bekalan elektrik di negeri itu.

Mengenai usaha mengurangkan risiko banjir, beliau memaklumkan enam projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai RM336 juta sudah disiapkan, manakala 82 projek lain sedang dilaksanakan mengikut jadual.

Antara projek terbabit ialah RTB Bandaraya Kuching Fasa 2, Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 2 di Kelantan serta PLSB Sungai Kemaman di Terengganu.

Di Kelantan, Fadillah berkata projek Empangan Lebir berpotensi mengurangkan risiko banjir kepada 320,000 penduduk, selain membekalkan 337 juta liter air mentah sehari untuk manfaat 353,222 penduduk.

Bagi meningkatkan bekalan air bersih, kerajaan melaksanakan Program Pengurangan Air Tidak Terhasil (NRW) Fasa 2 bernilai RM2.5 bilion untuk menggantikan 1,900km paip kritikal yang usang.

Usaha itu turut disokong pembinaan Loji Rawatan Air Machang dan penggantian paip uzur di Kelantan, selain perjanjian bekalan air pukal antara Perak dan Pulau Pinang bagi tempoh 40 tahun.

Dalam aspek pembetungan, beliau berkata kerajaan akan menaik taraf sistem pembetungan awam yang usang di Pulau Tuba, Langkawi, Pulau Redang dan Pulau Tioman, selain membina loji rawatan kumbahan serantau serta rangkaian paip pembetungan di Kuala Terengganu.

Fadillah turut memaklumkan, kerjasama Petronas dan TNB dalam Asean Power Grid akan memperkukuh keterjaminan tenaga serta hubungan bekalan elektrik serantau.

Katanya, TNB dan syarikat telekomunikasi juga akan bekerjasama dengan kerajaan melalui gabungan dana kerajaan dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi mempercepat penyediaan bekalan elektrik serta akses internet di kawasan luar bandar. - FMT 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.