`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


16 SEPTEMBER 2026

Thursday, October 8, 2026

Adun Bersatu Selangor dakwa tak dimaklum tentang perjanjian

 Nurul Syazwani kata beliau terkejut apabila mengetahui rundingan sudah sampai ke peringkat memuktamadkan terma perjanjian.

Nurul Syazwani Noh
Adun Permatang, Nurul Syazwani Noh, kata Adun Bersatu sepatutnya dimaklum jika perjanjian kerjasama dengan parti pemerintah mengikat mereka kepada sebarang komitmen politik.
PETALING JAYA:
Adun Permatang, Nurul Syazwani Noh, mendakwa beliau tidak dimaklumkan tentang perjanjian kerjasama antara wakil rakyat Bersatu Selangor dengan parti pemerintah.

Syazwani berkata beliau terkejut apabila mengetahui rundingan sudah sampai ke peringkat memuktamadkan terma perjanjian yang dijangka ditandatangani sebelum pembentangan belanjawan Selangor.

“Saya sendiri agak terkejut apabila membaca kenyataan bahawa rundingan sudah sampai ke peringkat memuktamadkan terma, dan perjanjian dikatakan akan ditandatangani sebelum belanjawan dibentangkan,” katanya kepada FMT.

Syazwani mengulas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan Selangor, Amirudin Shari, semalam bahawa rundingan melibatkan terma-terma perjanjian kerjasama sedang berjalan dan akan dimuktamadkan sebelum pembentangan belanjawan.

Kenyataan Amirudin itu menyusuli laporan Utusan Malaysia kelmarin, bahawa Adun Bersatu dijangka bertemu parti pemerintah dalam masa terdekat bagi menandatangani perjanjian kerjasama. Sumber laporan itu mendakwa kerjasama tersebut melibatkan seluruh 11 Adun Bersatu.

Syazwani berkata Adun Bersatu sepatutnya dimaklum dan dirunding terlebih dahulu jika perjanjian itu mengikat mereka kepada sebarang komitmen politik, termasuk sokongan kepada kerajaan atau belanjawan.

“Tidak sepatutnya keputusan dibuat dahulu, kemudian Adun hanya diminta menerima keputusan yang telah dibuat bagi pihak mereka,” tegasnya.

Syazwani berkata beliau tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan parti pemerintah dalam perkara yang membawa manfaat kepada rakyat, namun tidak mahu semak dan imbang terjejas.

“Kerjasama demi rakyat tidak sama dengan menyerahkan fungsi pembangkang kepada kerajaan,” katanya.

Syazwani berkata persoalan mengenai manfaat kerjasama ini harus diajukan kepada pihak yang menjalankan rundingan, kerana beliau tidak diberi ruang membincangkan terma perjanjian.

“Saya tidak memerlukan perjanjian politik untuk membuat kerja saya sebagai wakil rakyat. Kalau sesuatu itu baik untuk rakyat Permatang, saya akan bekerjasama. Kalau sesuatu itu perlu ditegur, saya akan tegur,” katanya.

Menurutnya, beliau sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri, agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan dalam menyelesaikan isu yang dihadapi penduduk di kawasannya.

“Itulah kerjasama yang rakyat mahu lihat — kerjasama untuk menyelesaikan masalah mereka, bukan kerjasama yang memerlukan pertukaran pendirian politik,” katanya.

Pakatan Harapan dan Barisan Nasional bersama membentuk kerajaan di DUN Selangor. PH menduduki 32 kerusi, manakala Umno daripada BN dua kerusi. Seorang wakil rakyat Bebas, iaitu Adun Selat Klang Abdul Rashid Asari, menyokong kerajaan.

Pembangkang menduduki 21 kerusi, iaitu Bersatu 11 kerusi dan PAS sepuluh kerusi.

Libat urus belanjawan Selangor 2027 berjalan sejak September. Belanjawan lalu dibentangkan pada November. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.