`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


16 SEPTEMBER 2026

Thursday, October 8, 2026

Henry Gurney bukan jalan mati bagi anak muda

 Di sebalik pagar Sekolah Henry Gurney, pesalah muda diberi peluang membina masa depan tanpa memikul label banduan apabila dibebaskan.

Penghuni Sekolah Henry Gurney (SHG) tidak dilabel sebagai banduan.
PETALING JAYA:
Sekolah Henry Gurney (SHG) bukan untuk menoktahi masa depan pesalah muda, sebaliknya memberi peluang kepada mereka membina diri.

Pengarah SHG Telok Mas, Triyo Kurniawan Kusmadi, berkata bekas penghuni SHG tidak memikul ‘cop banduan’ kerana ia boleh mempengaruhi peluang menyambung pengajian, mendapatkan pekerjaan dan membina kehidupan baharu.

“Penghuni SHG tiada cop banduan, itu sangat penting. Hendak jadi sukarelawan RELA pun tidak boleh kalau ada rekod banduan,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama FMT.

“Sebab itu saya selalu berbincang dengan majistret mahkamah, biarlah pesalah muda dihantar ke sini. Mereka masih ada masa depan di sini.”


Triyo berkata beliau berbangga dengan pencapaian bekas penghuni SHG yang berjaya membina kerjaya masing-masing.

“Ada yang jadi polis, bomba, askar, kastam, imigresen dan sebagainya. Mereka bebas nak jadi apa yang dimahukan,” katanya, yang sudah hampir dua dekad berkhidmat dengan Jabatan Penjara Malaysia.

Pengarah SHG Telok Mas, Triyo Kurniawan Kusmadi, berkata bekas penghuni SHG bebas menjadi apa yang dimahukan.

“SHG sudah buka jalan, akhirnya terpulang pada diri sendiri.”

SHG bukan sekadar tempat pesalah muda menjalani hukuman, tetapi turut membekalkan mereka dengan ilmu sebagai persediaan sebelum melangkah keluar.

Pendidikan korektif di SHG menumpukan aspek pendidikan dan latihan berasaskan kemahiran melalui lima kluster iaitu akademik, agama, sukan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta seni, budaya dan muzik.

“Sebaik penghuni baharu tiba, kita akan temuduga dan buat ujian diagnostik untuk melihat kluster manakah yang sesuai untuk mereka.

penghuni wanita henry gurney telok mas
Penghuni SHG sedang menyiapkan prop untuk pertandingan lakonan sempena sambutan Hari Kemerdekaan 2026.

“Matlamat akhir kita adalah memastikan mereka mempunyai kemahiran dan keyakinan untuk kembali kepada masyarakat,” ujarnya.

Di SHG, penghuni berpeluang mempelajari Muay Thai, tinju dan angkat berat, selain kemahiran jahitan, pastri, automotif, elektrik dan landskap.

Penghuni juga boleh menggesek violin dan beraksi dalam orkestra atau pencaragam, malah menerima undangan membuat persembahan di luar SHG.

Penghuni SHG boleh belajar menggesek violin dan berpeluang beraksi dalam orkestra atau pencaragam.

Beberapa program turut menawarkan sijil diperakui Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) yang boleh digunakan untuk menyambung pengajian ke peringkat diploma.

Rasa bangga jelas kedengaran apabila Triyo bercerita tentang pencapaian bekas penghuni SHG dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Pada 2023, ada penghuni kita berjaya dapat 8A dan sekarang sedang sambung pengajian dalam bidang undang-undang di Universiti Utara Malaysia, dan 2024 ada dua penghuni dapat 5A, manakala 10 lagi turut sambung pengajian di peringkat sijil dan diploma,” katanya.

Triyo menyeru ahli keluarga penghuni SHG supaya terus memberi sokongan, kerana mereka tidak seharusnya berputus asa.

Ketika temu bual ini, SHG Telok Mas menempatkan 425 penghuni, terdiri daripada 390 lelaki dan 35 wanita. Angka ini lebih rendah berbanding sekitar 800 hingga 900 penghuni sebelum pandemik Covid-19.

Menurut Triyo, kesalahan seksual membabitkan rogol dan liwat menjadi kategori tertinggi, iaitu 31%, diikuti kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah dan kesalahan lain.

kawat besi henry gurney
Bangunan SHG yang dikelilingi pagar besi bergulung menggerunkan sesiapa yang memandang.

Baginya, pagar besi SHG bukan jalan mati, sebaliknya garis permulaan baharu untuk membina masa depan.

“Jabatan penjara, SHG telah berusaha, masyarakat juga berusaha untuk menerima dan kini semuanya bergantung pada penghuni untuk pilih kehidupan bagaimana yang mereka mahukan,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.