Sejak akhir-akhir ini sembang isu adat dikuasai oleh lasykar siber, dan lasykar siber ada tuannya. Selalunya tuan lasykar siber adalah jembalang tertentu yang berhalimunan.

Umum mengetahui istilah 3R merujuk kepada isu, kes atau sebarang perbincangan semberono yang dilabel sensitif kerana ia melibatkan perihal ‘Religion’ (Agama), ‘Race’ (Kaum), dan ‘Royalty’ (Raja/Institusi Diraja). Saya menggunakan istilah semberono kerana selalunya wacana di dalam ruang akademik mengenai 3R ini amat berhemah, ilmiah dan terguna pakai untuk mereka yang ahli. Akan tetapi ia berbeza apabila memasuki ruang awam, iaitu apabila 3R tiba di lidah, atau jari-jemari netizen.
Adalah menjadi kebiasaan untuk pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberi perhatian berat, dan selalunya memantau secara mendalam sebarang hantaran atau perbincangan mengenai 3R di pelbagai platform media sosial. Tugasan ini tentulah melelahkan dan membuang masa. Malangnya inilah realiti hari ini. Tujuan pemerhatian serius ini agak jelas; ia demi mengekang sebarang provokasi, fitnah, mahupun ucapan berbaur kebencian yang boleh menggugat perpaduan dan ketenteraman awam. Kes-kes 3R lazimnya disiasat di bawah Akta Hasutan, Kanun Keseksaan, atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Ada banyak contoh mengenai R pertama, iaitu agama; mungkin yang paling terkini adalah satu ucapan oleh Noorazli Said, ketua Umno sebuah bahagian, yang didakwa mempersendakan paderi dan biarawati Katolik dengan ‘jenaka’ berunsur seksual semasa Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 baru-baru ini.
Ekoran dari ucapan menjijikkan itu, pelbagai pihak termasuk pemimpin Sabah, Persatuan Gereja Sarawak (ACS), dan Wanita PKR mengecam ‘jenaka’ tersebut sebagai tidak menghormati agama. Malangnya ‘jenaka’ itu tidak berseni dan tidak boleh pula dihujahkan sebagai suatu satira. Meskipun Noorazli memohon maaf secara terbuka atas kecalaran hati dan ketergurisan jiwa serta salah faham yang timbul; ‘jenaka’ atau ucapan beliau itu telah merebak dan dikongsi secara meluas lantas menyakitkan hati penganut Kristian Katolik.
Manakala untuk R kedua, iaitu kaum, serba sedikit ia masih berkait dengan identiti agama. Ini kerana di Malaysia, kategorisasi agama selalu dihubungkan dengan bangsa tertentu. Pada tahun 2024 misalnya, dalam satu kes yang turut berkait dengan agama, Ahli-ahli Parlimen berbangsa India menggesa Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan tegas kepada penceramah berbangsa India yang telah memeluk Islam, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu dan pihak-pihak lain yang didakwa menghina agama Hindu. Mereka juga mendakwa tindakan terhadap 3R yang melibatkan kaum bukan Melayu dan agama bukan Islam selalunya agak perlahan ditangani.
R, ketiga adalah institusi diraja yang mana khusus untuk mereka yang melakukan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu.
Sebagai misalan, dalam satu perkembangan berkait isu yang melibatkan kedudukan Yamtuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir; tokoh politik dari Wawasan dan bekas menteri besar Negeri Sembilan, Rais Yatim didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama. Sabit kesalahan membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Seperti disebut awal, terdapat tanggapan pendakwaan melibatkan isu 3R kadang-kala agak berat sebelah. Meskipun dakwaan 3R boleh menimpa sesiapa pun, tidak dapat dinafikan golongan kanan dan konservatif Melayu sering menggunakan naratif 3R sebagai instrumen untuk mengukuhkan jati diri, mempertahankan status quo, dan menuntut hak-hak yang mereka percaya, sedang ‘diancam’ atau ‘terancam’. Seringnya hujah mereka adalah 3R teras kelangsungan hidup bangsa Melayu.
Dalam hal institusi diraja, golongan kanan Melayu misalnya berpegang yang institusi diraja bukan sekadar simbol perlembagaan, tetapi penjaga dan pelindung langsung kepada hak orang Melayu dan kesucian agama Islam. 3R akan dihujahkan untuk melabel golongan progresif atau bukan Melayu sebagai ‘kurang ajar’ atau ‘derhaka’ sekiranya mereka mempersoalkan sebarang titah atau peranan institusi diraja. Ini bererti golongan konservatif boleh secara taktikal berselindung di sebalik hujah institusi diraja untuk beroleh legitimasi moral yang konon perjuangan mereka itu direstui oleh ‘payung negara’.
Oleh sebab isu 3R adalah ayam gepuk atau ayam geprek untuk masyarakat Melayu yang kian konservatif, parti politik tertentu akan tanpa segan silu menunggang naratif 3R untuk memperlihatkan diri mereka sebagai pejuang hak konservatif.
Namun demikian, dalam hal di Negeri Sembilan, tindakan terhadap penentang-penentang Tuanku Muhriz dapat dikatakan sangat perlahan. Seingat saya sudah dua kali Dewan Keadilan dan Undang (DKU) menggunakan istilah penderhaka buat kelompok ‘dago dagi’ (derhaka dalam Adat Perpatih) dan terbaru pada 4 Oktober 2026, Dewan ini “memohon supaya pihak-pihak penguatkuasa terutamanya polis dan Jabatan Peguam Negara mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk menyiasat dan memulakan pendakwaan atas kesalahan-kesalahan jenayah yang telah mereka lakukan melalui tindakan-tindakan seperti yang telah dinyatakan di atas”. Menurut Dewan, “ini penting supaya mereka tidak secara terus mengambil tindakan-tindakan dan membuat kenyataan-kenyataan yang bertentangan dengan perlembagaan dan undang-undang yang akan mengelirukan pentadbiran negeri dan rakyat jelata”.
Meskipun seruan DKU ini ternyata keras dan tegas iaitu agar tindakan segera diambil terhadap kelompok yang mempertikaikan keabsahan Tuanku Muhriz, pihak berkuasa ternyata sangat berhati-hati. Ramai yang percaya, tindakan penuh waspada pihak berkuasa ini kerana sistem diraja di Negeri Sembilan agak unik dan berbeza dari negeri lain.
Sungguhpun begitu, saya mempunyai pandangan berbeza. Memang mulanya perbahasan mengenai kedudukan Yamtuan Besar dan Undang itu terhad kepada pertikaian tafsiran adat. Akan tetapi sejak akhir-akhir ini sembang isu adat dikuasai oleh lasykar siber, dan lasykar siber ada tuannya. Selalunya tuan lasykar siber adalah jembalang tertentu yang berhalimunan.
Jika di alam nyata, ramai individu tidak akan berani mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman atau menghina institusi diraja lantaran risiko sosial dan undang-undang yang jelas. Namun demikian di dalam talian, pengguna Threads misalnya boleh menyembunyikan identiti sebenar mereka di sebalik nama samaran atau profil palsu. Ada banyak akaun meragukan tanpa identiti sempurna. Mereka adalah cybertrooper berbayar. Oleh sebab mereka tidak perlu punya nama sebenar, ia memberikan rasa selamat untuk mereka bertindak agresif, memaki hamun, serta menyebarkan kebencian terhadap Yamtuan Besar tanpa memikirkan akibatnya. Hujung-hujung mereka keseronokan mendapat bayaran lebat.
Kelengahan dan kelenguhan pihak berkuasa bertindak sehingga memaksa institusi diraja Negeri Sembilan mengeluh lebih dari sekali mengenai penderhaka-penderhaka ini sebetulnya agak mencengangkan. Ia seolah-olah mereka yang melakukannya memiliki perlindungan, dan berasa kebal. Seolah-olah ada ‘jembalang besar’ yang merestui perbuatan mereka.
Lebih memburukkan keadaan adalah ruang digital juga mengalami budaya kongsi dahulu atau gejala ‘information velocity’ di mana pengguna berkongsi maklumat serta-merta tanpa perlu sebarang pengesahan. Dalam tindakan refleks, jari kita akan mudah untuk ‘repost’, ‘retweet’ atau menekan butang ‘like’ dan emoji. Hantaran teks, video potongan pendek, atau tangkapan layar yang dimanipulasi sering disebarkan dalam kumpulan WhatsApp keluarga atau kerjiranan tanpa perlu menyemak kesahihan. Semua ini berpotensi pula mengakibatkan ahli kumpulan bertingkah, membusut menjadi telingkah dan lama-kelamaan membukit menjadi gaduh dan kelahi.
Perlu diingat pendekatan lasykar siber dalam apa jua keadaan adalah mencipta persepsi dengan naratif sebelah pihak. Ini kerana lasykar ini adalah ‘askar upahan’ para politikus di medan siber. Mereka berperanan untuk mencipta atau menonokkan pandangan awam. Dengan memomokkan fakta palsu mengenai Yamtuan Besar Negeri Sembilan seperti Tuanku Muhriz kononnya cenderung kepada DAP, atau menggadai tanah adat; mereka yang melakukan hantaran begini berharap dapat mencederakan imej seorang raja yang kelihatannya begitu bersabar mendepani perangai dan tingkah laku pengkritik.
Sebenarnya Tuanku Muhriz tidak akan kudung atau puntung meski diserang bertalu-talu oleh lasykar siber. Tembaklah banyak mana pun. Memang Tuanku Muhriz tidak akan membalas pencaci hidup-hidup. Memang lasykar siber pula tidak pun sedikit rasa bersalah membuatkan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud menitiskan air mata sebak dan terharu di KLIA sepulangnya dari bercuti.
Namun, sebagai pengkaji orang Melayu dari Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, saya ingin membawa perhatian bahawa dalam kepercayaan orang Melayu; status seorang raja yang sah jurai keturunannya tidak akan terjejas. Mereka yang dakwa-dakwi raja itu yang selalunya akan terpelanting, dan hancur binasa.
Sebetulnya seruan DKU agar penderhakaan dibendung amatlah penting untuk segera ditunaikan. Gejala ‘3R’ di Negeri Sembilan ini akan mewabak. Sudah ada beberapa akaun media sosial yang hidup kemudian tiba-tiba mati; atau mendadak timbul, kemudian gesit tenggelam; khusus dalam mempertikaikan sistem pemilihan atau penggiliran sultan atau raja di negeri lain.
Waktu itu kelak, gejala ini akan lebih sukar ditangani. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.