cat
BANDAR SUNWAY - Pangsapuri kos rendah PJS 7/15, di sini yang dahulunya kusam bakal berubah ceria apabila kediaman menempatkan kira-kira 2,500 penduduk itu akan dicat semula.

Melalui peruntukan di bawah Program Tawaran Penerimaan Bantuan Skim Ceria, Kerajaan Negeri akan membiayai 80 peratus daripada keseluruhan kos mengecat bangunan berusia lebih 20 tahun itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Subang Jaya, Hannah Yeoh Tseow Suan berkata, anggaran perbelanjaan bagi melaksanakan usaha itu dikatakan hampir RM331,200.

Menurutnya, dalam skim itu penduduk perlu membayar baki 20 peratus kepada kontraktor menerusi bil penyenggaraan yang diuruskan Badan Pengurusan Bersama (JMB).

“Pada tahun 2008 selepas saya mula menjadi wakil rakyat, penduduk menyatakan hasrat mahu kediaman mereka dicat dan dibaik pulih kerana kelihatan usang, ketika itu permintaan tidak dapat ditunaikan kerana kos terlalu tinggi.

“Bagaimanapun, melalui skim baru diperkenalkan Kerajaan Negeri ini, 10 blok di pangsapuri yang sudah mula wujud sejak 1990 akan kelihatan ceria semula,” katanya.

Hannah Yeoh berkata, penduduk yang mendiami 420 unit di pangsapuri berkenaan perlu menandatangani surat Aku Janji yang mengandungi beberapa syarat.

Katanya, 10 peratus daripada wang deposit perlu dibayar sebelum kerja dimulakan manakala 10 peratus lagi perlu dibayar kepada Kerajaan Negeri selepas semuanya siap.

“Jika JMB gagal membayar baki 20 peratus itu, Kerajaan Negeri akan menyenaraikan hitam mereka daripada mendapat apa-apa bantuan baik pulih bangunan pada masa akan datang,” katanya.

Difahamkan, pemaju yang juga merupakan anggota JMB pangsapuri berkenaan bersedia mendahulukan deposit 20 peratus, sebelum caj dikenakan kepada penduduk melalui bil penyelenggaraan.

Keadaan itu menjadikan setiap rumah perlu membayar sebanyak RM100.

Namua ada berita gembira kepada 50 pemilik yang tidak mempunyai tunggakan dalam bil penyelenggaraan kerana pemaju akan membayar untuk mereka.

Kerja-kerja mengecat semula bangunan itu bermula 8 Februari lalu dan akan mengambil masa dua bulan untuk siap, warna bangunan ditentukan JMB.

Sementara itu, penduduk yang ditemui, M Govindasamy, 63, menyokong usaha yang dilakukan Kerajaan Negeri itu.

“Sudah lebih 20 tahun saya diami rumah ini, memang bagus sangat kalau ia dicat supaya nampak lebih cantik, cuma saya minta keprihatinan Kerajaan Negeri membantu dalam soal penyelenggaraan pokok dan masalah tempat parkir yang tidak berkesudahan,” katanya.