`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Thursday, May 17, 2012

MUTALIB M.D TOLAK PERBUATAN KHIANAT

Share
DOA.....Datuk Nasrun sedang membaca Al-Fatihah di hadapan jenazah yang telah rentung di dalam keranda Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Oleh : OTHMAN RAMLIE

EDITOR Sabahkini.net, Mutalib M.D menolak kemungkinan perbuatan khianat dalam kes kebakaran rumah keluarganya di Rancangan Silabukan, Peringkat Dua Lahad Datu malam Ahad lalu yang menyebabkan ibunya, Hajjah Normah Bte Yahya, 75, rentung dalam kebakaran yang hanya mengambil masa selama 20 minit.

"Saya tidak fikir ini perbuatan khianat. Mereka tidak perlu mengorbankan ibu saya yang lumpuh kerana saya boleh ditemui di mana-mana sahaja. Jika mereka memerlukan saya, boleh telefon atau kirim email atau menemui saya. Tidak mungkin mereka mahu menyerang keluarga saya," kata Mutalib yang menolak kemungkinan kebakaran ini sebagai jenayah terancang kerana pada 1996, beberapa orang tidak dikenali melontarkan bom ikan ke rumahnya, tetapi tidak meletup.
Tegas Mutalib, beliau tidak memusuhi sesiapa, sekalipun sering menerima ancaman atau ugutan bunuh daripada pihak tertentu, terutama tokoh yang rahsia mereka didedahkan dalam bukunya atau di dalam Sabahkini.net dan SabahkiniTV.

HANGUS....Mutalib mengabadikan kenangan terakhir di hadapan rumah mereka yang telah menjadi arang dan abu.

"Bagaimanapun kami masih menunggu laporan Jabatan Bomba untuk mengenal pasti punca kebakaran dan sebab berlakunya lebih 20 letupan kuat (maklumat daripada jiran) ketika kebakaran tersebut," ujar Mutalib yang agak kesal kerana ketika kejadian tidak berada di sisi ibunya disebabkan menjalankan tugas di Ibu Negara dan berjanji akan pulang pada sambutan Hari Ibu.

Menurut Mutalib, keluarganya (adik beradiknya) memerlukan laporan lengkap daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat sebelum mengambil tindakan lanjut kerana menurut jiran berlaku letupan kuat sebelum api menyambar dan menjulang tinggi.

"Saya tidak mahu buat sebarang spekulasi, tetapi mungkin berpunca daripada litar pintas. Kebakaran berlaku sebaik sahaja bekalan elektrik yang terputus selama beberapa jam tiba-tiba hidup dan menyebabkan peti televisyen dan peti sejuk meletup sebelum terbakar kerana arus elektrik terlalu kuat," kata Mutalib yang kesal kerana SESB tidak pernah membuat pemeriksaan berkala berhubung beban dan arus elektrik yang sering terputus sehingga merosakkan peralatan elektrik.


SERAH.....Nasrun sedang menyerahkan bantuan kepada keluarga mangsa sambil disaksikan oleh Penolong Pegawai Daerah Lahad Datu, Juraimin Jadil.

Tegas Mutalib, jika terbukti kebakaran tersebut berpunca daripada SESB, maka pihaknya akan menyaman SESB bagi menuntut gantirugi, terutama kehilangan rumah, peralatan dan jiwa ibunya.

Mengenai ketiadaan Jabatan Perkhidmatan Bomba di Tungku, Mutalib menjelaskan tidak perlu dibangkitkan langsung kerana Pegawai Daerah dan Wakil Rakyat telah melaksanakan tugas mereka, tetapi kepincangan pentadbiran kerajaan Pusat menyebabkan rakyat Sabah seperti 'Satey' di atas bara api; tidak mampu berbuat apa-apa kerana Bomba tertakluk di bawah bidang kuasa persekutuan.

"Ada Pili Bombapun hanya menjadi hiasan kerana Skim Bekalan Air Silabukan dijangka siap pada 2013. Kereta bomba Lahad Datu sewajarnya telah dihantar ke Muzium Negara kerana tidak mampu menampung beban kebakaran di Lahad Datu. Jadi kita hanya menunggu giliran selepas ini rumah siapa yang kena," ujar Mutalib yang jengkel dengan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Malaysia yang gagal menaiktaraf Jabatan Bomba dan Penyelamat sehingga menyebabkan Ahli Bomba bagaikan pahlawan salji yang berperang dengan api bersenjatakan air liur.

Memandangkan ibunya telah meninggal dunia dan adiknya tidak mempunyai pendapatan yang tetap untuk membina semula rumah yang telah rentung, maka Mutalib merayu agar Kerajaan Negeri meluluskan Projek Bantuan Rumah (PBR) kepada adik perempuannya yang selama ini menumpang di rumah ibunya setelah ayah mereka meninggal dunia (sakit tua).

SYAHID....Di sinilah Hajjah Normah menjadi 'Syuhada' dalam kebakaran dasyhat.

Mutalib yang merupakan anak ke 6 daripada sembilan adik beradik menegaskan bahawa sekalipun mereka redha menerima takdir kematian ibu mereka dalam keadaan yang amat mengerikan, namun tidak dapat menerima hakikat kecuaian manusia terutama SESB menyebabkan mereka adik beradik menyambut hari ibu bersama jasad ibu mereka yang telah rentung dalam suasana deraian air mata.

Dalam pada itu, Mutalib mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Warga Sabah terutama Ketua Menteri Sabah; Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman; Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said; Ahli Parlimen Silam, Haji Salleh Kalbi; Mantan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman; Adun Lahad Datu, Datuk Nasrun Datu Mansur; Adun Tungku, Datuk Mohd Suhaili Said; Pegawai Daerah Lahad Datu, Zulkifli Nasir; Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Samsuddin Mat; Jabatan Bomba dan Penyelamat Lahad Datu; Ketua Daerah Lahad Datu, Haji Sulaiman Atok; Penolong Pegawai Daerah Lahad Datu, Juraimin Jadil; Timbalan Pengerusi LDP Silam, Chong Su Vun; Seluruh Warga Lahad Datu dan penduduk Rancangan Silabukan yang telah menghulurkan sumbangan material dan sokongan moral sehingga urusan jenazah Almarhumah ibunya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Silabukan.

Mutalib juga merakamkan jutaan terima kasih kepada jiran tetangga yang sanggup menggadai nyawa merempuh api dan berjaya menyelamatkan tiga orang anak saudaranya yang masih kecil dan cuba menyelamatkan ibunya yang sedang terbakar tetapi gagal kerana api terlalu kuat.

"Tidak sangka masih ada manusia yang berhati nabi. Terima kasih," ujar Mutalib yang mengharapkan agar 'kewafatan' ibunya dalam keadaan ngeri dan memilukan boleh membangunkan mereka yang masih lena di dalam bilik hawa dingin dan gagal memikul amanah rakyat. - Sabahkini

6 comments:

  1. takziah, setiap yang berlaku ada hikmahnya.

    ReplyDelete
  2. harap punca kebakaran tu akan diketahui tidak lama lagi. samada berpunca dari pendawaian SESB atau adanya perbuatan khianat.

    ReplyDelete
  3. Takziah buat keluarga En Mutalib.

    ReplyDelete
  4. condolence to Mutalib family, may her soul rest in peace.

    ReplyDelete
  5. It is hoped that the flame can be identified

    ReplyDelete
  6. Apa pun takziah kepada keluarga Mutalib dengan apa yang berlaku ini. Kita tunggu siasatan daripada pihak bertanggungjawab atas kebakaran tersebut.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.