`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, December 24, 2012

MPS TINDAS 700 PEKERJA BUMIPUTERA?



WAWANCARA...Mohktar sedang diwawancara Sabahkini.Net mengenai penindasan MPS terhadap 700 pekerja.

Oleh : SHAIMON S JUMADI

KETUA Penaja UMNO Cawangan Taman Raja Wali, Sungei Sibuga, Mokhtar Mohammad membidas sekeras-kerasnya terhadap Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) berhubung dengan pengeluaran surat Tawaran Jawatan Pekerja Rendah Awam Gaji Hari Berkuatkuasa 01 Januari 2013 yang membabitkan seramai lebih 700 orang yang menjadi mangsa keadaan.

“Sejak dari kelmarin, saya telah banyak menerima aduan daripada pekerja MPS mengenai tindakan MPS yang langsung tidak berkompromi dengan para pekerja, walaupun ada yang sudah berkhidmat lebih 7 tahun; tetapi masih bergaji hari RM35.81 sen sehari termasuk elaun dan syarat-syarat tertentu yang dikenakan,” tegasnya.
Kata beliau, mengikut surat yang terima daripada beberapa pekerja MPS yang dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Sandakan, antara lain menyebut “Selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bil: 7/2012 bertarikh 5 Oktober 2012. Surat lantikan tuan yang terdahulu rujukan MPS:[ ] 500-13/0021150/0002 bertarikh 18 November 2009 adalah DIBATALKAN berkuatkuasa 1 Januari 2013."

Lanjutan surat itu, tambahnya lagi, atas keperluan perkhidmatan Majlis dengan ini menawarkan semula jawatan Pekerja Rendah Awam Gaji Hari kepada pekerja berkuatkuasa 01 Januari 2013 hingga 31 Disember 2013 (tempoh 1 tahun) dengan bayaran RM35.81 sehari.

Kata Mokhtar, tindakan yang dilakukan oleh MPS terhadap seramai lebih 700 orang pekerjanya disifatkan sebagai tidak berperi kemanusiaan langsung kerana tidak memberikan pertimbangan untuk diberikan jawatan tetap kepada mereka yang sudah lama berkhidmat.

Mokhtar tidak menafikan apa yang telah diperkatakan oleh Ahli Parlimen Sandakan yang juga Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk V.K Liew dalam satu kenyataan medianya yang tersiar di Sabahkini.Net bertarikh 11 November 2012 bertajuk 'PBT Digesa Lebih Proaktif' antara kandungannya berbunyi:

"Pihak PBT khususnya MPS yang merupakan salah satu akar tunjang dan pusat pentadbiran Kerajaan BN maka harus memainkan peranan penting ke arah memperkasakan urus pentadbiran yang lebih efisyen untuk menyelesaikan masalah rakyat."

Timbalan Menteri itu juga kata Mokhtar, pernah berkata; "....gara-gara perbuatan pihak MPS yang selalu mengguris hati masyarakat ini juga sebagai penyumbang kekalahan besar kepada calon-calon BN/UMNO yang bertanding pada pilihanraya umum nanti (PRU 13)."

Mokhtar berkata lagi, ekoran tindakan MPS yang mengeluarkan surat tawaran baru kepada lebih 700 orang pekerja yang dianggap tidak releven itu; telah mencetuskan kemarahan mereka dan ini akan menimbulkan rasa kebencian mereka terhadap kerajaan BN/UMNO.

Sebagai penyokong tegar UMNO kawasan Libaran, kata Mokhtar kepada Sabahkini.Net dalam satu wawancara yang diadakan di Sandakan City Club kelmarin, beliau mendesak agar Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Hj Aman campurtangan mengenai perilaku MPS yang bukan sahaja satu penindasan yang tidak mempunyai rasa peri kemanusian; malah benar-benar mencemarkan nama baik kerajaan BN, di samping bakal menjejaskan sokongan rakyat terhadap perjuangan BN/UMNO di daerah Sandakan.

Tambah Mokhtar lagi, mereka yang menjadi mangsa keadaan akan mengutus surat rayuan kepada Perdana Menteri dan Ketua Menteri agar campurtangan mengenai tindakan MPS itu.

"Jangan salahkan 700 orang pekerja MPS yang juga merupakan pengundi tegar BN/UMNO. Sekiranya perkara ini tidak dapat diselesaikan menjelang pilihanraya nanti; maka mereka akan berpaling tadah mengundi calon-calon pembangkang pada PRU 13 nanti," kata Mokhtar yang menjelaskan desakan ini bukan satu ugutan atau gertakan; cuma sebagai satu peringatan kepada para pemimpin BN/UMNO yang tidak mahu membela 700 pekerja bergaji hari tersebut.

Jelasnya lagi, perbuatan MPS ini akan dijadikan propaganda dan senjata pihak parti-parti pembangkang untuk menghentam habis-habisan kerajaan BN/UMNO yang menjurus kepada meracuni buah fikiran rakyat jelata untuk membenci kerajaan BN/UMNO dan tidak mengundi mana-mana calon BN yang bertanding nanti.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.