`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, January 30, 2013

HAJIJI GUNA MDT KUMPUL DANA PILIHANRAYA?



Saudara Pengarang,

SAYA tujukan surat terbuka ini kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Hajiji Haji Noor; Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta seluruh rakyat negeri Sabah. Surat ini merupakan kesinambungan daripada surat yang saya telah buat dan telah disiarkan di Sabahkini.net pada 13 Jun 2012 melalui artikel bertajuk 'Penyalahgunaan Kuasa Pegawai MDT?'

Selepas surat saya disiarkan oleh Sabahkini.net, respon yang saya dapati daripada para pemimpin masyarakat serta penduduk daerah Tuaran bahawa kenyataan yang saya paparkan adalah betul dan semua syak wasangka terhadap Sadan memang seperti yang saya telah dedahkan.
Saya dapati bahawa Datuk Hajiji sangat marah dengan Sadan sehingga beliau telah dipanggil dan dimarahi. Bagaimanapun, Sadan hanya diberikan amaran keras dan diminta oleh Datuk Hajiji agar menjaga rahsia terutamanya yang melibatkan beliau (Hajiji).

Ini menimbulkan kesangsian, mengapa Sadan hanya diberikan amaran sahaja sedangkan dalam kes-kes sedemikian yang melibatkan penyalahgunaan kuasa serta integriti, seseorang pegawai perlu disiasat dan tindakan seperti penurunan pangkat atau dipindahkan ke Jabatan lain patut diambil.

Rupa-rupanya, menurut sumber yang rapat dengan Datuk Hajiji, kehadiran Sadan sebagai Pegawai Eksekutif MD Tuaran amatlah diperlukan oleh Datuk Hajiji, apatah lagi menghampiri PRU13.

Sudah menjadi rahsia terbuka bahawa Sadan merupakan lombong emas (gold mine) kepada Hajiji. Sekiranya Sadan dipindahkan, sumber kewangan Hajiji akan terjejas kerana Sadan memainkan peranan besar untuk mendapatkan kewangan daripada kontraktor untuk diberikan kepada Hajiji.

Projek-projek diatur oleh Sadan sendiri dan diberikan hanya kepada kontraktor yang rapat dengan Sadan seperti Datuk Peter Chong Chun Chan dan Chua Sheng Kian. Mata orang ramai akan dikaburi dengan menyatakan mereka hanya merupakan sub-contractor.

90% daripada projek diberikan kepada mereka tanpa melalui tatacara perolehan yang betul. Sumber dalaman di MDT memaklumkan bahawa semua kontraktor tidak pernah menandatangani intergriti pact semasa mengikuti tender dan selepas mendapat projek.

Penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh Sadan Hussin atau lebih dikenali sebagai Mr. 30%.

Sadan menutup kes rasuah melibatkan beliau dan kontraktor seperti Datuk Peter Chong. Pada tahun 2011, pihak SPRM seringkali menyerbu pejabat MDT atas laporan penyalahgunaan kuasa serta berlakunya kesalahan rasuah.

Namun dengan tiba-tiba, SPRM telah menghentikan siasatan terutamanya terhadap Sadan. Rupa-rupanya, Pegawai Penyiasat pada waktu itu iaitu Jaidi telah dirasuahkan oleh Sadan dengan menggunakan kewangan daripada Datuk Peter Chong Chun Chan. Perkara ini adalah benar dan perlu disiasat oleh pihak SPRM.

Projek melibatkan pembinaan Astaka yang berharga RM2.5 juta di padang Tuaran. Menurut sumber daripada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Kota Kinabalu, atas kecuaian Sadan melantik kontraktor yang mempunyai lesen yang telah tamat tempoh, serta tidak melantik konsultan Tempatan (beliau melantik Konsultan dari Sarawak tanpa melalui pihak KKTP), pihak Bendahari negeri telah tidak meluluskan pembayaran projek tersebut yang telah hampir 50% siap.

Ini bermakna Majlis Daerah Tuaran harus menanggung perbelanjaan sebanyak RM2.5 juta. Ini akan mengakibatkan MDT jatuh bangkrap. Sepatutnya Sadan dikenakan tindakan seperti Surcharge atau siasatan atas kerakusannya untuk mendapatkan habuan daripada projek tersebut sehingga tidak mengikuti prosedur yang betul.

Proses pengagehan Rumah PPR Taman Sri Rugading dan Taman Telipok Ria dilakukan secara tidak mengikut prosedur oleh Sadan. Beliau telah menyewakan rumah tersebut kepada pihak-pihak yang tidak layak seperti tauke-tauke yang menggunakan kereta ninja, camry.

Saudara mara Datuk Peter Chong, Chua Seng Kian dan ramai lagi yang tidak berkelayakan disewakan rumah. Malahan diberikan rumah yang terletak di tingkat bawah. Pekerja-pekerja Datuk Peter Chong yang merupakan PATI juga diberikan kemudahan rumah.

Malah kes yang lagi teruk, terdapat kaum wanita terutamanya janda atau ibu tunggal mengadu kepada saya, Sadan akan meminta khidmat seks sebagai jaminan untuk mendapatkan rumah. Perkara ini adalah benar dan mohon disiasat.

Pemberian lot-lot gerai dan pasar kepada saudara-mara Sadan dan Datuk Hajiji. Ramai yang sedia maklum akan perkara ini. Lot-lot gerai akan diberikan kepada mereka dan biasanya gerai tersebut akan seterusnya disewakan kepada orang lain ataupun tidak beroperasi.

Sebagai contoh, saya mendapat maklumat daripada kakitangan MDT bahawa gerai Serbaguna Tamparuli Lot 8 telah diberikan kepada anak buahnya iaitu anak kepada kakaknya.

Namun hampir setahun telah berlalu namun gerai tersebut masih lagi tidak beroperasi. Ramai peniaga yang berminat untuk menyewa gerai tersebut namun hampa. Mohon agar perkara ini juga disiasat.

Sumber dalaman MDT memberitahu bahawa pembelian minyak petrol MDT pada tahun-tahun yang lalu dilakukan di kedai minyak Shell, Tuaran. Namun sejak dua tahun lalu, Sadan telah menghentikan pembelian minyak daripada kedai tersebut dan mengarahkan agar semua kenderaan MDT hendaklah mengisi minyak di Stesyen minyak Shell, Jalan Telibong, Tamparuli.

Penduduk Tuaran sedia maklum bahawa kedai tersebut dimiliki oleh Ahli Majlis Daerah Tuaran iaitu Sim Chee Seng. Adalah menjadi kesalahan bagi orang yang berkepentingan seperti Ahli Majlis untuk mendapatkan keuntungan daripada Majlis Daerah semasa beliau masih Ahli Majlis. Ini atas dasar conflict of interest. Pihak SPRM perlu membuat siasatan.

Sadan telah ditempatkan di Majlis Daerah Tuaran sejak tahun 1995 dengan status pinjaman daripada Jabatan Ketua Menteri. Jawatan hakikinya adalah Pembantu Tadbir (N17).

Namun atas kejayaannya memperolehi Ijazah daripada Universiti di Amerika maka beliau telah ditempatkan ke Tuaran sebagai Pegawai Eksekutif secara pinjaman.

Menurut sumber-sumber yang berpangkat tinggi di KKTP, tempoh pinjaman Sadan adalah selama 3 tahun dan perlu disambung setelah tempoh tamat.

Inilah yang berlaku setiap 3 tahun di mana tempoh pinjamannya ke MDT akan disambung/ lanjutkan. Namun semasa tempoh pinjaman Sadan tamat pada bulan Febuari 2012, pihak JKM/SPAN tidak menyambung/ memperbaharui tempoh pinjamannya ke MDT sehingga ke hari ini.

Ini bermakna semua tandatangan dan arahan-arahan kerja Sadan sejak Febuari tahun lalu adalah tidak sah (valid). Pihak KKTP tahu mengenai perkara ini, namun Datuk Hajiji telah mengarahkan pegawainya untuk mengekalkan Sadan di MDT walaupun Hajiji tahu perkara ini adalah salah.

Sekali lagi, faktor kewangan memainkan peranan memandangkan Sadan merupakan lombong emas Hajiji. Mohon agar bahagian perjawatan JKM, SPAN dan KKTP mengambil perhatian.

Sadan sememangnya bersifat Rasis (Racist). Walaupun saya berbangsa Bajau namun keharmonian antara bangsa-bangsa lain saya amat hormati dan pelihara.

Seorang kakitangan MDT yang berbangsa Bajau pernah memberitahu saya bahawa beberapa bulan selepas Sadan menggantikan Jeffery Ghani (berbangsa dusun) sebagai Pegawai Eksekutif di MDT, dia telah memanggil kakitangan-kakitangan MDT yang berbangsa Bajau dan memaklumkan kepada mereka bahawa "Masa sudah tiba bagi kaum Bajau di Majlis Daerah Tuaran untuk mengenakan orang Dusun di MDT".

Sekian lama MDT diperintah oleh orang Dusun; sekarang orang Bajau yang memerintah. Sungguh angkuh! Saya juga diberitahu oleh kakitangan KKTP bahawa Sadan telah melantik seramai 6 orang kakitangan penguatkuasa secara kontrak tanpa kelulusan daripada KKTP.

Kesemua yang dilantik berbangsa Bajau. Saya difahamkan juga bahawa nisbah kakitangan bangsa Bajau dengan Dusun di MDT adalah 85:15. Ini menjadi keluhan di kalangan Adun-Adun Tamparuli, Kiulu dan MP dan Ahli Majlis.

Sehinggakan MDT digelar Majlis Daerah Bajau. Ini amat memberi kesan kepada perpaduan kaum di Tuaran. Saya rasa, ini juga merupakan salah satu sebab Datuk Wilfred Bumburing meninggalkan Barisan Nasional. Beliau tidak diberi muka oleh Sadan dan Hajiji.

Perlantikan Pegawai-Pegawai yang berpangkat tinggi di MDT juga tidak mengikut prosedur. Amat mendukacitakan apabila saya mengetahui jawatan Pegawai Penguatkuasa MDT diberikan kepada seorang yang hanya berkelulusan SRP.

Saya telah menghubungi pegawai di KKTP dan dimaklumkan bahawa arahan tersebut daripada Hajiji. Namun Sadan boleh menasihatkan Hajiji sekiranya perlantikan tidak mengikut prosedur.

Patutlah kedai-kedai perjudian semakin bertambah, penjual rokok haram berbangsa PATI makin berleluasa, kebersihan pekan Tuaran dalam keadaan yang tidak elok, Pegawai Penguatkuasanya tidak berkelayakan pula. Mohon pihak KKTP membuat tindakan.

Yang terbaru, saya telah diberitahu oleh sumber-sumber dari KKTP bahawa Sadan telah disaman malu oleh beberapa bekas penyewa gerai serbaguna di pekan Tamparuli kerana mereka telah ditamatkan berniaga tanpa notis yang mencukupi.

Mereka juga telah diherdik dengan kasar. Perkara ini amat memalukan. Seorang pegawai kerajaan tidak menghormati pelanggan dan orang ramai. Ramai orang juga mengadu bahawa amat sukar untuk berjumpa dengan Sadan di pejabatnya. Dia akan memberi pelbagai alasan agar mereka tidak berjumpa dengannya.

Namun sekiranya Datuk Peter Chong atau kontraktor, mereka boleh berjumpa dengannya pada bila-bila masa, melalui pintu belakang. Apa yang spesial sangat dengan mereka? Sepatutnya Rakyat Didahulukan wahai Sadan!

Saya pohon kepada Datuk Musa Aman untuk meneliti semua perkara yang saya telah dedahkan. Perkara ini adalah serius dan dikhuatiri akan menjejaskan peluang Barisan Nasional di kawasan Tuaran, Tamparuli, Kiulu dan Sulaman.

Salam Hormat.

MOHAMAD ARRIFIN

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.