`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, January 30, 2013

PPM RAMPAS 11,800 BUNGKUS ROKOK




LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk rokok seludup apabila berjaya merampas 11,800 bungkus rokok pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM35,400 dalam serbuan di pesisir Pantai Tandu, Sahabat 16, dekat sini, pada Sabtu.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Abdul Manaf Othman, berkata kejayaan rampasan hasil risikan pihaknya itu telah dibuat pada kira-kira pukul 5 pagi oleh sepasukan lima anggota PPM bersama seorang pegawai.
Katanya, sebaik sahaja menerima maklumat pasukannya telah bergegas ke lokasi serbuan.

“Pada mulanya pegawai dan anggota PPM cuba membuat pemantauan selama beberapa jam di kawasan tersebut. Namun selepas tiada suspek yang muncul, pihak kita terus membuat rampasan terhadap kesemua rokok yang disembunyikan dalam belukar di persisir pantai Tandu itu,” katanya dalam sidang media yang disampaikan oleh Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Daerah ini, Asisten Superitenden (ASP) Rusdin Banin, di sini, pada Sabtu.

Kata Manaf, rampasan itu adalah membabitkan sebanyak 10,300 bungkus rokok jenis Astro dan 1,500 bungkus rokok jenis Marvels.

“Kesemua rokok ini juga dipercayai diseludup masuk dari negara jiran untuk pasaran di kawasan Lahad Datu,” ujarnya.

Tambahnya, semua rampasan itu akan diserahkan ke Pangkalan PPM Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, dalam rampasan berasingan pada Rabu lepas, PPM Lahad Datu juga berjaya merampas 1,091 botol minuman keras jenis ‘Red Horse’ dan ‘Thaduay’ dianggarkan bernilai RM11,900, dalam serbuan pada kira-kira jam 7.30 pagi, di kawasan pantai Sinakut, Sahabat 16.

Kata Manaf, semasa serbuan kesemua minuman itu ditemui disembunyikan dalam sebuah pondok terbiar dan tiada tangkapan dibuat.

Dalam pada itu, beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan dengan kegiatan penyeludupan supaya melaporkannya kepada pihak berkuasa.

“Kerjasama orang ramai yang sentiasa memberikan maklumat mengenai kegiatan aktiviti penyeludupan sebelum ini juga amat dihargai oleh PPM,” katanya lagi. (NST)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.