`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, February 1, 2013

Najib perlu berundur Mahathir kata..



Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak perlu berundur dan memberi laluan kepada timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin jika gagal meraih majoriti besar dalam pilihan raya umum ke-13 tahun ini, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kenyataan bekas perdana menteri itu memberikan gambaran Najib berhadapan tugasan besar bagi memastikan Barisan Nasional (BN) kembali mendapat majoriti tradisi dua pertiga di Parlimen agar kerajaan dapat melaksanakan segala polisi tanpa gangguan daripada pembangkang.

"Jika dia gagal, sudah tentu dia harus berundur," kata Dr Mahathir kepada pemberita selepas forum anjuran Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) di ibu kota hari ini.

Walau bagaimanapun, Dr Mahathir menambah, terpulang kepada ahli-ahli Umno untuk menetukan nasib presiden mereka sekiranya gagal melebihi pencapaian bekas perdana menteri Tun Abdullah Badawi.

"Ianya terpulang kepada ahli untuk tentukan masa depannya.

"Ahli berhak untuk tentukan siapa akan menerajui parti selepas pilihan raya," kata Mahathir menjawab soalan kepada wartawan tentang sama ada Najib perlu memberikan laluan kepada Muhyiddin ataupun tidak jika gagal meraih majoriti besar.

Dr Mahathir sebelum ini juga berkata kerajaan sedia ada ketika ini adalah sebuah kerajaan yang lemah dan menyifatkan keberanian serta kelantangan banyak pihak yang mengecam kerajaan adalah berpunca daripada keputusan lalu yang menyaksikan kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) hilang majoriti tradisionalnya.

“Ini soal kuat dan lemah, sekarang kita (Umno) lemah dan tanpa majoriti 2/3 kita akan terus menjadi lemah,” kata mantan perdana menteri itu.

“Kalau kerajaan kuat, orang tidak akan berani mencabar kerajaan,” kata beliau pada satu forum 17 Januari lalu anjuran Karangkraf.

Mengikut tradisi dalam Umno, seseorang pemimpin yang gagal memberikan kemenangan secara majoriti akan menyebabkannya disingkir seperti yang berlaku kepada Abdullah pada 2008 dan juga Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang tewas pada pilihan raya lalu.

Menjelang PRU yang akan diadakan tahun ini, Najib merayu agar pengundi memberikan mandat baru kepadanya untuk meneruskan dasar reformasi yang boleh merangsang Malaysia ke hadapan dan lebih baik walaupun mengakui kelesuan parti itu dan gabungan pemerintah BN itu ke arah perubahan.

Najib berkata mandat besar diperlukannya jika Malaysia mahu meningkat dalam ekonomi global untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.

Di samping itu, Najib juga mengakui bahawa BN dan parti utama, Umno kurang popular sejak tahun kebelakangan ini disebabkan kelemahan tetapi menggesa pengundi memberinya peluang untuk membuat perubahan yang diperlukan.

Hampir 13 juta pengundi layak untuk membuang undi mereka jika pilihan raya umum dipanggil melibatkan semua 222 kerusi persekutuan dan 505 kerusi di 12 negeri.

Najib berhadapan misi paling getir menjelang pilihan raya tahun ini yang dianggap paling sengit dalam sejarah negara sejak mencapai kemerdekaan, malahan beliau sehingga kini masih belum memutuskan senarai nama calon yang akan bertanding serta berteka-teki dengan dengan tarikh pilihan raya yang perlu diumumkan selewat-lewatnya April ini.

The Malaysian Insider 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.