Kalau dulu bolehlah Mahathir kelentong rakyat
Mahathir sudah sedar yang orang Melayu sudah memahami tanpa UMNO Melayu akan tetap boleh bertahan dan wujud dalam negara dengan kemajuan mengikut waktu dan zamannya.
“Dulu-dulu bolehlah Mahathir kelentong rakyat terutamanya orang Melayu yang tanpa UMNO Melayu akan mati dan pupus,” tulis Aspan Alias di dalam blognya.
Menurutnya, di Kelantan, rakyat sedar UMNO sudah berada di pinggiran tetapi tidak pula kita mendengar Melayu di situ mati bergelimpangan di jalan-jalan raya.
Berikut adalah tulisan penuh beliau.
UMNO sedang berusaha dan mungkin telah dapat menyenaraikan ‘winnable candidate’ untuk pilihanraya kali ini. Itulah yang disebut-sebut setiap kali dalam mesyuarat dan perbincangan tentang pemilihan calon dalam UMNO sekarang ini. Tujuannya ialah untuk mendapatkan sokongan dan keyakinan rakyat untuk memperbaiki prestasi UMNO yang sudah merudum sekarang ini.
Semalam Mahathir berlainan pula pandangannya. Beliau meminta semua rakyat mengundi UMNO dan jangan memilih calon. ‘Siapa sahaja yang diturunkan oleh UMNO sebagai calon kita mesti undi’ katanya. Apa yang dikehendaki Dr Mahathir ialah rakyat tidak payah menggunakan otak dan pemikiran. Bagi Mahathir apabila rakyat memilih itu ikut sahaja siapa yang dicalonkan dan tidak payah berfikir banyak. Mahathir sudah biasa dengan membuat arahan sahaja dan arahan beliau mesti diterima.
Tidak berapa lama dahulu dia juga yang menyatakan UMNO itu sudah busuk sampai ke ususnya, tetapi semalam beliau juga yang meminta kita mengundi parti yang beliau katakan busuk itu. Beliau juga yang mengatakan beberapa bulan dahulu UMNO sudah tidak ada apa-apa lagi, kerana yang pandai masuk PAS, yang baik sertai PKR dan yang bijak sudah menyokong DAP. Oleh itu jelas Mahathir ini tidak boleh diikuti langsung kerana kita akan diperbodoh-bodohkannya sepanjang masa. Sesungguhnya Mahathir ini mudah lupa, bukannya Melayu yang mudah lupa seperti yang beliau katakan dahulu.
Apa yang paling menariknya lagi, pada pilihanraya yang lalu Mahathir telah meminta rakyat jangan mengundi mengikut parti. Beliau mahukan rakyat memilih calon kerana jika parti menurunkan calon yang tidak baik maka ia tidak akan memberikan keuntungan kepada rakyat dan negara termasuk parti-parti yang menurunkan calon-calon itu. Semasa itu Mahathir berkata yang negara perlukan calon-calon yang baik dan mengikut kehendak masa dan zamannya.
Memang sikap Mahathir suka membodoh-bodohkan orang lain. Kita bukan tidak faham, tujuan beliau meminta rakyat mengundi calon bukannya parti dalam pilihanraya yang lalu, ialah untuk menjatuhkan Abdullah Badawi kerana beliau terlalu sakit hati dengan penggantinya itu kerana terlalu degil dan tidak mahu bertindak mengikut kehendak beliau. Semasa berkempen di Kedah dalam pilihanraya itu beliau hanya pergi ke Jerlun untuk membantu anaknya Mukhriz.
Tujuannya ialah untuk melemahkan keputusan pilihanraya itu. Dengan jatuhnya prestasi kemenangan BN maka mudahlah beliau untuk melakukan dan membantu sesiapa yang hendak mengambilalih Badawi itu dengan mudah dan kehendak beliau telah berjaya dilakukannya. BN menang tetapi hilang sokongan 2/3 dalam Parlimen. Maka mudahlah mendesak Abdullah untuk berundur. Najib pun naik setakuk lagi dan menjadi Perdana Menteri sekarang ini, tetapi mempunyai terlalu banyak dan besar ‘baggage’ nya untuk menjadi seorang PM yang diyakini rakyat.
Walaupun Mahathir sudah membayangkan agar Najib perlu meletakkan jawatan jika keputusan PRU nanti lebih teruk dari keputusan PRU yang lalu. Tetapi kali ini Mahathir tidak boleh lagi meminta rakyat memilih calon dan bukannya parti. Jika itu masih menjadi saranannya maka UMNO akan kalah terus dan Mahathir sudah barang tentu memahami keadaan sekarang . Mahathir bukannya tidak faham keadaan sekarang. Beliau tahu UMNO sedang tenat dan imej UMNO begitu buruk dan parti itu sudah dianggap parti usang oleh majoriti rakyat termasuk orang Melayu sendiri.
Memahami keadaan itu sekarang lah yang menyebabkan Mahathir terpaksa mendesak semua pihak memberikan undi terhadap sesiapa sahaja yang dicalonkan oleh UMNO nanti. Mahathir terlupa yang rakyat yang ramai-ramai ini pergi juga ke sekolah sikit-sikit dan rakyat mampu untuk memberikan pertimbangan yang wajar untuk kebaikan negara. Lagi pun Mahathir sudah disedari oleh ramai yang beliau merupakan seorang yang terlalu mahir memutar belitkan kata-katanya sendiri serta keadaan politik negara. Mahathir mempunyai ‘stake’ yang begitu besar jika UMNO kalah.
Mahathir sudah sedar yang orang Melayu sudah memahami yang tanpa UMNO Melayu akan tetap boleh bertahan dan wujud dalam negara dengan kemajuan mengikut waktu dan zamannya. Dulu-dulu bolehlah Mahathir kelentong rakyat terutamanya orang Melayu yang tanpa UMNO Melayu akan mati dan pupus. Di Kelantan, rakyat sedar UMNO sudah berada di pinggiran tetapi tidak pula kita mendengar Melayu di situ mati bergelimpangan di jalan-jalan raya.
Malahan rakyat sudah sedar jika mahukan kemajuan, pemikiran rakyat tidak boleh dikongkong. Mereka sekarang ini sedar jika pemikiran rakyat dikongkong, orang melayu tidak mampu untuk maju kerana pemikiran dan otak yang tidak pernah mempunyai pemikiran sendiri. Selama ini mereka hanya mengharapkan UMNO untuk melakukan pemikiran bagi pihak mereka. Akhirnya mereka sedar yang UMNO itu hanya lah menjadi alat kepada ‘warlords’ yang tidak pun membantu UMNO untuk kepentingan rakyat ramai. Rakyat sudah sedar yang UMNO yang memperlakukan rakyat sebagai lembu dan kaldai mereka sahaja untuk kepentingan segulungan kecil rakyat semata-mata.
Menolak UMNO itu merupakan satu tindakan yang mulia kerana membiarkan UMNO menggunakan kita sebagai kaldai itu adalah satu tindakan yang menzalimi diri sendiri. Rakyat mesti melakukan sesuatu yang memberikan kebaikan kepada rakyat yang ramai, bukannya untuk kebaikan Dr Mahathir dan konco-konconya sahaja. UMNO itu bukan kepunyaan Mahathir sahaja malahan UMNO sudah tidak disegani oleh banyak pihak kini.
Apa yang UMNO tahu hanyalah membeli perasaan rakyat dengan BRIM RM500 sahaja. Murah betul nilai jiwa rakyat ini dari pandangan UMNO terutamanya dari pandangan Najib.
Cukup-cukuplah rakyat diperkudakan oleh pimpinan UMNO selama ini. Kalau tidak kesian kepada rakyat yang ramai, setidak-tidak kesian lah kepada diri kita sendiri.
-Harakahdaily
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.