`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Monday, February 4, 2013

PAS Negeri Sembilan cabar Adun Umno isytihar harta


Adun Pilah, Adnan Abu Hassan didakwa memiliki 50 peratus saham syarikat Cekap Sejagat yang mempunyai 7.4 peratus kepentingan Negeri Roadstone, milik PKNNS.
SEREMBAN: PAS Negeri Sembilan hari ini mencabar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pilah, Adnan Abu Hassan agar mengisytiharkan harta dan kepentingan-kepentingan beliau.
Ketua Penerangan,  Nor Azman Mohamad  dalam sidang akhbar sebentar tadi mempertikaikan kedudukan Adnan sebagai salah seorang pemegang saham dalam sebuah anak syarikat milik kerajaan negeri.
“Sedia maklum Negeri Roadstone Sdn Bhd adalah syarikat milik kerajaan Negeri Sembilan melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Negeri Sembilan (PKNNS) yang memiliki kepentingan 51 peratus dan selebihnya dimiliki oleh syarikat swasta lain.
“Syarikat Cekap Sejagat Sdn Bhd pula memiliki 7.4 peratus dalam Negeri Roadstone Sdn Bhd. Hasil carian kami di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati Adnan memiliki 50 peratus saham di dalam syarikat Cekap Sejagat.
“Sebuah syarikat ditubuhkan bertujuan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Jika ada keuntungan ia akan disalurkan kembali kepada rakyat. Malangnya Adun Pilah ini telah mengambil kesempatan bagi mencabuli hak rakyat dengan memiliki kepentingan dalam Negeri Roadstone melalui syarikat Cekap Sejagat.
“Jika seorang Adun mendapat tender kerajaan pun sudah menjadi satu amalan yang ditolak, apatah lagi dalam kes seperti ini iaitu seolah-olah mengambil keuntungan yang sepatutnya dimiliki oleh  kerajaan negeri. Kedudukan ini mewujudkan situasi ‘konflik kepentingan’,” kata Norazman.
Nor Azman juga memaklumkan bahawa adalah sesuatu yang janggal apabila PKNNS hanya diwakili oleh seorang ahli lembaga pengarah daripada lima ahli lembaga pengarah di dalam Negeri Roadstone.
“Ia satu kejanggalan seolah-olah PKNNS tiada kuasa terhadap dasar dan pengurusan Negeri Roadstone sedangkan PKNNS mempunyai kepentingan majoriti dalam Negeri Roadstone iaitu sebanyak 51 peratus. Mengapa ini berlaku?
“Saya juga mencabar Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan supaya mendedahkan siapa lagi Adun dan bekas Adun Umno yang terlibat dalam Negeri Roadstone.
“Jika tiada tindakan sehingga Jumaat ini, kami akan mengambil tindakan susulan dengan membuat satu laporan polis dan dikuti dengan laporan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Ia akan disusuli dengan pendedahan lain,” tegas Nor Azman.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.