Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengatakan Firaun pun pernah memberi duit kepada rakyatnya.
SHAH ALAM: Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) mendapat kritikan sinis Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan program itu turut diberikan Firaun kepada rakyat pada zaman dahulu.
Abdul Hadi mengkritik program bantuan Kerajaan Pusat melalui BRIM ini sepatutnya mencerdikkan rakyat.
Sebaliknya, rakyat didakwa menjadi pengemis walaupun bantuan tersebut adalah wang rakyat.
“BRIM bukan cerita tentang duit, malah Firaun pun pernah bagi duit. Firaun kerahkan kaumnya dan dikumpulkan dengan memberi ucapan bahawa projek yang disalurkan kepada rakyat adalah projeknya. Firaun menjadikan rakyat ringan akal.
“Cara BRIM adalah untuk bijakkan rakyat. Terima BRIM jangan undi Barisan Nasional. Mahu ajar rakyat agar dimampukan dan bukan rakyat jadi pengemis. Maka dengan Buku Jingga kita mampu laksanakan konsep rakyat dimampukan,” ujar beliau.
Abdul Hadi ditemui ketika memberikan ucaptama dalam Konvensyen Pakatan Rakyat kali keempat di Shah Alam Convention Centre di sini hari ini.
Beliau turut menasihati rakyat agar tidak mengundi BN, walaupun menerima pemberian BRIM tersebut.
“Kamu (rakyat) bukan ayam,itik tapi kamu manusia. Jika diberi dedak atau hampas kelapa kita (rakyat) makan ayam itu balik,” ujarnya.
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pemberian BRIM ini hanya untuk menutup pelbagai mega projek yang dijalankan kerajaan pusat.
`Projek mega’
“Mereka (BN) asyik bercakap pasal BRIM. Tapi mereka tidak bercakap tentang projek mega yang diluluskan pada waktu ini,” katanya.
Sementara itu Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam ucaptamanya pula terus menyeru rakyat mengundi Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.
Katanya, pelbagai penyelewengan dan salahguna kuasa telah dilakukan BN selama 50 tahun memerintah.
Beliau turut mendakwa mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan meminta rakyat menyokong BN untuk mendapatkan majoriti 2/3 agar pindaan perlembagaan dapat dilaksanakan.
Ini didakwa bagi melucutkan kerakyatan Pengerusi bersama Bersih, Datuk S Ambiga.
“Mantan PM minta rakyat sokong BN untuk dapat majoriti 2/3 pinda perlembagaan dan lucut kerakyatan Ambiga,” ujar beliau.
Di akhir ucapannya, beliau berkata jika Pakatan berjaya memerintah Putrajaya, jet peribadi tidak dibenarkan terbang di semua lapangan terbang di Malaysia
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.