`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Saturday, May 11, 2013

Dialog ‘Ombak Hitam’


Perbincangan terbuka di laman rangkaian sosial membuka ruang untuk beberapa rakan berdialog secara sihat mengenai soal agama, politik dan isu semasa.
COMMENT
“Apakah ‘ombak hitam’ akan jelas kelihatan apabila saudara-mara dan para sahabat kita yang beragama Islam rukuk, iktidal dan sujud berjemaah di hadapan-Nya pada tengah hari ini?”
Demikian saya paparkan pada ruangan status Facebook pada pagi Jumaat, 10 Mei 2013. Tentulah saya ingin tahu sama ada “semangat” yang dilahirkan menerusi “Black 505” mulai 6 Mei – dan semakin nyata menerusi perhimpunan masyarakat pelbagai kaum/agama di Stadium Kelana Jaya pada 8 Mei – turut menular ke masjid-masjid.
Tambahan pula, sekumpulan orang sudah merancang untuk berarak ke Pejabat SPR Putrajaya dengan berpakaian serba hitam selepas solat Jumaat. Sejak awal pagi Isnin pula, ramai pengguna Facebook – termasuk saya – meletakkan foto profil warna hitam sebagai tanda bantahan senyap (silent protest).
Berbalik kepada paparan status tadi, ia mendapat reaksi mudah menerusi “Like” daripada lebih 30 rakan serta komen bertulis daripada lima rakan. Akhirnya saya memberitahu rakan-rakan terbabit bahawa saya mahu menulis makalah berbentuk dialog (perbualan) berdasarkan komen-komen yang diberikan oleh mereka.
Pemaparan semula dialog yang berlaku bukanlah bertujuan mengaibkan atau menyalahkan sesiapa tetapi berniat mewujudkan “dialog” yang sihat berkaitan isu-isu yang mungkin dianggap sensitif. Berikut dialog kami dengan sedikit suntingan dari segi bahasa tanpa mengubah maksud asal. Nama samaran “RN” digunakan atas permintaan individu terbabit.
Uthaya: Apakah “ombak hitam” akan jelas kelihatan apabila saudara-mara dan para sahabat kita yang beragama Islam rukuk, iktidal dan sujud berjemaah di hadapan-Nya pada tengah hari ini?
RN: Brickfeild [sic] banyak ombak hitam, bos!
Uthaya: Sila jelaskan maksud kenyataan anda; selain membetulkan ejaan nama tempat berkenaan.
RN: Saya terguris apabila anda mengaitkan situasi politik terkini dalam negara, sehingga “menceroboh” ke dalam amalan agama saya. Lantaran itu, secara spontan saya bertindak balas, menyuruh anda melihat “ombak hitam” yang boleh dilihat di tempat yang saya sebutkan di atas. Dengan itu, marilah kita sama-sama terguris.
Uthaya: Ya, saya terguris apabila anda salah eja “Brickfields”.
RN: Minta maaf atas kesalahan tersebut (salah eja).
Uthaya: Maksud saudara, ramai umat Islam di Brickfields dijangka bersolat jemaah sambil memakai baju hitam pada hari ini?
Haris Hauzah: Politik dan agama sentiasa bersama; seiring.
RN: Maksud saya, di situlah (Brickfields) ada ramai kaum India. Tidak ada masalah mereka berada di mana sekali pun. Warga negara Malaysia boleh dengan bebas pergi ke mana-mana dan berkumpul di mana-mana. Saya juga menikmati Brickfeilds [sic] sebagai “Little India”. Menghormati apa agama mereka. Jadi, tak perlu menyindir agama saya.
Uthaya: Menyindir?
Husna Nabila: Tiada tiada ada apa-apa yang disindirkan oleh Uthaya. Sebaik sahaja membaca status di atas, segera saya faham ia berkaitan dengan protes terhadap Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) iaitu kempen Black505. Dalam erti kata lain, status ini bermaksud, “Cuba bayangkan jika semua ahli jemaah di masjid memakai baju bewarna hitam tanda protes.”
RN: Niat ke masjid mesti diperbetulkan; iaitu hanya beribadat kerana Allah! Tiada niat yang lain. Saya dan kita boleh memaafkan Uthaya kerana mungkin ada beberapa aspek dalam agama kita (Islam) yang beliau kurang arif.
Haris: Kasihanlah jikalau masjid itu ibadahnya solat sahaja. Penentangan terhadap penindasan dan kezaliman pun tidak boleh dimasjidkan. Saya sudah kata: agama, politik, sosial dan segalanya seiring, bersama.
Islam adalah “cara hidup”
Husna: Saya berpolitik kerana Allah. Kalau bukan kerana Allah, saya sudah biarkan kehancuran di sekeliling saya. Kalau bukan kerana Allah, saya tidak kisah pun Najib menjadi pemimpin saya. Tetapi kerana Allah, saya ambil berat. Kita beribadat bukan ketika solat sahaja. Kita beribadat ketika menjalankan kehidupan seharian kerana Allah, makan kerana Allah, berpakaian kerana Allah, belajar kerana Allah dan berjuang kerana Allah. Maafkan saya jika saya juga kurang arif ilmu agama. Islam adalah “cara hidup”. Dan bagi saya, di masjid adalah lokasi kesatuan yang paling hebat boleh dinampakkan. Saya sokong rancangan memakai pakaian warna hitam ke masjid.
RN: Saya dari awal tidak memegang anutan kepartian sama ada PR, BN, PAS, PKR, MIC, DAP, Berjasa, PPP, MCA, Bebas dan sebagainya. Walau bagaimanapun, saya menghormati individu Anwar Ibrahim, Nik Aziz, Najib Razak, Lim Kit Siang, Karpal Singh, Rafizi Ramli, Nur Izzah, Muhyidin Yassin (sekadar menyebut beberapa nama) hatta golongan penulis seperti Uthaya. Saya tidak kisah apa pun pandangan orang terhadap parti lawan masing-masing. Cuma, apabila Uthaya menyentuh agama saya. … Harap maklum bahawa saya tidak pernah mengatakan masjid hanya untuk bersolat. Saya juga sokong pelbagai warna pakaian ke masjid.
Husna: Pada masa akan datang, kalau rasa ragu-ragu dan tidak senang terhadap paparan di ruangan status Uthaya, mungkin RN patut bersabar dan bertenang. Fikirkan konteks ayat dan jangan terus marah. Nabi Muhammad SAW berpesan, “Jangan marah, jangan marah dan jangan marah.” Kita sebagai orang Islam mestilah berusaha mempamerkan keindahan Islam itu sendiri. Kalau tersilap, sesungguhnya Allah itu Al-Ghaffar, Maha Pemaaf.
RN: Saya tidak marah. Harap Husna jangan marah marah juga.
Husna: Dalil berhubung warna pakaian Rasulullah, Aisyah r.a. menceritakan, “Rasulullah SAW keluar pada suatu pagi dengan memakai kain yang diperbuat dari bulu hitam.” (Riwayat Imam Muslim, at-Tirmizi dan Abu Daud)
RN: Saya maafkan Husna. Harap Husna juga memaafkan saya.
Husna: ‘Aun bin Abi Juhaifa’ meriwayatkan daripada bapanya yang menceritakan, “Aku melihat Rasulullah SAW memakai kain/pakaian berwarna merah dan aku lihat seolah-olah (putih) bercahaya dua betis baginda.” Berkata Sufyan (yang merupakan antara perawi Hadis ini), “Kami berpandangan kain yang dimaksudkan itu ialah Hibarah.” (Riwayat at-Tirmizi, Imam Ahmad dan Imam at-Thabrani)
RN: Bukan warna hitam sahaja. Putih, hijau, merah pun ada.
Husna: Warna putih. Daripada Samurah bin Jundab r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Pakailah pakaian berwarna putih kerana sesungguhnya ia lebih suci dan lebih baik dan kafankanlah dengannya jenazah-jenazah kamu.” (Sunan at-Tirmizi, an-Nasai, Ibnu Majah, Musnad Imam Ahmad)
Haris: RN setuju bahawa masjid bukan hanya untuk bersolat. Dalam pada itu, niat ke masjid jangan kita hadkan hanya pada solat sahaja, kerana duduk diam-diam di dalam masjid saja sudah dikira sebagai suatu ibadat. Saya seorang “no partisan” yang menentang segala bentuk pemerasan dan ketidakadilan. Saya kira status asal yang dipaparkan oleh Uthaya ini adil (“fair”) serta tidak menyentuh agama (Islam) secara jahat dan bodoh.
RN: Kan saya dah kata, Husna, ada warna lain juga! Jangan dangkal sangat sampai macam tu!
Husna: Saya tidak marah. Kita sedang berbincang, betul tak? Perbincangan yang sihat. … Kiranya pelbagai warna boleh dipakai. Apa salahnya jika kita terus dengan protes kita dan memakai pakaian warna hitam, termasuk ke masjid?
RN: Mengapa apabila lawan berdialog dan kita berlainan pendapat, kita mengatakan dia “jahat dan bodoh”? Boleh jadi saya bodoh, tapi harap Allah ampunkan saya. … Haris, tindakan meminta umat Islam diam-diam duduk di masjid, hanya beribadat sahaja, seolah-olah untuk merendahkan martabat Islam.
Makna tersurat
Uthaya: Mujurlah ramai juga rakan-rakan yang memahami makna tersurat (tak perlu ke tahap tersirat!) pada paparan status ini. Itu sudah memadai kerana mustahil kita boleh membimbing semua orang. Muhasabah.
RN: Husna, maafkan saya kalau saya bersalah. Assalamaualikum, namun jika nak berdialog, saya boleh beri masa.
Husna: Baiklah. Maafkan saya juga.
RN: Saya tidak ada apa-apa masalah dengan Uthaya. Cuma sesekali sahaja “menyangkal” tulisan/pandangan beliau.
Uthaya: Mujurlah dialog berakhir secara baik. Semoga silaturahim terjalin lebih erat. Nabi Muhammad SAW juga menggalakkan dialog bagi membantu percambahan minda.
Haris: Subhanallah. Terlalu banyak kesalahfahaman yang diambil dan dipetik oleh RN daripada kata-kata saya. Lebih baik saya mengundurkan diri sebelum berlaku lebih banyak salah tafsir terhadap ayat-ayat saya.
RN: Saya minta maaf kepada Haris juga. Setelah membaca semula, saya akui ada kesalahfahaman membaca teks dan kata-katanya. Maafkan saya!
Uthaya: Ada juga golongan “penulis hebat” dan “graduan hebat” yang mengirim mesej peribadi menerusi Facebook sejak tadi dan mengatakan saya menghina solat orang Islam! Kalau status asal saya dibaca dengan teliti (dan dengan jiwa yang tenang), pasti nampak bahawa saya maksudkan kemungkinan sejumlah umat Islam memakai baju warna hitam sebagai tanda protes terhadap apa yang dikatakan sebagai penipuan dalam PRU-13 (Black 505). Tiada kaitan dengan “orang berkulit hitam” atau menghina cara bersolat. Saya menentang rasisme dan perkauman. Hinalah kalau saya sendiri membuat kenyataan seumpama itu. Semoga segala kekusutan sudah terlerai.
Mohd Sa’atarinur: Janganlah ada sesiapa yang cuba memutar-belitkan (“spin”) makna paparan status Facebook oleh Uthaya. Sekali baca pun sudah jelas bahawa apa yang Uthaya maksudkan adalah, adakah jemaah akan memakai baju hitam semasa solat Jumaat nanti.
Muhammad Ridwanto: Sunat pakai pakaian putih. Hitam mungkin untuk berkabung. Hari Jumaat adalah hari kebesaran umat Islam dan disunatkan memakai pakaian putih. Kalau pakai pakaian hitam, tak dapat pahala sunat yang Nabi Muhammad SAW anjurkan di hari Jumaat tapi dapat pahala kerana pakai kerana Allah. Pakaian putih dipakai untuk solat Jumaat.
Haris: Mujurlah RN akhirnya mengerti. Alhamdulillah.
Sa’atarinur: Hari Jumaat digalakkan memakai warna hijau, tapi tidak pernah diharamkan untuk pakai apa-apa warna, hatta warna pelangi sekalipun.
Uthaya: Kita akhiri dialog ini yang sangat sarat dengan ilmu pelbagai bidang. Saya minta izin untuk menyunting dan menyiarkan paparan ini dalam bentuk makalah demi manfaat dan kebaikan khalayak yang lebih besar.
[Uthaya Sankar SB terlibat mengendalikan aktiviti bahasa dan sastera sempena Pesta Buku Selangor. Maklumat ada diwww.kavyan.blogspot.com]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.