`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, May 29, 2013

Ikhtibar Sebalik Kekecohan Di Stadium Darul Makmur

KUANTAN29 Mei - Insiden kekecohan yang berlaku di Stadium Darul Makmur pada perlawanan pusingan kedua Piala FA antara pasukan Pahang menentang Johor Darul Takzim malam tadi sungguh memalukan. Berbagai tuduhan dan tohmahan liar dilontarkan kepada semua pihak gara-gara tragedi tersebut. Penyokong Pahang menyalahkan penyokong Johor, dan begitulah sebaliknya. Namun hakikatnya tidak siapa yang tahu pihak manakah yang memulakan kekecohan itu. Apa yang jelas, kejadian yang berlaku menjatuhkan imej Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) malah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sendiri. Malah, lebih mendukacitakan adengan itu disajikan dihadapan Sultan Pahang, Sultan Hj.Ahmad Shah sendiri selaku Presiden FAM. Persoalannya kenapa kejadian ini boleh berlaku, sedangkan penonton yang hadir berbondong-bondong mahu menyaksikan satu pertandingan yang cukup hebat dan menghiburkan. Namun apa yang berlaku amat menyedihkan. Merujuk kepada apa yang berlaku, ada beberapa perkara yang perlu diambil perhatian oleh pihak Perbadanan Stadium Darul Makmur dan juga Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP sendiri. Antaranya isu lambakan "tiket haram" yang dijual secara berleluasa melebihi had yang dibenarkan. Penganjur digesa menyiasat beberapa aduan dari orang awam yang menyatakan mereka dikenakan caj antara RM20 hingga RM50 untuk membeli tiket yang berharga RM12. Bayangkan ia melambung sedemikian rupa!. Memang kita tahu, mereka memperuntukkan tiket tambahan untuk menampung jumlah penonton yang ramai. Tetapi adakah berbaloi tiket tambahan yang dijual secara haram dibiarkan berleluasa?. Akibatnya ribuan penyokong Pahang terpaksa duduk di atas trek ditepi padang gara-gara ketiadaan tempat duduk untuk mereka. 

Bukti, seorang ulat begitu berani menjual tiket dengan harga yang berbeza 
Benar ada  tiket tambahan, tapi kenapa terlalu banyak dan menyusahkan 

Anehnya mereka tiba-tiba diarahkan keluar dari trek untuk tidak mahu mengganggu perlawanan yang mahu dimulakan ketika itu. Akibat lebihan tiket haram juga, ada beberapa orang penyokong fanatik kedua-dua pasukan telah merempuh pagar stadium untuk masuk. Soalnya, kenapa dibiarkan mereka masuk?. Sedangkan ada anggota RELA, FRU dan pihak polis yang mengawal ketika itu. Apabila mereka diarahkan keluar trek dan masuk ke tempat duduk, disinilah bermula kekecohan sebenarnya. Ramai yang marah kerana ada yang diarahkan keluar stadium kerana tiada tiket. Kekalutan berlaku ada yang tidak mahu berganjak dan ada pula yang masih berlegar-legar dalam kawasan terbabit. Akhirnya sebahagian daripada lebihan penonton telah diarahkan duduk di tempat duduk VIP yang berbumbung dan yang berhampiran (tempat duduk polis). Ketika inilah adengan ngeri berlaku, iaitu sekitar jam 10.15 malam.  Akibat kelewatan memindahkan lebihan penyokong terbabit yang menjangkau hingga hampir satu jam, maka para pemain pasukan Johor dilihat tinggalkan stadium untuk berehat.


Seorang penyokong Pahang yang tercedera dalam kekecohan malam tadi

Ketika itu Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohd Jasmani Yusoff membuat pengumuman bahawa keadaan stadium selamat. Beliau kemudian membuat pemantauan ke segenap sudut stadium bersama pegawai PBNP. Ketika dia bersalaman dengan para penyokong Johor inilah berlaku kekecohan apabila ada balingan batu ke arah tempat duduk mereka. Akibat balingan itu, beberapa orang penyokong Johor membuat tindakan susulan dengan membaling botol mineral ke arah pihak terbabit. Kejadian yang berlaku di hadapan Pintu 5, Stadium Darul Makmur itu diperhatikan oleh beberapa orang peniaga gerai dan ada yang sempat merakamkan aksi berkenaan sebenarnya. Difahamkan balingan batu-batu dibuat oleh sekumpulan penyokong yang sebelum itu dilihat membawa bendera Pahang gergasi melintasi kawasan penyokong Johor. Selepas itu mereka dipercayai keluar dari stadium dan ada saksi yang melihat kejadian balingan batu berlaku. Mereka tidak sepatutnya berbuat demikian ketika suasana kian tegang!.


Penyokong Johor menunjukkan batu-batu yang dibaling ke arah mereka
Seorang penyokong Johor tercedera akibat terkena objek yang dibaling
Sebahagian daripada gambar-gambar semasa  kekecohan itu berlaku

[Secara kesimpulannya, perlawanan malam tadi boleh berjalan lancar sekiranya awal-awal lagi pihak terbabit mengawal kemasukan penonton yang berlebihan dan membenarkan pula mereka duduk di atas trek. Ramai keliru, siapa yang memberi arahan berkenaan sedangkan arahan seterusnya meminta mereka keluar dari trek. Ini bermakna PBNP telah membuat arahan yang tidak betul terhadap penyokong Pahang sendiri. Keduanya, kekecohan sudah dikenalpasti ketiak di luar stadium akibat pintu masuk yang kecil dan hanya ada seorang pegawai sahaja yang memeriksa tiket, sedangkan jumlah penyokong yang hadir berganda-ganda. Pintu masuk perlu diperbesarkan dan pegawai berkenaan perlu ditambah. PBNP juga perlu mengawal penjualan tiket dalam kuantiti yang banyak, hingga membolehkan ada pihak yang menjual tiket tersebut dengan harga yang berlipat kali ganda dari harga biasa. Malah, jumlah tiket tambahan juga perlu dikawal dan tidak membiarkan sewenang-wenangnya tiket dijual hingga menyebabkan stadium gagal menampung jumlah penonton yang terlalu ramai. Akibatnya pasti akan berlaku kekecohan yang akhirnya menjejaskan nama baik bola sepak Pahang dan negara kita dipersada dunia sebenarnya.  Semoga kejadian seperti ini menjadi pengajaran kepada semua pihak agar lebih berhati-hati selepas ini. Jangan sewenang-wenangnya memandang rendah kepada kehadiran penonton yang terlalu ramai pada masa akan datang. Malah, mereka yang didapati khianat dan membuat onar perlu dibawa ke muka pengadilan agar insiden seperti ini tidak berlarutan lagi].


- pahangdaily

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.