KOTA KINABALU: Seorang aktivis politik tempatan, Kanul Gindol menyifatkan pelantikan tiga pemimpin Kadazandusun Murut (KDM) dalam barisan Kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai keputusan mercu tanda kerajaan persekutuan dalam memperkasa rakyat Sabah.
Beliau berkata pelantikan bersejarah Anggota Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Maximus Ongkili sebagai Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air; Tan Sri Joseph Kurup (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) dan Datuk Dr Ewon Ebin (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi) adalah baik untuk Malaysia terutama masyarakat KDM.
“Tidak pernah dalam 50 tahun, kita mempunyai tiga pemimpin Kadazandusun Murut sebagai menteri persekutuan pada satu-satu masa. Ketiga-tiga mereka tidak boleh menggagalkan Najib dan mereka tidak boleh bekerja sambil lewa bagi mengelak kekecewaan.
“Ia menggambarkan kekuatan politik Najib dan penghargaan kepada sokongan berterusan Sabah (dan juga Sarawak) kepada BN,” katanya kepada Bernama di sini kelmarin.
Selain tiga pemimpin berkenaan, Sabah turut diwakili dalam Kabinet persekutuan menerusi Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah); Datuk Seri Anifah Aman (Menteri Luar) dan Datuk Abdul Rahman Dahlan (Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan).
Sementara tiga timbalan menteri dari Sabah terdiri daripada Datuk Mary Yap (Kementeri Pelajaran dan Pengajian Tinggi); Datuk Abdul Rahim Bakri (Kementerian Pertahanan); Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin (Kementerian Kerja Raya) dan Datuk Azizah Mohd Dun (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).
Pada pilihan raya umum ke-13, BN Sabah yang diketuai Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman menang 22 kerusi kawasan Parlimen dan 48 kerusi Dewan Undangan Negeri.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.