`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, May 6, 2013

MUKHRIZ ANGKAT SUMPAH MENTERI BESAR KEDAH




ALOR SETAR : Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri Datuk Mukhriz Tun Mahathir akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah di Istana Anak Bukit, Alor Setar pada 3 petang Isnin.

Beliau berkata Tengku Bendahara Kedah Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah, yang juga Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, akan menerima watikah daripada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak.
Mukhriz berkata ia bagi memaklumkan pelantikan beliau sebagai Menteri Besar dan kerajaan baharu di negeri ini akan bermula untuk melaksanakan segala Aku Janji BN Kedah yang diumum sebelum pilihan raya.

"Itu saja saya ingat akan memenuhi masa kami dalam tempoh lima tahun ini kerana disenaraikan begitu banyak sekali aktiviti dan program yang dirancang semata-mata untuk rakyat.

"Tujuannya tak lain tak bukan untuk meningkatkan pendapatan bagi negeri ini, dan sudah tentu untuk memberi nikmat kepada rakyat, jadi di situ permulaannya dari pagi ini," katanya kepada pemberita pada sidang media di Bangunan Tunku.

BN membentuk kerajaan negeri di Kedah dengan majoriti mudah selepas memenangi 21 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Sambil kita berpuas hati dengan keputusan ini, kita mempunyai satu tanggungjawab yang berat untuk memenuhi kehendak rakyat, dan ini satu tanggungjawab yang memang kami bersedia untuk menggalas dan memikulnya," kata Mukhriz.

Beliau turut ditanya berhubung tindakan beraninya bertanding di kerusi DUN Ayer Hitam mencabar penyandang Abd Ghani Ahmad daripada PAS.

"Bagi saya, ini satu contoh supaya rakan yang lain turut berusaha untuk menang di kerusi yang telah kita kalah dahulu...Nak kata yakin, 50-50 juga... Apa ertinya kalau saya datang ke mari bertanding di kerusi yang selamat, oleh itu, saya ambil risiko yang agak terkawal, kerana walaupun dahulunya kita kalah di DUN Ayer Hitam, tetapi jumlah undi yang saya dapat pada 2008 agak banyak," katanya.

Mukhriz berkata disebabkan itu, beliau yakin mempunyai peluang untuk menang kerana telah memberi perkhidmatan sebaik mungkin kepada seluruh warga Parlimen Jerlun dalam tempoh lima tahun lepas.

"Saya ingat pengundi di Ayer Hitam juga menghargai apa yang telah saya lakukan, akhirnya sokongan mereka telah diterjemahkan dalam bentuk undi yang telah kita ketahui keputusannya hari ini," katanya. (Bernama)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.