LAWAT....Pang bersama-sama rombongannya melawat Masjid Kg Bokara.
Oleh: SHAIMON S JUMADI Foto: SAFFIE S JUMADI
KARAMUNTING : Sebagai Wakil Rakyat yang dipilih dan diberi mandat sepenuhnya pada PRU 13 lalu, sememangnya sudah menjadi tanggungjawabnya memastikan setiap program pembangunan yang telah dirancangkan sebelum ini, diteruskan demi kepentingan rakyat.
Bercakap kepada Sabahkini.Net sejurus selepas berjumpa masyarakat di sekitar Tanah Merah dan Kampung Bokara di sini, kelmarin, ADUN Karamunting, Charles O Pang berkata, misi beliau sekarang adalah memberi keselesaan kepada semua kerana mandat yang diberi tidak boleh dipersia.
Namun begitu, ujarnya, masyarakat perlu pro-aktif memberi maklum balas berhubung tahap pembangunan di kawasan masing-masing supaya setiap segala keperluan dapat ditangani segera.
"Sebagai wakil rakyat yang baru dipilih, sudah pasti pengalaman saya tidak sama seperti pemimpin yang sudah lama berkhidmat. Tetapi paling penting ialah jalinan kerjasama di antara pemimpin dan masyarakat," kata Charles yang akan memastikan pembangunan di Karamunting selaraskan segera.
Sehubungan itu, kata Charles, perancangan wakil rakyat sebelum ini, Datuk Peter Pang En Yin untuk menaiktaraf Pasar Ikan dan Sayur di Tanah Merah ke kawasan lebih sesuai akan direalisasikannya.
"Saya akan meneruskan perancangan Datuk Peter Pang agar usaha menaiktaraf pasar tersebut yang dicadangkan dipindahkan ke kawasan tepi laut akan menjadi kenyataan," ujar Charles.
WAWANCARA.....Pang memberitahu misinya untuk membangunkan kawasan DUN Karamunting dengan lebih pesat lagi.
Tanggungjawab beliau sekarang, kata Charles ialah memikul tugas yang diamanahkan terutama memastikan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) semakin meningkat.
Sambil berterima kasih kepada para pengundi Karamunting yang memberikannya mandat untuk menjadi wakil rakyat baru, Charles berkata, usahanya kini tertumpu kepada tugas memulihara kawasan pesisir pantai dengan menaiktaraf Pantai Pasir Putih atau lebih dikenali sebagai 'Sandy Plain'.
Katanya, pantai itu berpotensi menjadi salah sebuah tempat pelancongan menarik asalkan wujud usaha tersebut.
"Pantai ini mewujudkan persekitaran yang sihat dan sering dikunjungi ramai setiap minggu. Saya yakin usaha memulihara serta menaiktaraf pantai ini sebagai kawasan rekreasi keluarga yang popular akan menjadi kenyataan," kata Charles.
Sebagai perancangan masa hadapan, Charles bercadang membina sebuah dewan masyarakat di Karamunting selain menaiktaraf pondok polis sedia ada, termasuk menaiktaraf sistem perparitan serta pemasangan lampu jalan.
Menurutnya, perancangan ini adalah 'Akujanji' yang dilafazkan ketika kempen PRU-13 untuk memberi manfaat kepada rakyat.
Mengenai perlantikan Pengerusi JKKK atau JKDB, tambah Charles, sebaik-baiknya biarlah penduduk-penduduk sendiri yang membuat pilihan melalui proses pemilihan di meja bulat.
Katanya, melalui sistem pemilihan kendiri, penduduk dapat membangunkan kampung mereka secara muafakat dan mengurangkan karenah birokrasi seperti sebelum ini.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.