Pesta Menuai ini menjadi medan pemimpin kerajaan menyampaikan ucapan-ucapan yang memberangsangkan.
PENAMPANG : Seperti sambutan-sambutan sebelumnya, Tadau Kaamatan atau Pesta Menuai kaum Kadazandusun di Sabah terus disambut meriah dengan dewan bersejarah Hongkod Koisaan dekat sini dibanjiri ribuan manusia bermula kelmarin.
Tadau Kaamatan yang disambut pada peringkat negeri pada 30 dan 31 Mei setiap tahun itu menjadi medan pemimpin kerajaan
menyampaikan ucapan-ucapan yang memberangsangkan tetapi juga menjadi tempat para peniaga dan pengunjung menikmati pelbagai juadah – makanan, pertunjukan kebudayaan dan cerita politik.
Semalam, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman diiringi Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Maximus Ongkili dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkunjung ke tapak pameran dan pelbagai persembahan di rumah-rumah tradisional suku kaum Kadazandusun di pekarangan Hongkod Koisaan.
Mereka disambut meriah oleh para pengunjung dan tidak kurang juga yang mengomel politik di belakang mereka, memprotes terutama para pemimpin Kadazandusun dalam kerajaan Barisan Nasional yang dianggap “kalah” dan tiada taring serta tidak buat “kerja”.
Cerita-cerita sedemikian menjadi sajian utama di gerai-gerai terutama yang dikunjungi bekas para petugas pilihan raya umum yang baru saja selesai tiga minggu lalu.
‘Unduk Ngadau’
Seperti kebiasaan semalam adalah kemuncak perayaan itu dengan penampilan pertandingan ratu cantik Tadau Kaamatan yang dipanggil “Unduk Ngadau” menjadi daya tarikan utama.
Ia disertai puluhan gadis paling cantik kaum Kadazandusun yang mewakili daerah dan kawasan dari seluruh ceruk Sabah yang sebelum itu telah mengadakan Pesta Menuai peringkat daerah masing-masing.
Yang di-Pertua Negeri, Juhar Mahirudin merasmikan Tadau Kaamatan itu manakala isteri beliau, Norlidah RM Jasni memahkotakan Unduk Ngadau 2013. Pemenang menerima wang tunai dan pelbagai hadiah bernilai lebih RM100,000.
Sementara itu seorang Ahli Seumur Hidup KDCA merungut kerana kali ini tidak menerima jemputan KDCA ke Tadau Kaamatan seperti tahun-tahun yang lalu.
Fredoline Edwin Lojingki, 73, memberitahu FMT tahun ini beliau tidak menerima jemputan sama ada sebagai warga emas ataupun ahli seumur hidup KDCA.
“Saya rasa mereka sudah terlepas pandang atau pun mungkin sekarang mereka tidak lagi menjemput kami. Hanya ada kira-kira 500 ahli seumur hidup KDCA dan saya juga diberitahu yang lain pun turut tidak menerima jemputan,” rungutnya.
Lojingki juga kesal sebab pihak KDCA gagal menyediakan tandas yang cukup khususnya di pekarangan gerai-gerai makan di sekitar Hongkod Koisaan yang biasanya beroperasi sebulan sebelum sambutan sebenar pada hujung bulan.
“Tidak manis dipandang waktu malam para pengunjung yang mabuk-mabuk kencing begitu sahaja di sekitar pagar KDCA. Bau hanyir pun boleh dihidu pengunjung lain di situ pada 30 dan 31 Mei lalu. Mana pergi peruntukan pembaikan KDCA itu?,” ujarnya.
Tahun lalu Musa mengumumkan peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM800,000 untuk KDCA dan semalam beliau sekali lagi meluluskan RM250,000 untuk aktiviti persatuan itu.
*’Kaamatan’ yang bermaksud ‘penuaian’ dalam bahasa Kadazandusun itu menampilkan pelbagai ragam manusia.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.