`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, June 14, 2013

Guna komputer riba 1Malaysia hentam kerajaan

Kemudahan itu disediakan untuk tujuan pendidikan dan tidak sepatutnya disalahgunakan, kata Adun Sadong Jaya Ir Aidel Lariwoo.
Oleh Doris Apai
SADONG JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sadong Jaya Ir. Aidel Lariwoo menasihatkan anggota masyarakat khasnya generasi muda menggunakan sebaik mungkin kemudahan komputer riba 1Malaysia (KR1M) yang diberikan kerajaan.
Beliau berkata kemudahan itu yang disediakan untuk tujuan pendidikan tidak sepatutnya disalahgunakan untuk menimbulkan propaganda yang boleh memburukkan kerajaan dan menghancurkan masa depan negara.
Menurutnya, KR1M memberi faedah kepada generasi muda bagi mengetahui lebih luas dunia digital serta satu langkah untuk mengenali alam siber dengan kemudahan teknologi maklumat (IT) dalam dunia yang semakin maju dan membangun.
“Pelbagai kemudahan yang diberikan oleh kerajaan bertujuan menaik taraf kehidupan rakyat, membangun sesuatu kawasan agar rakyat tidak ketinggalan daripada masyarakat lain di dunia ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bantuan Komputer 1Malaysia (KR1M) SKMM di Dewan Sri Sadong Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sadong Jaya semalam.
Katanya, bagi pelajar yang telah menerima KR1M, mereka harus berterima kasih kepada kerajaan yang telah menyediakan kemudahan bagi pendidikan supaya mereka setaraf dengan masyarakat lain dengan mendedahkan penggunaan komputer dan kemudahan mendapatkan maklumat pembelajaran melalui internet.
Beliau memberitahu kebebasan bersuara menerusi laman sosial tidak harus disalah guna untuk menghasut yang boleh menggugat keamanan negara kerana mereka yang didapati melakukan kesalahan seperti menghasut di laman sosial boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Kita kesal kerana ada individu yang menggunakan laman sosial untuk menghina institusi Raja, PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan ATM (Angkatan Tentera Malaysia) seperti yang berlaku baru-baru ini, perkara seumpama ini tidak sepatutnya berlaku,” tegasnya.
Budaya inovasi
Sementara itu di KOTA SAMARAHAN, Minggu Inovasi dan Kreativiti 2013 Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak menjadi platform untuk membudaya inovasi yang merupakan agenda penting bagi Malaysia demi meningkatkan daya saing negara supaya dapat bergerak seiring bersama negara-negara maju yang lain.
Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri UiTM Sarawak Prof. Madya Dr. Rashidah Mahdi berkata, langkah untuk menyemai budaya inovasi perlu dilakukan secara menyeluruh semenjak dari bangku sekolah, universiti, industri serta kerajaan.
“Usaha itu perlu mendapat kerjasama dari semua pihak termasuk ahli akademik bagi membolehkan inovasi dan produktiviti yang kompetitif untuk memacu peningkatan nilai tambah kepada ekonomi negara,” katanya.
Menurutnya, sambutan yang bertemakan ‘Inovasi: Ke Arah Negara Berpendapatan Tinggi’ lebih bermakna kerana ia bersamaan dengan Sambutan Ulang Tahun UiTM Sarawak Ke-40.
“Kita harap program ini dapat menggalakkan budaya inovasi dan meningkatkan daya kreativiti di kalangan warga UiTM Sarawak,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Minggu Inovasi & Kreativiti 2013 UiTM Sarawak.

Di samping itu katanya, pendedahan mengenai kepentingan perlindungan harta intelek serta penerangan mengenai prosedur untuk mendapatkan perlindungan harta intelek dan pengisian borang permohonan perlindungan harta intelek juga akan dilaksanakan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.