`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, June 23, 2013

GUNA SUBSIDI RM17 JUTA UNTUK TUJUAN LAIN



LABUAN : Pergerakan Pengguna Labuan (LCM) mencadangkan agar subsidi RM17 juta yang bertujuan meringankan beban pengguna feri, diperuntukkan semula untuk kegunaan lain.

Pengerusinya Fauziah Mohd Dun berkata cadangan itu dibuat setelah pihaknya dimaklumkan bahawa pengguna di Labuan dan tanah besar Sabah serta Sarawak tidak mendapat manfaat daripadanya, walaupun tambang feri dikurangkan 50 peratus.
Katanya maklumat dan maklum balas daripada pengguna serta hasil kajian bahagian penguatkuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Labuan menunjukkan harga barang bukan sahaja tidak turun, malah terus meningkat.

Beliau memberitahu Bernama hari ini bahawa harga makanan yang dijual di kebanyakan kedai makan pula didapati meningkat dengan ketara.

“Penggguna tidak mendapat manfaat daripada potongan kadar tambang feri, tetapi pemilik lori dan pengusaha syarikat pengangkutan yang mendapatnya.

Berikutan perjumpaan dengan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Labuan, kami mencadangkan agar subsidi itu diperuntukkan semula bagi tujuan lain," katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, walaupun tambang feri ke Labuan diturunkan 50 peratus bagi kenderaan perdagangan dari tanah besar Menumbok, Sabah, berkuatkuasa 1 Jun, namun harga kebanyakan barangan pengguna masih lebih mahal sedikit berbanding harga di tanah besar Sabah.

Walaupun penurunan harga dijangka berlaku berikutan pengurangan kos pengangkutan, tetapi ia akan hanya dirasai selepas dua atau tiga bulan.

Tinjauan Jabatan Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mendapati lebih 400 barangan keperluan di kebanyakan pasar raya dan kedai runcit dijual pada harga lama antara satu hingga 30 peratus lebih tinggi daripada di Kota Kinabalu.

Timbalan pengarahnya Aslani Dabi berkata harga bagi barangan basah seperti makanan laut dan sayur-sayuran pula masih tidak menentu kerana terlalu bergantung pada bekalan dari tanah besar.

“Kami percaya pengguna di tanah besar sedar bahawa mereka tidak boleh mengharapkan harga akan turun secara drastik dalam tempoh satu atau dua bulan," katanya.

Diskaun tambang itu diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat tahun lepas. (Bernama)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.