Saudara Pengarang,
KESEMPATAN berkunjung ke daerah Semporna, bandar kecil masih dengan tradisinya seperti adat, kehidupan, perusahaan, perpaduan, semangat komunitinya dan 'Regata Lepa' yang terkenal dalam kelendar Dunia; ditambah lagi dengan tragedi berdarah serta bersejarah amat bersesuaian Semporna menjadi 'Bandar Tradisi'.
Alhamdulillah, selama tiga hari kami di Semporna (Jumaat - Ahad), tiada apa-apa yang berlaku. Malah orang ramai sentiasa sibuk dengan urusan harian masing-masing, diiringi oleh kedatangan pelancong asing dari seluruh pelusuk dunia.
Memperlihatkan bahawa daerah Semporna selamat dikunjungi dan kehidupan harian masyarakat Semporna begitu aman dan ceria dengan ada kawalan keselamatan oleh pihak Tentera, Polis dan APMM yang bertindak secara bersepadu untuk memastikan daerah Semporna selamat dan aman.
Sebenarnya kita bukan tidak pernah berkunjung ke daerah Semporna ini, sebenarnya kita belum menghayati dan merasai bagaimana indahnya pulau-pulau di daerah Semporna dan juga air lautnya luas terbentang indah; maka kita seharusnya menikmati keindahan daerah Semporna yang penuh dengan adat budaya yang cantik dan bersopan santun dengan ragam kehidupan mereka.
Berkunjung ke Semporna kita akan merasai agak berbeza kerana dalam kesempatan melihat hampir ke segenap pelusuk, dari pusat pekan hinggalah ke perkampungan dalam lingkungan 10 batu radius.
Sungguh menarik dan unik. Hanya yang mampu kita ucapkan cantiknya dan indahnya daerah Semporna yang di keliling lautan yang membiru. Memasuki pelusuk-pelusuk kampungnya yang dihiasai oleh rumah-rumah kampung yang masih bercorak tradisi masyarakat BAJAU, "Semporna ini boleh dikatakan sebagai bandar dalam kampung dan kampung dalam bandar".
Di tengah-tengah pekan kelihatan bukan sahaja bangunan komersil dan pejabat tetapi turut kelihatan bangunan institusi pendidikan tinggi seperti Kolej Politeknik MARA, rumah ibadat dan rumah kediaman persendirian.
Demikian juga di celah-celah rumah persendirian dalam kampung, kelihatan premis-premis perniagaan di samping taman perumahan dan bangunan sekolah. Tidak keterlaluan jika saya syorkan bahawa banyak lokasi yang sesuai digunakan untuk venue penggambaran filem dan drama. Pokoknya, Semporna memang unik dan menarik.
Bagi mengekalkan ciri-ciri menarik dan keunikan Semporna, pihak kerajaan (dan khususnya para pemimpin dan tokoh-tokoh politik tempatan) harus menimbangkan agar Semporna diisytiharkan sebagai sebuah Bandar Tradisi.
Pantun istimewa untuk orang Semporna dan seluruh masyarakat Bajau Pantai Timur yang cintakan kedamaian.
Dulu orang panggil Tong Talun,
Kini sudah jadi Semporna;
Dulu orang berduyun-duyun,
Kini terkenal seantero dunia.
Bangsa empunya si bangsa Bajau,
Kaya budaya tutur katanya;
Bagus sudah jauh merantau,
Kini kembali membina bangsa.
Adat Bajau addat bangsahta,
Adat ditatang Islam dijunjung;
Berpada-pada merentas samudera,
Kembali datang membawa sanjung.
Salam Hormat,
JAFAR MUSTAFAH
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.