`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Thursday, June 6, 2013

Pemuda PAS bantah persembahan tarian separuh bogel di Alor Setar

Tayang paha depan umum
ROSLINDA HASHIM
5 Jun 2013


Persembahan menjolok mata yang diadakan secara terbuka di tempat awam.

ALOR SETAR - Pemuda Pas Alor Setar kesal dengan tindakan kerajaan negeri yang membenarkan penganjur membuat persembahan wanita berpakaian menjolok mata secara terbuka di tempat awam, sejurus BN ambil alih Kedah.

Ketuanya, Mohd Azam Awang berkata, ini menunjukkan kerajaan BN tidak sensitif dengan isu berkenaan, seolah menggalakkan persembahan seumpama untuk tatapan umum.

“Sejak lima tahun lalu ketika PR tadbir Kedah, kita kenakan peraturan dan syarat bersesuaian untuk tidak eksploitasi wanita. Kita hanya benarkan persembahan terbuka yang sopan kerana ia boleh mempengaruhi golongan muda,” katanya.

Namun, pihaknya terkilan apabila pada Jumaat lalu, sebuah kompleks beli belah di bandaraya ini mempersembahkan tarian wanita yang hanya memakai singlet dan seluar pendek, secara terbuka bagi sebuah pertandingan.


“Berdasarkan peraturan lalu, ia tidak dibenarkan, namun saya tidak pasti adakah kerajaan negeri yang baharu ini telah mansuhkan syarat itu. Jika diadakan secara tertutup khusus untuk masyarakat Cina, ia tidak terlalu dipersoalkan,” katanya.

Mohd Azam berkata, kerajaan negeri perlu menyatakan pendirian berhubung peraturan mengadakan persembahan terbuka di Kedah, berikutan Kedah kini sudah beralih kuasa kepada BN.

“Kita tidak mahu ada pihak ambil kesempatan anjurkan program yang boleh menjejaskan moral anak muda Kedah, perkara ini perlu dipantau dan tidak boleh lepas tangan walaupun Kedah kini bawah BN,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya menggesa kerajaan negeri tampil kemukakan penjelasan agar tidak mengelirukan banyak pihak, sama ada masih terikat kepada peraturan sedia ada atau dipinda kepada peraturan baru.

“Ketika syarat itu dikuatkuasa, mereka bantah konon menyekat hak bukan Islam, walaupun hasrat PR sebelum ini berniat baik mahu mengekang gejala sosial melalui penganjuran aktiviti tidak sihat. Kini BN harus nyatakan pendirian mereka,” katanya.

Kerajaan PR sebelum ini mengharamkan persembahan penyanyi wanita profesional membuat persembahan di pusat membeli belah termasuk tempat awam terbuka.

Menurut peraturan itu, kategori wanita yang dibenarkan ialah pelajar sekolah menengah. Hanya penghibur lelaki dibenarkan menyanyi dan menari dalam pertunjukan terbuka.

Selain itu persembahan muzik secara langsung juga dihalang membuat persembahan terbuka, sebaliknya penyanyi dibenarkan menggunakan muzik minus-one.
Pusat membeli-belah turut dimaklumkan bahawa hanya lagu-lagu berunsur ketuhanan dan mengandungi mesej positif dibenarkan.

Garis panduan itu juga menyatakan kumpulan artis dan orang yang terlibat dalam sesuatu persembahan perlu berpakaian sopan dan tidak menjolok mata.

Bekas Exco Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan, Kebudayaan, Datuk Dr Hamdan Mohamed Khalib mengeluarkan arahan itu kepada Pegawai Daerah Kota Setar, Datuk Bakar Din, Januari lalu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.