`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Thursday, June 20, 2013

TARIK IC BIRU, BERI IC MERAH KEPADA PATI



Oleh : MOHD FARHAN DARWIS
DATUK Seri Wilfred Mojilip Bumburing mencadangkan agar mana-mana kad pengenalan (IC) biru meragukan yang dikeluarkan kepada pendatang asing perlu ditarik semula, dan diberikan kad pengenalan merah sementara sehingga penyiasatan berhubung perkara itu selesai, katanya kepada Inkuiri Diraja Suruhanjaya penyiasatan dengan pemberian kad pengenalan kepada warga asing (RCI) kelmarin.

Bekas ahli Parlimen Tuaran yang mesra Pakatan Rakyat (PR) itu berkata, hanya mereka yang dipercayai benar-benar sebagai warganegara sahaja akan diberikan kad pengenalan biru selepas selesai penyiasatan bagi membolehkan gejala pemberian kad pengenalan kepada warga asing dapat diselesaikan.
"Ia perlu diselesaikan seperti mana pemberian kad pengenalan mula-mula berlaku," katanya kepada panel inkuiri yang diketuai bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong.

"Kerajaan perlu bersedia mengeluarkan duit untuk tujuan itu," katanya yang bertanding menggunakan lambang PKR dalam Pilihan Raya 2013, pada 5 Mei lalu, namun tewas kepada Datuk Wilfred Madius Tangau, dari BN-UPKO.

Bumburing turut mendakwa, dengan penambahan jumlah populasi Sabah yang mengejut, ia mengubah landkap demografi negeri Borneo tersebut, malah turut memberi kesan terhadap keputusan pilihan raya.

Beliau turut mengambil contoh kawasan Parlimen Likas, yang menurutnya pada suatu ketika merupakan kawasan majoriti Cina kini komuniti itu bukan lagi komuniti majoriti.

"Semua orang sedar pendatang asing memberikan kesan kepada keputusan pilihan raya," dakwanya.

"Lihat Batu Sapi, jelas warga asing melebihi pengundi tempatan," katanya lagi.

Beliau turut menyatakan daripada 48 kerusi Parlimen di Sabah, kawasan majoriti bukan Muslim hanya tinggal 18 daripada 20 kerusi sebelumnya, manakala kawasan majoriti Muslim meningkat kepada 24 berbanding 20, dan bakinya kawasan majoriti Cina dengan lapan kawasan.

"Kerajaan tahu mereka yang diberikan kad pengenalan secara tidak sah, jika suruhanjaya melaksanakan perkara ini, sebahagian besarnya akan selesai.

"Saya merasakan mereka (warga asing) perlu diberi keizinan tinggal sementara sehingga penyiasatan selesai, bukannya persoalan menghalau mereka keluar (Sabah) ... Mereka ada keluarga, jadi perlu diberikan alternatif, kerajaan tahu siapa mereka, dan ia boleh dilakukan," katanya lagi.

Cadangan beliau dilihat selari dengan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Datuk Wilfred Madius Tangau semalam yang berkata kepada panel RCI, masalah pemberian kad pengenalan kepada pendatang asing juga tidak akan pernah selesai, melainkan rombakan keseluruhan sistem pemberian kad pengenalan dilaksanakan.

"Ini isu integriti ... kita perlu 'reset' semuanya untuk kembali ke 'ground zero', katanya yang juga merupakan Setiausaha Agung Parti Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) kepada lima panel RCI di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, di sini.

Beliau kemudiannya mencadangkan agar mereka yang telah diambil kad pengenalannya dalam proses tersebut untuk memohon kembali menggunakan sijil kelahiran.

"Jika kita tidak melakukan perkara itu, bagaimana kita mahu menyelesaikan masalah kad pengenalan meragukan seperti ini," soalnya lagi, dan menambah kes pemberian kad pengenalan meragukan itu tidak akan pernah berhenti, sebaliknya akan berterusan.

"Pada mereka yang rasa mereka benar-benar warganegara, tiada apa nak ditakutkan," tambahnya yang juga merupakan saksi pertama dalam kalangan ahli politik yang dipanggil memberi keterangan kepada RCI.

Beliau turut berkata, 10 peratus pendatang asing yang menerima kad pengenalan tersebut tanpa perlu memohonnya.

"Manakala 90 peratus daripada mereka membeli kad pengenalan tersebut," katanya, dan menerangkan laporan kaji selidik tersebut akan didedahkan oleh Presiden UPKO Tan Sri Bernard Giluk Dompok pada Jumaat ini kepada RCI.

RCI sebelum ini pada Mei diberitahu Sabah mengeluarkan kad pengenalan 12 kali lebih banyak berbanding Sarawak, dengan sekitar 66,000 pendatang haram di negeri Borneo tersebut telah diberi kad pengenalan biru sejak 1963.

Pengarah Jabatan Pendaftaran Negeri Sarawak Datuk Abu Bakar Mat sebelum ini memberi keteranganseramai 5,373 pendatang di Sarawak telah diberi IC biru daripada 1963 hingga 2012.

Dianggarkan sekitar 28 peratus daripada 3.2 juta penduduk Sabah adalah warga asing, menjadikannya berjumlah seramai 889,000 orang.

Kemasukan pendatang asing tanpa izin telah menimbulkan kemarahan masyarakat pribumi Sabah seperti Kadazandusun dan Murut (KDM), ramai daripada mereka merasakan kedaulatan negeri Borneo tersebut telah dirompak ekoran kebanjiran warga asing dari Filipina dan Indonesia.

RCI akan disambung hari ini pada jam 9.30 pagi nanti. (TMI)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.