Najib kian hari dilihat seolah-olah berada pada ambang percutian setiap masa.
COMMENT
Inilah persoalan yang bermain di dalam fikiran orang ramai, apatah lagi kaum kerabat pembangkang. Sejak pilihanraya umum ke-13, Datuk Seri Najib Tun Razak kelihatan agak lesu dan tidak bermaya dalam menangani isu-isu yang kian menghangat di dalam negara.
Malahan Najib telah secara teori dicela, dibelasah, dilenyek, ditumis, dipijak, dihina dan diperlekeh bukan sahaja oleh musuh-musuh ketatnya di arena politik, tetapi tidak juga ketinggalan orang awam yang kian merasa rimas dengan kebisuannya.
Lihat sahaja media sosial seperti “Facebook” dan blog-blog peribadi pengkritik-pengkritik di dalam dan luar negeri. Mereka seolah-olah berpesta mengumpat Perdana Menteri kita saban hari.
Ada sahaja komen-komen yang menyilukan hati para penyokong Najib tetapi apatah daya mereka kerana Najib sendiri tidak kelihatan tergerak untuk membidas kririk-kritiknya.
Apa lagi Najib mahu?
Dari skandal seks dan kapal selam Altantuya, isu jenayah yang semakin memuncak, protes jalanan, hala-tuju pelan pendidikan yang huru-hara, ekonomi yang merundum dan keretakkan yang mendalam dalam silaturahim antara kaum kian menghebat di mulut orang ramai tetapi Najib masih enggan mengulas secara terbuka.
Najib kian hari dilihat seolah-olah berada pada ambang percutian setiap masa. Walupun ada sedikit bisikan dari pejabat perdana menteri, tetapi amat ketara ia tidak membawa apa-apa manfaat kepada orang awam.
Najib sudah boleh diklasifikasikan sebagai sekadar pemerhati dan tidak lagi mempunyai motivasi untuk bergerak ke hadapan.
Impian 1Malaysia beliau yang hangat diperlaungkan sejak 2009 tidak terpakai pada 5 May 2013.
Agak menyilukan dan pada masa yang sama menyakitkan hati bahawa walaupun jutaan ringgit telah dibelanja oleh kerajaan Najib, namun konsep 1Malaysia masih lagi kabur di mata orang Malaysia.
Kemungkinan besar Najib telah dinasihati oleh pembantu-pembantu yang tidak berkaliber langsung dalam isu-isu perpaduan. Najib boleh dikatakan telah diperlekehkan oleh mereka-mereka yang besar kebarangkalian juga dibayar gaji lumayan.
Apa lagi Najib mahu?
Polisi tidak berhala-tujuan
Walau cara mana pun laporan ekonomi diputar belit oleh “pakar-pakar ekonomis”, pada hakikatnya rakyat Malaysia secara pukal dan purata tidak dapat apa-apa manfaat yang boleh dikatakan berfaedah untuk jangkamasa panjang.
Insentif-insentif seperti BR1M, bonus dan duit raya hanya dapat bertahan setakat beberapa hari atau paling lama seminggu sahaja.
Kos sara hidup perseorangan kian meningkat setiap tahun dan kes-kes muflis terutama di kalangan generasi muda sudah sampai tahap agak kritikal.
Adakah ini salah satu hasil dari polisi-polisi kerajaan Najib yang tidak berhala-tujuan?
Sudah tentu Najib membaca berita atau adakah setakat hanya mendengar kata-kata orang di sekelilingnya? Apakah kriteria-kriteria yang ditetapkan Najib yang boleh menggerakkan nalurinya untuk bertindak?
Sudah tidak masuk akal kenapa dia masih lagi enggan bertindak drastik dan mengguna kuasa eksekutifnya yang seakan-akan telah duduk lama terbenam di bawah lapisan habuk tebal.
Apa lagi Najib mahu?
Ada spekulasi, Scorpene tidak boleh terapung lagi; tapi Najib masih tidak mahu mengulas walaupun pernah menjadi menteri pertahanan.
Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) kerugian dalam lingkungan jutaan ratus tapi Najib membidas mengatakan bahawa kerugian semakin berkurangan.
Apakah logik ekonomi yang digunapakai oleh Najib untuk mempertahan sesuatu entiti perniagaan yang “berdarah lagi kritikal”. MAS boleh dianugerahkan sebagai satu-satunya lambang kebanggaan negara yang berlandaskan kepada prinsip “stabil secara kritikal”; sama seperti seorang pesakit kanser pada tahap 4.
Pihak pembangkang dan segelintir pertubuhan bukan kerajaan terpinga-pinga memikirkan bagaimana lagi mereka harus mengggubah modus operandi untuk memotivasi Najib supaya bertindak.
Dalam ketidak-sukaan mereka terhadap Najib, namun mereka tiada pilihan alternatif selain dari menghentam Najib secara bertubi-tubi. Adakah Najib begitu kebal dari jolokan pembangkang? Rakyat semakin perit dengan peredaran masa.
Apa lagi Najib mahu?
Kesenyapan berpanjangan
Hampir seratus peratus agensi kerajaan Najib dicemuh orang sebagai tidak telus dan dibelenggu rasuah dari semua aspek.
Polis, kastam, imigresen, dan lain-lain agensi penguatkuasa dipercayai mengamalkan budaya rasuah dengan agak diskrit tetapi Najib seolah-olah masih lagi tidak celik, walaupun satu mata!
Tohmahan kronisma dan nepotisma dilontar pada Najib seperti batu rejam semenjak beliau menjadi perdana mentri terutama sekali dalam isu-isu kontrak prasarana dan yang melibatkan syarikat-syarikat berkenaan kerajaan (GLC).
Najib masih utuh dan seinci pun tidak berganjak dari pendiriannya untuk tidak bersuara; memprojekkan satu anggapan yang segala cemuhan ini hanyalah satu fantasi buatan syaitan-syaitan yang tidak berjiwa.
Malahan pelbagai lemparan terhadap Rosmah Mansor turut ditempias dengan selamba oleh Najib sedangkan isteri tersayangnya terasa teraniaya dan didiskriminasi tanpa sebab.
Program Permata dan isu permata Rosmah tidak terlepas dari radar canggih pembangkang, namun Najib tetap degil berdiam.
Apa lagi Najib mahu?
Adakah Najib sudah jatuh ditimpa tangga? Pemilihan Umno kian mendekat dan ada ura-ura mengatakan bahawa beliau akan dicabar puak-puak tertentu.
Sudah tentu tekanan kian meningkat di bahu Najib tetapi kesenyapan berpanjangan tidak akan membuahkan apa-apa hasil padanya.
Najib kehilangan pedoman agaknya. Soalnya – Apa lagi Najib mahu?
Narinder Singh adalah ahli pasukan FMT.


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.