`




THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!





Monday, September 30, 2013

Interlok membara di Aswara

http://www.themalaymailonline.com/uploads/articlesMMO_1Interlok_3009_600_450_100.jpg 
Kontroversi novel Interlok: Edisi Murid yang hangat mulai Disember 2010 nampaknya dihangatkan kembali. Bagaimanapun, pada kali ini, diberikan “twist” atau fakta dimanipulasi sesuka hati untuk menyampaikan gambaran yang tidak betul kepada khalayak.
Uthaya Sankar SB, MMO 
Perkara ini berlaku semasa Seminar Sastera Pelbagai Kaum di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) pada 24 September 2013.
Seminar dijadikan tempat untuk menegakkan benang yang basah.
Pada mulanya, saya memilih untuk tidak mengulas mengenai perkara itu kerana tidak mahu “luka lama berdarah kembali”.
Akan tetapi, memandangkan isu sebenar dimanipulasi dan disajikan dalam versi “tidak  benar” – sepertimana filem Tanda Putera (2013) – maka saya merasakan amat perlu untuk membetulkan fakta.
Dr Lim Swee Tin yang menyampaikan ucaptama pada seminar bertema “sastera kebangsaan pemangkin perpaduan kaum” menyebut mengenai novel Interlok – tanpa menyatakan sama ada beliau merujuk pada versi asal (1971-2008), versi pelajar (2005) atau versi murid (2010).
“Novel Interlok karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain (Pak Lah) … novel yang mengambil kaedah realisme ini membuatkan orang kadang-kadang keliru bahawa ia sebuah teks sejarah.
“Mengapakah karya sebaik Interlok yang telah ditolak keluar dari pagar sekolah tidak berani pula dibawa ke universiti-universiti dalam kalangan mereka yang boleh berfikir dengan matang dan dewasa?”
Demikian kata-kata Dr Lim yang sudah dicalonkan oleh wakil Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) sejak 2010 bagi Anugerah Sastera Negara yang membawakan gelaran Sasterawan Negara.
“Berpolitikkah Dr Lim?” Demikian pertanyaan seorang rakan yang hadir sama ke seminar di Dewan Orkestra Aswara.
“Eh, tidaklah! Saya setuju Interlok: Edisi Asal masuk IPTA. Wajar. Saya sokong,” saya menjawab menerusi SMS sementara Dr Lim masih menyampaikan ucaptama dengan penuh bersemangat.
Tentulah saya kurang bersetuju dengan kata-kata “ditolak keluar dari pagar sekolah” yang digunakan oleh Dr Lim tetapi saya setuju dengan persoalan “tidak berani pula dibawa ke universiti-universiti”.

Menyalak tanpa tahu fakta
Dalam kertas kerjanya yang lebih lengkap, Dr Lim berhujah: “Jika kabinet memutuskan ia (Interlok) perlu dikeluarkan dari sekolah, ia masih boleh digunakan di IPG-IPG, kolej dan universiti.”
Sewajarnyalah begitu! Dalam isu novel Interlok: Edisi Murid (2010), Kavyan sejak awal sudah menegaskan bahawa edisi asal yang terbit pada 1971 dan diulang cetak beberapa kali – terakhir pada 2008 – perlu dikekalkan dalam versi asal.
Maknanya, tidak disunting, dicantas, dibuang dan “diperelokkan” bahagian-bahagian melibatkan watak-watak kaum tertentu sementara gambaran buruk melibatkan kaum lain dibiarkan; atau dijadikan lebih buruk!
Saya menulis puluhan makalah berkaitan kontroversi novel Interlok: Edisi Murid sejak Januari 2011 dan boleh dibaca di blog saya.
Sayangnya, puak yang bising dan menyalak ternyata adalah puak yang tidak (tahu) membaca.
Malah, realiti yang melucukan dan amat menyedihkan adalah bahawa puak-puak yang kononnya mempertahankan novel Interlok adalah puak yang tidak tahu perbezaan antara Interlok edisi asal, edisi pelajar dan edisi murid.
Sehari selepas seminar di Aswara, seorang kenalan berkongsi di Twitter bahawa “Dr Lim Swee Tin terkilan dengan drama yang dilalui Interlok. Uthaya sendiri mengakui, Interlok wajar dibaca di IPTA.”
Memandangkan hanya judul “Interlok” digunakan tanpa menjelaskan versi mana yang dimaksudkan, saya membalas dengan penjelasan berikut:
“Harap maklum: Interlok Edisi Asal; bukan edisi yang disunting/dibuang sebahagian (oleh editor di DBP). Bukan juga edisi yang dibuang 20 halaman seperti dicadangkan Dr Lim.”
Untuk rekod, individu yang mula-mula sekali mengadu kepada saya betapa novel Interlok: Edisi Murid “tidak layak” dijadikan teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) ialah Raja Rajeswari Seetha Raman (20 Disember 2010).
Pada Seminar Sastera Pelbagai Kaum (7 September 2012), penulis Bukan Melayu itu diangkat sebagai “satu-satunya penulis yang mewakili masyarakatnya” serta disarankan “masuklah Islam cepat-cepat dengan suami” berikutan kehebatannya menulis “sajak-sajak bertema Melayu dan Islam”.

Buang 20 muka sebab novel tebal
Dr Lim yang pernah digelarkan oleh Salbiah Ani sebagai “musang berbulu ayam” (Berita Harian, 3 Mac 2011) pula merupakan individu yang pernah mengemukakan cadangan supaya “penyuntingan berhemah” dilakukan ke atas novel Interlok: Edisi Murid dengan alasan novel itu “terlalu panjang” untuk dijadikan teks Komsas.
“Penyuntingan yang dilakukan adalah amat minimum kerana ia hanya melibatkan pembuangan 20 halaman. … Novel Interlok: Edisi Murid didapati terlalu panjang, iaitu sebanyak 426 halaman,” katanya dalam suatu cadangan rasmi (bertulis) yang dikemukakan pada Februari 2011.
Berbalik kepada paparan menerusi Twitter pula, seorang wartawan sebuah akhbar arus perdana mengemukakan pertanyaan: “Yang edisi pelajar pun nak kena ubah/buang 100 perkara. Kalau edisi asal, berapa ratus perubahan pula?”
Ya, memang susah melayan “orang bodoh yang menyangka dirinya pandai”.
Puak jahil seperti inilah yang sering menggunakan kehebatan serta kelebihan kebodohan mereka untuk mengelirukan orang ramai.
Pada Januari 2011, Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) pernah membuat resolusi bahawa walau sepatah perkataan pun tidak mereka izinkan disunting dalam novel Interlok.
Pertanyaan logik yang saya dan Kavyan kemukakan adalah “tidak boleh membuang walau sepatah perkataan dalam Interlok edisi asal atau edisi murid?”
Kami berani bertanya kerana hanya golongan yang memahami isu sebenar serta sudah membaca ketiga-tiga versi (edisi asal, edisi pelajar dan edisi murid) tahu hal sebenar.
Semasa kontroversi Interlok: Edisi Murid sedang hangat pada 2011, beberapa pensyarah tampil mengatakan bahawa pelajar-pelajar sarjana di universiti pernah mengkaji novel berkenaan.
Ya, Mak Cik dan Pak Cik! Perkara itulah juga yang ditegaskan berkali-kali oleh saya dan Kavyan. Jadikan Interlok: Edisi Asal sebagai teks kajian sastera, sosio-budaya, politik, etnik dan sebagainya pada peringkat sarjana muda, sarjana dan kedoktoran di universiti.
Pada masa yang sama, tolong jangan memalukan pangkat “pensyarah” dengan tidak tahu membezakan antara edisi asal, edisi pelajar dan edisi murid. Bolehkah, Mak Cik dan Pak Cik?
Semasa Seminar Sastera Pelbagai Kaum di Aswara, Dr Ding Choo Ming yang berkali-kali mengaku dirinya hanya pakar kajian teks tradisional, turut tidak melepaskan peluang memperkatakan mengenai novel Interlok. Tentunya tanpa menyebut edisi mana yang dimaksudkan!
Dalam kertas kerjanya, Dr Ding memetik pandangan Neil Khor dan Mohd Khaldun Malek yang disiarkan dalam jurnal Malay Literature: Interlok Special Issue (Vol. 24, 2011):
“… if there are some passages in Interlok that some segments of Malaysian society finds offensive, the answer is not the wholesale rejection of the novel or the censoring of the so-called ‘offensive’ passages, but an intelligent conversation or critical appraisal of the novel. There is nothing wrong for teachers or students to disagree with the writer.”

Jangan buka cerita sekerat sahaja
Semasa membentangkan kertas kerjanya, Dr Ding – yang suka membuat lawak “bodoh” untuk mengundang tawa berpanjangan daripada hadirin – menekankan frasa “jangan ditolak, jangan disunting” untuk mempertahankan novel Interlok dijadikan teks Komsas.
Hujah-hujah yang dikemukakannya sangat tidak relevan kerana tokoh sastera tradisional itu ternyata tidak sedar bahawa novel Interlok: Edisi Murid (2010) sudah pun disunting daripada Interlok: Edisi Pelajar (2005) dan sangat berbeza dengan edisi asal (1971-2008).
Lebih melucukan dan memalukan apabila Dr Ding memetik hujah Neil dan Khaldun dari halaman 194 jurnal Malay Literature.
Malangnya beliau gagal membaca fakta yang dipaparkan oleh mereke berdua di halaman 191 pada makalah dan jurnal yang sama:
“To fit into the reading capacity of Malaysian high school students, the novel had to be ‘edited’ to a suitable length. … these editors also decided to expunge what they considered the more controversial bits out.”
Gambaran yang masih cuba diberikan puak tertentu – dan ternyata disokong secara membuta-tuli oleh Dr Lim dan Dr Ding – adalah seolah-olah kaum India, Kavyan dan saya yang mendesak novel Interlok disunting.
Mereka “menyembunyikan” fakta sebenar. Atau mereka tidak tahu fakta sebenar.
Saya tidak pasti sampai bilakah manipulasi fakta akan dilakukan untuk memberikan gambaran seolah-olah “kaum tertentu” yang bersalah dalam peristiwa novel Interlok: Edisi Murid disunting.
Kepada Dr Lim, Dr Ding dan pakar-pakar lain, usah dilupakan bahawa arahan yang disampaikan kepada Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok (Februari 2011) adalah supaya “buatlah seberapa banyak suntingan yang perlu, asalkan novel ini kekal sebagai teks Komsas”.
Usah lupa bahawa Kavyan yang mendesak secara berterusan supaya nama Pak Lah dicetak pada kulit novel Interlok: Edisi Murid – lihat edisi kulit biru (2011). Kavyan juga yang memperjuangkan supaya hak cipta (copyright) novel Interlok: Edisi Murid tetap dipegang oleh Pak Lah.
Usah pula lupa bahawa pada Januari 2011, Pak Lah sudah memberikan izin agar perkataan sensitif dalam novel Interlok: Edisi Murid dibuang; tetapi pihak tertentu mendesak izin itu ditarik balik “demi mempertahankan maruah pengarang Melayu”.
Kepada Mak Cik dan Pak Cik yang budiman, kalau mahu membuka kembali kisah kontroversi novel Interlok, sila buka sepenuhnya. Bukan dibuka sekerat-sekerat. Buruk padahnya!

* Uthaya Sankar SB pernah dilantik oleh Menteri Pelajaran menganggotai Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok.

1 comment:

  1. I wonder whether Interlok dispute may be a welcome distraction from actual proponents of the system? This may be preventing the upward mobility, and the greater weath gap of Hindus.

    Yes, the government may not be consistent on Interlok and not doing enough for Indians but isn't caste not an issue in India, or in Malaysia?

    In the Section 18 Shah Alam school PIBG that I headed in the mid 90's for example, one Indian teacher refused to be associated with and assist the bottom class that graduated from Puchong Tamil primary school.

    For 'economic empowerment' of the Hindus, lets insya-Allah start with being totally transparent, boleh?


    Haji M Zin
    Melaka MNS

    ReplyDelete