`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, September 11, 2013

Bersediakah Umno melakukan transformasi?

Sejak sokongan yang merudum pada PRU 2008, parti Umno, di bawah pucuk pimpinan baru berusaha memperkasa Umno
Pemilihan Umno pada Oktober depan merupakan pemilihan pucuk pimpinan terakhir sebelum Umno menghadapi PRU14.
Sungguhpun penggal parti Umno akan berakhir dua tahun lebih awal sebelum penggal kerajaan berakhir, namun dari pengalaman lalu, pemilihan parti akan ditunda untuk elakkan perpecahan sebelum hadapi pilihan raya umum.
Ringkasnya pemilihan tahun ini adalah pemilihan terakhir parti itu memilih barisan kepimpinannya sebelum menghadapi PRU 14. Pendek kata, ia adalah peluang terakhir memilih bakal-bakal pemimpin untuk menggalas tanggungjawab meyakinkan rakyat untuk terus memberi sokongan kepada kerajaan yang ditunjangi Umno.
Sejak sokongan yang merudum pada PRU 2008, parti Umno, di bawah pucuk pimpinan baru Datuk Seri Najib Tun Razak berusaha memperkasa Umno dan menjadikan parti itu lebih menarik terutama kepada golongan muda. Dalam ucapan pertama sebagai Presiden, Najib laungkan slogan,”Berubah atau Rebah”. Ia kemudian diikuti dengan mesyuarat agung khas cadangan pindaan perlembagaan parti yang termasuk mengubah kaedah menentukan pemimpin dengan menghapuskan sistem kuota.
Selain itu, jumlah perwakilan juga lebih ramai dan menyeluruh. Harapan Najib, bila jumlah itu bertambah ia lebih mencerminkan hasrat lebih 3 juta ahli Umno berbanding hanya 2,600 orang sebelumnya.
Membuahkan
Usaha Najib mentransformasi Umno mula membuahkan hasil dengan sokongan yang meningkat kepada parti itu berbanding 2008. Kerusi Umno bertambah daripada 79 kepada 88. Sungguhpun begitu, persoalan dibangkit, apakah transformasi bakal berlaku dalam Umno?
Apa yang menimbulkan kemusykilan ialah sikap pucuk pimpinan tertinggi parti itu. Apakah mereka benar-benar bersedia menerima proses transformasi dalam parti itu atau ia hanya sekadar retorik?
Berapa ramai Ketua Bahagian veteran atau yang telah lanjut usia menyatakan kesediaan berundur dan memberi laluan kepada pemimpin pelapis?
Sana-sini kedengaran cadangan termasuk daripada perhubungan negeri meminta dua jawatan tertinggi parti jangan dipertandingkan. Apakah cadangan itu selaras dengan falsafah transformasi yang mereka laung-laungkan?
Apa yang ingin dilihat dalam era transformasi parti bila mana calon-calon yang menawar diri untuk jawatan tertinggi seperti timbalan atau VP adalah dari kalangan pemimpin generasi baru seperti KJ, Mukhriz, Razali Ibrahim, Nur Jazlan dan yang lain bukan dari golongan veteran seperti Isa Samad dan Ali Rustam. Apakah golongan veteran lebih menghayati konsep transformasi daripada pemimpin muda?
Umno harus melihat dunia luar. Pucuk pimpinan USA dan UK sebagai contoh, di bawah usia 50 tahun. Jika ditakdirkan Najib terus mengetuai kerajaan pada PRU akan datang, usianya sekitar 60an. Tapi usia Tan Sri Muhyiddin pada masa itu sudah menjangkau 71 tahun!
Berdasarkan tinjauan dan pemerhatian, desakan melaksana transformasi begitu kuat dari akar umbi. Mereka mahu wajah-wajah baru membarisi pimpinan parti. Mereka inginkan demokrasi disuburkan dalam parti. Malangnya bila ada cadangan yang menyebut nama pemimpin tertentu untuk bertanding jawatan tertinggi, cadangan itu ditempelak dengan kata “itu cadangan gila!”
Umno harus melihat bahawa populariti PR masih mengatasi BN pada PRU lalu. Yang menyumbangkan kepada angka 51% itu adalah golongan muda. Dalam pemilihan Umno kali ini, pemuda dan pemudi memerhati dengan penuh minat proses transformasi yang bakal berlaku dalam parti itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.