`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, September 10, 2013

Ketua Wanita Umno: Azalina tiada prinsip?

Azalina tidak belajar dari sejarah politik Syed Hamid Albar. Beliau tidak pernah menang bertanding Naib Presiden Umno kerana perwakilan menghukum beliau yang tidak ada pendirian.
PETALING JAYA: Pemimpin Johor buat hal lagi. Pada tahun 1993, ahli parlimen Kota Tinggi, Tan Sri Syed Hamid Albar mengejutkan semua pihak apabila menarik diri dari pertandingan Ketua Pemuda menentang Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad.
Ramai perwakilan pemuda yang kecewa dengan tindakan anak Singa Umno itu yang tidak berani berhadapan dengan Rahim dan Isa. Pemerhati politik percaya jika Syed Hamid bertanding, beliau akan menang dalam pertandingan tiga penjuru itu.
20 tahun kemudian ahli parlimen Pengerang,Datuk Seri Azalina Othman yang disebut-sebut akan mencabar Datuk Seri Shahrizat Jalil pula menarik diri daripada merebut jawatan Ketua Wanita.
Azalina dikatakan membuat keputusan itu selepas “dinasihatkan” berbuat demikian. Difahamkan Azalina akan diberikan jawatan kanan dalam sayap Wanita Umno dan syarikat berkait kerajaan (GLC) jika tidak bertanding.
Mengecewakan
Nampaknya pemimpin Johor dua kali mengecewakan harapan perwakilan pemuda dan wanita yang mahu jawatan ketuanya dicabar. Semua bagaikan tidak percaya bahawa Azalina seorang peguam tiada prinsip dalam pegangan politiknya. Sebaliknya beliau lebih pentingkan kepentingan peribadi setelah ditawarkan jawatan dalam GLC.
Tepat dakwaan calon Naib Ketua Wanita, Datuk Suraya Yaacob bahawa bukan mudah hendak meresap dalam pergerakan Wanita setelah tamat tempoh dalam pergerakan Puteri.
“Setiap calon dari puteri kena jalani proses assimilasi terlebih dahulu dalam wanita sebelum diterima sebagai pemimpin wanita,” kata Suraya dalam wawancara khas dengan FMT minggu lepas.
Beliau yang sudah sepenggal menjadi Exco Wanita akan berhadapan dengan Datuk Azizah Mohd Dun bagi mengisi jawatan yang dikosongkan oleh Datuk Kamilia Ibrahim yang dipecat dari Umno.
Sebab itulah dua orang bekas ketua puteri, Datuk Noraini Ahmad dan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin hanya mampu bertanding jawatan Exco Wanita sahaja kerana bagi mereka, biar ahli-ahli Wanita menerima mereka sepenggal dalam Exco terlebih dahulu sebelum melangkah lebih jauh dalam karier politik mereka.
“Saya masih muda. Tak timbul soal turun pangkat dari Ketua Puteri kepada Exco Wanita,” kata Rosnah kepada FMT yang akan melepaskan jawatannya pada 12 Oktober nanti kerana had umur sudah tamat.
Tentu ramai perwakilan wanita yang kecewa dengan tindakan Azalina. Memang benar skandal NFC tidak membabitkan Shahrizat tetapi sedikit sebanyak imej BN dalam pilihanraya umum lalu terjejas kerana skandal tersebut.
BN gagal mendapat majoriti dua pertiga kerana isu NFC. Tetapi ia tidak memberi kesan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang banyak terhutang budi kepada pergerakan wanita yang bekerja keras dalam pilihanraya umum lalu yang menyebabkan Umno berjaya menambah kerusi dari 79 kerusi kepada 88 kerusi selain daripada berjaya menawan semula Kedah dari tangan PAS.
Hasilnya, Shahrizat diberi jawatan Penasihat khas dalam hal ehwal wanita. Sejak dilantik ke jawatan itu, Shahrizat seolah-olah mendapat nyawa baru yang menyebabkan tujuh negeri sudah memberi sokongan terbuka kepada Shahrizat mengekalkan jawatan Ketua Wanita Umno.
Sukar
Azalina dianggap orang luar. Jadi beliau nampak sukar untuk menumbangkan Shahrizat. Maka tawaran menerajui GLC adalah satu “deal” yang menguntungkan supaya beliau dapat menarik diri tapi dapat upahnya. Itulah perjuangan Azalina yang mengecewakan perwakilan wanita terutamanya para penyokong Tan Sri Rafidah Aziz yang mahu melihat Shahrizat tersungkur.
Azalina menjadi Ketua Puteri Umno dari tahun 2000 hingga 2004 dan ahli majlis tertinggi dari 2004 hingga 2009.
Beliau dikenali dengan penampilan tegas dan ahli politik wanita lantang yang memenangi kerusi Parlimen Pengerang dalam Pilihan Raya 2013 dengan pertandingan selepas dua penggal menang tanpa bertanding.
Pada 5 Mei, Azalina berhadapan dengan pertandingan tiga penjuru selepas dicabar calon PKR yang juga penyanyi popular 1980-an Dayangku Intan dan calon bebas Mohd Azaman Johari, seorang guru.
Beliau juga pernah menganggotai Kabinet sebagai Menteri Belia dan Sukan dari 2004 hingga 2008 dan Menteri Pelancongan selama hanya setahun dari 2008 hingga 2009.
Azalina tidak belajar dari sejarah politik Syed Hamid. Apabila Syed Hamid tarik diri dari pertandingan Ketua Pemuda pada tahun 1993, beliau tidak pernah menang bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada tahun 1996 dan 2008. Perwakilan Umno telah menghukum Syed Hamid yang tidak ada pendirian.
Maka dengan penarikan diri Azalina dari bertanding jawatan Ketua Wanita, belum tentu beliau akan menang dalam pertandingan majlis tertinggi pada 19 Oktober nanti kerana perwakilan Umno mahu pemimpin yang berprinsip dan bukannya pemimpin yang tiada pendirian.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.