`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, September 13, 2013

Penduduk berang denda cukai taksiran MPS naik 667%

Jumlah denda lewat bayar sebanyak RM20 sangat membebankan berbanding jumlah denda sebelum ini hanya RM3.00, kata T Chantran.
SEREMBAN: Seorang penduduk dari Taman Sri Mawar, Senawang berang apabila mendapati jumlah kenaikan denda cukai taksiran yang dikenakan oleh Majlis Perbandaran Seremban (MPS), sudah naik 667 peratus daripada kadar denda lama.
T Chantran, 38, mendakwa jumlah denda lewat bayar yang dikenakan sebanyak RM20 sangat membebankan berbanding jumlah denda sebelum ini hanya RM3.00.
“Isnin lepas (9 September), saya datang ke kaunter cukai taksiran di Bangunan MPS. Saya mengakui saya lewat membayar cukai taksiran. Saya terkejut apabila bil cukai taksiran yang dicetak oleh salah seorang kakitangan, tertera jumlah denda sebanyak RM20.
“Kalau diikutkan bil cukai taksian sebelum ini, bagi nilai cukai taksiran RM100 ke bawah, jumlah denda hanyalah RM3.00. Contohnya seperti saya, nilai cukai taksiran untuk rumah saya hanya RM52.80 untuk tempoh enam bulan. Maka kalau ikut peraturan lama saya hanya perlu dikenakan denda sebanyak RM3.00.
“Tiba-tiba apabila saya melihat angka RM20.00, saya terkejut dan saya menuntut penjelasan daripada kakitangan tersebut dan beliau memaklumkan sejak tahun ini sudah ada kenaikan sebanyak RM20.00 untuk denda lewat bayar,” kata Chantran.
Chantran berkata, beliau tidak akan membayar denda yang dikenakan itu sehinggalah MPS memberikan penjelasan sewajarnya kepada pembayar-pembayar cukai seperti beliau.
“MPS perlu memberi justifikasi atas kenaikan sehingga 667 peratus dan kenaikan itu adalah tidak munasabah. Justeru saya mewakili pembayar-pembayar cukai yang lain perlu tahu mengapa MPS mengenakan denda cukai sebegitu tinggi dan kami mahu penjelasan yang sebenar,” soal Chantran.
Chantran turut mendakwa beliau dilayan buruk oleh pegawai tinggi di MPS dan merasa amat kecewa.
“Oleh kerana tidak puas hati dengan kenaikan denda yang tinggi, saya mahu berjumpa dengan Yang DiPertua (YDP) MPS pada hari yang sama. Memandangkan beliau tidak berada dalam pejabat pada ketika itu, saya terpaksa berjumpa dengan setiausaha beliau.
“Malangnya ketika saya menuntut penjelasan atas kenaikan denda ini, saya tidak disediakan kerusi untuk duduk berbincang. Bila saya tanya kenapa tidak disediakan kerusi untuk pelanggan (pembayar cukai), setiausaha berkata itu arahan YDP.
Kenaikan mendadak
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senawang, P Gunasekaran yang mengatur sidang akhbar di Bangunan MPS itu sendiri berkata, MPS tidak seharusnya menaikkan jumlah denda cukai taksiran secara mendadak seperti ini.
“Saya ingin bertanya di mana slogan ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’ apabila pelanggan yang juga pembayar cukai tidak disediakan kerusi untuk duduk berbincang.
“Apakah pegawai MPS ini lupa bahawa gaji mereka dibayar oleh rakyat yang juga pembayar cukai? Saya amat kesal dengan sikap tidak profesional pegawai MPS seperti ini,” kata Gunasekaran.
Yang Dipertua MPS, Datuk Abdul Halim Abdul Latiff berkata, penetapan jumlah denda baru sebanyak RM20 oleh MPS adalah mengikut keputusan mahkamah yang tidak membenarkan denda dikenakan mengikut kadar tetapi boleh dikenakan mengikut kos pengurusan bagi setiap akaun.
“Jadi jumlah denda atas tunggakan cukai taksiran yang dikenakan sebanyak RM20 bagi kos pengurusan itu merupakan bayaran penalti tetap kepada pembayar cukai yang gagal melunaskan tunggakan dalam tempoh diberi,” katanya.
“Jumlah denda RM20 jauh lebih rendah berbanding denda 10 peratus yang dikenakan daripada jumlah cukai yang patut dibayar oleh pembayar cukai sebelum ini.
“Jadi saya sarankan kepada semua pembayar cukai agar tidak menangguhkan pembayaran cukai taksiran bagi mengelakkan dikenakan denda. Penetapan jumlah denda tersebut juga turut mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri,” katanya.
Abdul Halim berkata, berdasarkan rekod, hampir 70 peratus pembayar cukai di Seremban dapat melunaskan bayaran cukai taksiran mengikut tempoh yang ditetapkan.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong (DAP).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.