`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, October 30, 2013

Toleran atau Takut?

http://2.gravatar.com/avatar/b43180f6fb0ede2cd4f7844a30bf19af
 
Negara kita tidak mempunyai sejarah menentang kezaliman yang epik. Kemerdekaan negara kita pun diperolehi melalui rundingan dan kompromi (tanpa pengorbanan yang banyak). Ada pun penentangan, gerakan-gerakan pembebasan itu berjaya ditewaskan dan kemudian dihina oleh pemerintah pada masanya. 
 
Secebis Kewarasan

Penyelewengan dan ketidakadilan berlaku secara berleluasa di negara kita. Pelbagai ketirisan diwartakan oleh Laporan Ketua Audit Negara, tanpa apa-apa tindakan . Banyak kes-kes rasuah dilaporkan, perasuah-perasuah bebas begitu sahaja. Keperluan asas rakyat menjadi lubuk mengaut untung para kroni melalui projek-projek penswastaan. Hasil-hasil bumi dibolot segelintir manusia. Pemberian tender-tender kerajaan, pembiayaan projek-projek mega dan intipati rundingan antarabangsa – semuanya rahsia. Kegawatan ekonomi dan kenaikkan kadar inflasi seperti tiada apa-apa. Diwaktu rakyat kesempitan, pemimpin-pemimpin negara boros berbelanja (wang rakyat).
Walaupun penyewelengan, pembaziran melampau, kelesuan ekonomi dan ketegangan sosial begitu ketara – kehidupan rakyat rutin dan lazim sahaja. Pagi bangun tidur, berpusu-pusu ke tempat kerja, bekerja dengan tekun, balik kerja, makan, tonton televisyen, kemudian tidur. Untuk berehat, pergilah mereka bercuti untuk 4-5 hari setahun. Dari hari ke hari, dari tahun ke tahun, masyarakat kita tempuhi kitaran ini. Tak ubah seperti ‘binatang-binatang ternak’. Walhal, hak-hak mereka dirompak dan dicabul didepan mata. Perompak-perompak harta negara bebas merompak – ‘liwat’ mereka sesuka hati.
Mengapa jadi begini? Adakah masyarakat kita begitu toleran? Atau, adakah kita takut untuk menentang kebobrokan ini?

Masyarakat yang toleran?
Jika ingin dijelaskan fenomena di atas sebagai sikap toleran, ia adalah cerapan yang salah. Toleransi sebenar, dalam konteks bermasyarakat, adalah sikap tolak ansur diantara kumpulan-kumpulan yang berbeza budaya, agama dan status sosial. Ketinggian nilai toleransi sesebuah masyarakat diukur melalui keperihatinan masyarakat tersebut terhadap kumpulan-kumpulan minoriti. Apabila hak-hak dan kebajikan kumpulan minoriti diberi perhatian, maka tinggilah nilai toleransi sesebuah masyarakat.
Sebagai contoh, di negara kita, kaum india adalah kaum minoriti. Kita hanya boleh dianggap toleran apabila kaum ini merasakan bahawa hak-hak kebudayaan dan agama mereka dihormati, serta kebajikan sosial dan ekonomi mereka diurus dengan adil.
Dengan itu, istilah toleran bagi menjelaskan sifat tolak ansur masyarakat kita terhadap penyelewengan dan ketidakadilan adalah tidak tepat. Ia hanyalah sikap pasif dan permisif terhadap penyelewengan dan ketidakadilan. Noktah. Soalan seterusnya, mengapa kita begitu pasif dan permisif terhadap penyelewengan dan ketidakadilan?

Ciri-ciri ketimuran dan kerohanian
Pertama – mentaliti feudal. Orang melayu sudah zaman-berzaman ditadbir dengan sistem pemerintahan yang vertikal, yakni rakyat tiada pilihan,  melainkan patuh kepada keputusan pemerintah. Mempersoalkan keputusan golongan atasan dianggap sebagai perbuatan keji. Sebaliknya,  sifat patuh dan taat, biarpun kepada kebobrokan pemerintah, diangkat sebagai sifat yang mulia (baca: Hikayat Hang Tuah).
Setelah sekian lamanya, sifat taat melulu menjadi sebati dengan budaya Melayu. Ia terbawa-bawa hingga kehari ini. Ya, sudah terdapat keterbukaan pemikiran, tetapi mentaliti feudal masih tebal dalam pemikiran Melayu. Malah, jika diteliti, mentaliti ini sedikit sebanyak terjangkit kepada kaum-kaum lain. Bangsa-bangsa lain juga dilihat pasif dan permisif kepada penyelewengan dan ketidakadilan; berbeza dengan rumpun mereka di negara-negara lain.
Selain dari itu, sikap hormat-menghormati dan bersopan-santun cukup diutamakan oleh orang Melayu. Malangnya, ianya mudah di-exploit kerajaan. Mereka yang kritikal digambarkan sebagai kurang ajar dan biadab – melalui olahan persepsi oleh media massa. Ini membuatkan bangsa Melayu keberatan untuk mengkritik. Tuduhan biadab dan kurang ajar ditujukan juga kepada bangsa lain jika mereka mula bersuara. Lantas, bangsa lain menjadi keberatan untuk bersuara kerana bimbang menyentuh sensitiviti orang Melayu.
Ketingian nilai agama juga di-exploit kerajaan. Rakyat disaran untuk sentiasa bersabar terhadap kelemahan dan bersyukur pada pemberian kerajaan. Saranan ini diperkuatkan lagi dengan syarah-syarah alim ulama pro-kerajaan. Maka, tidak hairanlah jika rakyat boleh redha dengan penyelewengan dan ketirisan kerajaan. Mereka juga mudah digula-gulakan untuk bersyukur – melalui pemberian sisa-sisa hasil negara seperti BR1M dan sebagainya. Puncak permainan agama dalam meraih kepentingan politik adalah melalui upacara angkat sumpah undi Barisan Nasional (BN) diwaktu habuan-habuan yang tidak seberapa itu disogokkan.

Kurangnya sejarah perjuangan
Negara kita tidak mempunyai sejarah menentang kezaliman yang epik. Kemerdekaan negara kita pun diperolehi melalui rundingan dan kompromi (tanpa pengorbanan yang banyak). Ada pun penentangan, gerakan-gerakan pembebasan itu berjaya ditewaskan dan kemudian dihina oleh pemerintah pada masanya. Memandangkan puak pemerintah mengawal informasi dan persepsi, gerakan-gerakan pembebasan digambarkan sebagai kumpulan rebel yang jahat lagi hina. Tok Janggut, Rosli Dhobi, Mat Salleh, Mat Kilau, Abdul Rahman Limbong dan banyak lagi pejuang-pejuang kemerdekaan menemui nasib sebegitu.
Seperti pra-merdeka, perjuangan menentang kezaliman pasca merdeka berjaya ditewaskan dan kemudiannya dihina oleh puak berkuasa. Gerakan yang terbesar setakat ini adalah gerakan Reformasi 1998. Strategi intimidasi, kekerasan, tindakan mahkamah, penjara dan penghinaan, digunapakai kerajaan untuk membendung gerakan ini. Walaupun berjaya membuka minda rakyat, pendokong Reformasi masih gagal untuk mengambil alih kuasa hingga kini.
Sejarah-sejarah ini meninggalkan impak psikologi kepada pemikiran majoriti rakyat. Penentangan terhadap penyelewengan dan ketidakadilan dianggap sesuatu yang amat payah – hampir mustahil. Intimidasi, kekerasan, tindakan mahkamah, penjara, kehilangan nyawa dan harta benda, serta penghinaan yang dilalui oleh pejuang-pejuang terdahulu dilihat tidak berbaloi, lebih-lebih lagi apabila kejayaan menegakkan keadilan masih belum terhasil.

Isu utama adalah survival
Seterusnya, isu utama penduduk negara ini adalah kelansungan hidup. Kehidupan rakyat makin tertekan akibat kegawatan ekonomi dan kenaikkan harga barang yang mendadak. Tumpuan rakyat kini adalah untuk mencari rezeki demi survival. Maka, fokus untuk menentang penyelewengan dan ketidakadilan, yang merupakan punca sebenar kepada kesempitan hidup – menjadi kelam dan kabur. Justeru, hidup mereka akan terus-menerus bergelut meningkatkan perolehan demi kehidupan yang lebih sempurna. Tidak hairanlah jika mereka sanggup dari hari ke hari, dari tahun ke tahun, mengharungi kitaran ‘kerja-balik kerja’ – ‘ibarat binatang ternak’ – seperti yang diutarakan di awal penulisan.
Rakyat kita didodoi bahawa negara ini sudah maju. KLCC, Formula One, shopping complex besar-besaran, lebuhraya di sini sana, monorail, LRT, Putrajaya dan Istana Negara yang mempersona, dan sebagainya. Keadaan ekonomi juga diolah seperti pesat membangun dan antara yang terbaik di dunia. Khayalan-khayalan sebegini membuatkan rakyat kita leka. Hakikatnya, kita masih ditokok dunia ketiga. Banyak lagi yang perlu diperbaiki. Rasuah, pembaziran, penyelewengan dan ketidakadilan masih berleluasa.

Pemuda dan profesional penakut
Kaum muda secara tradisinya merupakan golongan yang mendokong perubahan. Ini kerana mereka mempunyai idealisme yang segar. Tidak seperti golongan yang lebih dewasa, kaum muda tidak mempunyai tanggungan yang menekan untuk mengadai idealisme mereka. Perjuangan menentang kezaliman; dari gerakan kemerdekaan, peperangan, hingga ke revolusi-revolusi moden didokong oleh golongan ini, sejak dahulu hingga kini.
Malangnya, taring golongan muda negara ini telah ditumpulkan. Golongan mahasiswa tidak sevokal dahulu. Ini angkara akta-akta dan undang-undang universiti yang ketat. Risiko tergadainya masa depan seperti dibuang institusi pengajian adalah terlalu besar. Bukan itu sahaja, sistem pendidikan di pengajian tinggi juga membantutkan pemikiran kritikal mereka (baca: Kepupusan Budaya Kritikal, Penularan ‘Kaki Penipu’, dan Revolusi Minda). Tenaga, semangat dan daya kreativiti mereka hanya boleh dizahirkan melalui aktiviti-aktiviti picisan seperti menjahit bendera terpanjang dan membina kolam 1Malaysia.
Golongan dewasa dan kaum pekerja, terutamanya golongan pertengahan dan profesional – lebih tumpul. Melalui pengalaman dan pemerhatian di lapangan pekerjaan, mereka menyedari akan betapa meluasnya penyelewengan dan ketidakadilan. Namun, mereka tidak berani untuk bersuara. Mereka bimbang akan tindakan yang mungkin dikenakan. Keselesaan hidup yang ada, dan aspirasi maju dalam karier adalah terlalu bernilai untuk ‘diperjudikan’. Oleh itu, majoriti golongan dewasa,  terpaksa ‘menutup sebelah mata’ apabila penyelewengan dan ketidakadilan berlaku.
Media sosial adalah medium terbaik bagi mereka (golongan pertengahan dan profesional) untuk melepas geram. Ianya lebih selamat daripada bersuara secara terbuka. Dengan menyebarkan informasi ‘sensasi’ dan komentari ‘lain dari yang lain’, media sosial dapat melonjakkan populariti mereka dikalangan rakan-rakan sosial – terukur melalui jumlah ‘like’ dan ‘comment’ yang diterima. Mereka tampak progresif, assertive, dan ‘berani mati’. Tetapi, sekadar maya sahajalah.

Ulama dayus
Satu lagi kumpulan yang secara tradisinya mendahului perjuangan menegakkan keadilan adalah golongan agamawan. Sejarah Islam memperlihatkan tokoh-tokoh agama lantang bersuara menentang pembesar-pembesar yang zalim, hinggakan banyak yang dipenjara dan diseksa. Pergerakan menentang penjajahan British di negara kita dahulu pun kebanyakkannya dipimpin oleh golongan ulama.
Malang sekali, golongan agamawan negara masakini tidak seberani dulu. Sudahlah tidak berani, mereka kini bertindak sebagai peng-’halal’ keputusan dan kelakuan buruk kerajaan. Terbaru adalah penggunaan ayat-ayat Al-Quran dan Hadis diluar konteks dalam meng-’halal’-kan kenaikkan harga barangan. Rakyat harus redha adalah ketentuan Tuhan, kata mereka.
Ulama-ulama negara juga mudah dipermainkan dengan permainan politik. Apabila diumpan dengan isu-isu kontroversi seperti kalimah Allah, isu anjing, meditasi penganut Budha di surau dan lain-lain, mereka bertegang urat mempertahankan fatwa masing-masing. Apabila dibangkitkan isu penyelewengan dan ketidakadilan, semua kecut membisu – tiada pula fatwa. Begitu juga NGO-NGO Islam pro-kerajaan. Tidak ubah seperti macai-macai UMNO yang handal buat bising tetapi sebenarnya, pengecut.

Projeksi
Dalam kelesuan aktivisme menentang penyelewengan dan ketidakadilan, terdapat segolongan manusia yang celik, progresif dan berani. Kebanyakkan mereka adalah dari golongan yang tidak berkepentingan. Orang biasa-biasa, tiada berpangkat dan bekerja sendiri. Ada juga yang telah berkorban keselesaan dan kebebasan – ada yang dibuang pengajian, ada yang ditekan kehidupan dan hilang mata pencarian. Malah, ada yang telah dipenjara dan diseksa.
Walaupun golongan ini sedikit, usaha mereka menampakkan impak yang besar. Hujah-hujah yang logikal dan efektif merubah kecenderungan aspirasi rakyat kepada pemerintahan yang adil, telus dan bertanggungjawab. Ini dinyatakan dengan sokongan yang kuat kepada Pakatan Rakyat (PR) pada PRU yang lepas. Rakyat mula menolak kerajaan sedia ada yang condong kepada penyelewengan dan ketidakadilan.
Walau umumnya rakyat Malaysia masih pasif dan permisif kepada ketidakadilan, serta takut kepada intimidasi kerajaan, minda mereka sudah mula terbuka. Dikedai-kedai kopi, ramai yang meluahkan rasa tidak puas hati. Penyertaan pada ceramah-ceramah dan forum-forum anjuran PR menarik jumlah yang ramai. Golongan profesional dan penjawat awam sudah senyap-senyap merungut. Ia juga teserlah melalui percambahan ‘pejuang-pejuang Facebook’ kebelakangan ini.
Situasi ini menghasilkan pertembungan antara golongan progresif dan kerajaan bagi mempengaruhi rakyat keseluruhan. Arus perubahan lebih cenderung kepada golongan progresif. Kerajaan yang sedar akan susutnya keberkesanan pendekatan intimidasi – mula menyantuni rakyat dan bersifat terbuka. Perubahan ini boleh dianggap sebagai kejayaan golongan progresif.
Sungguhpun begitu, banyak lagi perubahan yang perlu berlaku. Rakyat masih pasif, permisif dan takut.  Kerajaan tetap licik menyeleweng dan merompak hasil negara. Arus perubahan yang terlihat hanyalah dibibit-bibit permulaan.
 Wallahu a’lam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.