`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, November 29, 2013

DAHSYATNYA AZAB KUBUR


Azab kubur merupakan intro sebelum menempuh azab neraka kepada orang yang menderhakai Allah dan RasulNya.

Tanpa iman dan takwa, segala rahmat Allah akan terputus bila keluarnya nyawa dari tubuh kita. Orang yang beriman hendaklah meyakini bahawa ada kehidupan yang abadi dan lebih sempurna selepas kehidupan di dunia ini. Kehidupan inilah menjadi fokus utama orang-orang yang beriman.

Kerana itulah, persoalan akidah merupakan perkara yang paling asas dalam Islam. Islam diibaratkan sebagai bangunan, manakala akidah pula diibaratkan sebagai asas atau tapak kepada binaan tersebut. Jika rosak akidah seseorang maka rosaklah semua amalan yang dibina diatasnya. Atas dasar inilah Rasulullah SAW memulakan dakwahnya dengan persoalan akidah sebelum mengajar tentang hukum syariat Islam.

Walaupun Islam menganjurkan penggunaan akal fikiran namun dalam pembahasan akidah peranan akal wajib dibatasi. Apalagi persoalan akidah banyak berkait dengan perkara-perkara ghaib yang tidak mampu dicapai oleh akal manusia yang sangat terbatas.

Istilah “kubur” hanyalah berdasarkan kebiasaan setiap manusia yang meninggal dunia akan dikuburkan. Adakah setiap manusia mesti ada kubur jika mereka meninggal dunia?. Sudah pasti tidak, kerana kadang-kadang terdapat manusia yang tidak diketahui di mana kuburnya, seperti orang yang mati dimakan binatang buas, mati terbakar hangus, mati hancur berkecai jasadnya kerana kemalangan, mati hilang di laut dan sebagainya.

Namun menurut keyakinan ahli sunnah wal jamaah setiap manusia yang mati tetap akan berada di alam kubur atau di alam barzakh iaitu alam di antara alam dunia dengan alam akhirat.

Menurut kamus Lisanul Arabi oleh Ibni Manzur, makna alam barzakh ialah suatu tempat di antara dunia dan akhirat sebelum dihimpunkan di padang Mahsyar daripada waktu mati hinggalah dibangkitkan atau ia juga bermakna dinding pembatas antara dua benda sejak dari waktu kematian seseorang sehinggalah dia dibangkitkan. Jadi sesiapa yang mati bermakna dia telah memasuki alam barzakh atau alam kubur.

Banyak perkara di dunia ini yang kita tidak dapat saksikan dengan mata kasar tetapi kita tetap meyakini kewujudannya. Contohnya beberapa orang yang tidur nyenyak di atas satu hamparan. Ada di antara mereka bermimpi indah dan ketika ia bangun, jasadnya merasai nikmat yang dirasakan oleh rohnya ketika bermimpi. Demikian sebaliknya, orang yang bermimpi buruk dan mengerikan, bukan sahaja rohnya terseksa tetapi badannya juga rasa terseksa. Sedangkan mereka yang tidur berhampiran pula tidak mengetahui apa yang dirasakan oleh rakannya. Jika perkara seperti inipun diakui hakikat kewujudannya maka demikianlah dengan alam barzakh, malahan alam barzakh lebih hebat dari itu.

Sesungguhnya nikmat dan azab kubur adalah sesuatu yang wajib kita imani dan yakini kewujudannya walaupun ia tidak dapat dibuktikan secara nyata tetapi ia termasuk dalam perkara “sam’iyyat” yang wajib kita yakini. Kerana Rasulullah SAW memerintahkan agar kita berlindung dari azab kubur sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh imam Muslim yang menyuruh para sahabat agar mengamalkan doa seperti berikut:

“Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku mohon berlindung dari azab api neraka dan aku mohon berlindung dari azab kubur.”

Kita wajib berlindung diri dari azab kubur, kerana alam kubur merupakan persinggahan sementara untuk kehidupan selanjutnya. Jika di alam kubur kita mendapat kenikmatan, itulah tanda bahawa kita akan mendapat kemudahan dan kebahagiaan di alam akhirat nanti. Sebaliknya, apabila mendapat azab kubur, itulah petanda bahawa orang tersebut akan mendapat kesulitan di akhirat nanti. Sabda Rasulullah yang bermaksud :

“Sesungguhnya kubur itu, adalah singgahan pertama ke akhirat, sekiranya yang singgah itu terselamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih mudah lagi. Dan jika tidak selamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih sukar lagi.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Pernahkah kita terfikir bagaimana bentuk azab atau nikmat kubur?. Rasulullah bersabda yang bermaksud :

“Apabila salah seorang di antara kamu mati, akan ditunjukkan kepadanya setiap pagi dan petang tempat tinggalnya. Bila ia penghuni syurga, akan ditunjukkan kepadanya kenikmatan syurga, dan bila ia penghuni neraka, akan ditunjukkan kepadanya keazaban neraka. Lalu dikatakan kepada mereka : “itulah tempat tinggalmu, sampailah Allah membangkitkanmu pada hari kiamat.” (Hadis riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis tersebut nyatalah bahawa azab dan nikmat kubur pasti akan terjadi. Bagi mereka yang mempunyai keimanan yang mantap, ilmu Agama yang cukup, yakin akan kudrat dan kuasa Allah yang tiada tandingannya pasti akan yakin dengan adanya siksaan dan nikmat kubur. Hanya orang yang jahil dan sesat serta suka mendustakan Rasulullah SAW akan meragui dan mengingkari adanya azab kubur.

Sebenarnya di dalam Al-Quran terdapat lebih kurang 300 ayat yang menyatakan tentang kematian dan keadaan-keadaan kehidupan selepas daripada mati seperti di alam barzakh dan di akhirat. Nas-nas Al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah saw menerangkan bahawa roh itu kekal, ada roh yang mendapat nikmat kerana amalannya di dunia dahulu baik dan ada roh yang terseksa lantaran amalannya di dunia dahulu jahat.

Atas sebab itulah, gambaran tentang azab seksa dan nikmat kubur wajib kita imani dan yakini. Apa lagi hadis-hadis yang menerangkan tentang azab seksa dan nikmat kubur sebagaimana yang dinyatakan adalah hadis sahih dan kuat darjatnya.

Apabila kita mengingati tentang kewujudan azab yang ditanggung selepas mati oleh orang-orang yang derhaka kepada Allah, maka kita terasa gementar kerana takut akan azab Allah yang menggerunkan dan insyaAllah akan mendekatkan diri kita kepada-Nya.

Justeru, kita boleh kasihkan harta tapi tidak lupakan soal hisab, kita boleh kasihkan rumah tapi tidak lupakan soal kubur, kita boleh kasihkan hidup tapi tidak lupakan soal maut, kita boleh kasihkan dunia tapi tidak lupakan soal akhirat.

Untuk itu, tidak ada jalan pintas melainkan kita wajib mematuhi segala yang diperintahkan Allah sebagaimana yang termaktub di dalam Al-Quran. Patuh segala perintah Allah adalah syarat untuk mendekatkan diri kepada Allah dan menjadi kekasihnya.

Dengan mengingati azab kubur juga insyaAllah kita akan menjadi semakin takut untuk meninggalkan solat, meninggalkan puasa, tidak mengeluarkan zakat, merosakkan harta awam, melanggar batas-batas hukum syariat dan sebagainya. Dengan yang demikian akan memberi rangsangan kepada kita ke arah melakukan kebaikan yang sangat dituntut oleh Islam. Firman Allah yang bermaksud :

“(Iaitu) orang-orang yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab api neraka.” (Surah Ali-Imran ayat : 16)

-biaqpila

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.