`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, November 30, 2013

Tengku Razaleigh cadang perjanjian penubuhan Malaysia dikaji

Kematian Tun Abul Razak Husein dan timbalannya, Tun Dr Ismail Abdul Rahman menyebabkan urusan penyemakan perjanjian laporan antara kerajaan (IGC) diketepikan sementara waktu, katanya.
KOTA KINABALU: Bekas naib presiden Umno dan  menteri kabinet, Tengku Razaleigh Hamzah mencadangkan agar perjanjian penubuhan Malaysia disemak selepas kegagalan pada  tahun 1973.
Kematian bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak Husein dan timbalannya, Tun Dr Ismail Abdul Rahman menyebabkan urusan penyemakan perjanjian laporan antara kerajaan (IGC) diketepikan sementara waktu, katanya.
Dr Ismail meninggal dunia pada Ogos 1973 diikuti Tun Razak pada Januari 1976.
“Perkara-perkara yang terkandung dalam Perjanjian 20/18 Perkara seharusnya disemak semula selepas 10 tahun penubuhan Malaysia,” katanya dalam satu forum anjuran Angkatan Amanah Merdeka cawangan Sabah itu turut dihadiri Pengerusi Amanah Merdeka Sabah, Datuk Wifred Bumburing dan Pengerusi PKR Negeri, Datuk Lajim Ukin di sini kelmarin.
“Mungkin semakan semula itu harus dipertimbangkan sekarang selepas 50 ulang tahun Malaysia,” cadang beliau.
Menurutnya, Tun Razak telah menubuhkan jawatankuasa dalam tahun 1973 yang dipengerusikan  Dr Ismail untuk mengkaji semula perjanjian IGC.
Katanya lagi,  bagaimanapun jawatankuasa itu tidak bersidang pada tahun itu kerana  Rang Undang-Undang Draf Akta Pembangunan Petroleum (PDA) sedang disediakan.
Tengku Razaleigh yang juga bekas Pengerusi Petronas menjelaskan bahawa kebijaksanaan pada waktu itu adalah untuk mengutamakan penerimaan PDA oleh Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, , hasrat Tun Razak sebenarnya mencerminkan niat baik kerajaan Persekutuan dalam menjaga hubungan dengan Sabah dan Sarawak.
Tengku Razaleigh menambah, ketegangan  mengenai isu-isu berkaitan penubuhan Malaysia berpunca daripada maklumat yang  tidak mencukupi dan pengetahuan rakyat yang tidak jelas.
`Orang ramai mula sedar’
“Hari ini orang ramai mulai sedar tentang kemarahan penduduk  Sabah dan Sarawak mengenai isu ini. Rasa tidak puas hati ini akan memuncak dengan kedatangan 16 September.
“Rungutan mengenai janji yang tidak ditepati akan memenuhi halaman media. Apa pun satu perkara yang pasti adalah kebencian dan rasa tidak puas hati apabila Sabah dan Sarawak dianggap dan disamakan dengan 11 negeri lain di Semenanjung,”katanya.
Apapun menurut bekas Menteri Kewangan itu, ketidakfahaman (salah tanggap) itu bukan disengajakan tetapi disebabkan oleh kedaifan ilmu pengetahuan.
“Saya yakin bahawa kebanyakan perselisihan ini tidak lahir daripada niat jahat atau prasangka buruk. Kesilapan lazim yang menganggap Sabah dan Sarawak adalah dua negeri di Malaysia adalah contoh terbaik. ,” katanya.
Menurutnya, ia adalah satu kesilapan yang mengundang kemarahan rakyat Sabah dan Sarawak.
“Kita mesti perbetulkan salah faham ini, dan sebagai permulaan, kita harus menyediakan fakta yang tepat mengenai penubuhan Malaysia.
Untuk memberikan kefahaman menyeluruh, bahagian sejarah yang penting ini patut dimasukkan dalam kurikulum sekolah kita” jelasnya lagi.
Beliau menambah rasa tidak puas hati ini kedengaran di awal 80-an lagi tetapi tidak pernah muncul di forum-forum yang rasmi.
Katanya lagi, namun demikian, ianya tetap kekal sebagai kudis yang mempunyai potensi untuk pecah dan memberi kesengsaraan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.