`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, January 25, 2014

Lagi kisah Datuk Guluji

Uthaya Sankar SB
Isu yang didedahkan menerusi FMT pada awal Disember 2013 masih hangat diperkatakan.
COMMENT
Nampaknya masyarakat India di Malaysia semakin berani untuk tampil mendedahkan pelbagai salah laku dan penipuan yang dilakukan pihak tertentu dengan memanipulasi agama, motivasi dan meditasi.
Makalah bertajuk “Kisah Datuk Guluji” (FMT, 2 Disember 2013) bercerita tentang seorang individu yang berjaya menipu ribuan orang sejak beberapa tahun lalu.
Identiti para pemberi maklumat bagi makalah itu disembunyikan demi keselamatan diri mereka. Hal ini kerana khabarnya Datuk Guluji (bukan nama sebenar) mempunyai pengikut tegar yang lebih jahat daripada samseng dalam filem Tamil.
Pada kali ini, pelbagai maklumat disajikan berdasarkan pendedahan yang dilakukan beberapa orang; khususnya mereka yang pernah menjadi mangsa dan kemudian sedar diri (baca: melarikan diri).
Makalah bertajuk “Kisah mangsa ‘guruji’ dibukukan” (FMT, 28 Disember 2013) menceritakan pengalaman membaca buku “What Good Are Gurus, When Truth Is Absent” (2013) yang ditulis seorang bekas mangsa seorang guruji.
Akhbar Tamil Malar turut melakukan pendedahan berani mengenai beberapa guruji sejak pertengahan Disember 2013. Laman rangkaian sosial seperti Facebook menjadi medan untuk orang ramai berbahas, berdialog dan mendedahkan banyak lagi nanah yang menyelubungi ajaran-ajaran sesat.
Beberapa ibu bapa menceritakan kepada saya bahawa anak-anak mereka terpengaruh lalu menyertai kelas meditasi kendalian pengikut Datuk Guluji semasa menjadi mahasiswa universiti; khususnya Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Khabarnya, golongan guru di beberapa sekolah jenis kebangsaan Tamil juga menjadi pengikut dan agen untuk menambah ahli bagi “perniagaan” yang dilakukan mengikut konsep jualan langsung atau “multi level marketing” (MLM).
Ada suatu kisah di mana seorang remaja yang sedang belajar di Medan, Indonesia menghubungi ibu bapa dan meminta wang untuk menampung kos penerbangan serta bayaran “pengeras” kepada Datuk Guluji.
Sindiket bertopengkan meditasi, agama
Apabila ibu bapa mempersoalkan mengapa perlu membayar lebih RM700 untuk mengikuti kelas meditasi itu serta enggan memberikan wang, pelajar terbabit dilaporkan cuba membunuh diri. Akhirnya, ibu bapa terpaksa akur pada permintaannya.
Beberapa individu yang bercerita kepada saya – secara bersemuka, menerusi e-mel, panggilan telefon atau mesej Facebook – setuju jika identiti mereka didedahkan.
Akan tetapi, untuk berlaku adil kepada semua (kerana ada yang meminta maklumat diri dirahsiakan), maka saya hanya memetik maklumat yang mereka berikan untuk dipaparkan memerusi makalah ini.
Ramai yang menyesali kebodohan sepanjang menjadi pengikut Datuk Guluji. Mereka sendiri kini hampir tidak percaya bahawa mereka pernah mengikut secara membabi buta sedangkan guruji itu ternyata menipu secara terang-terangan dan terbuka.
Contoh paling mudah adalah apabila bayaran wajib lebih RM700 dikenakan sedangkan seorang swami atau guruji Hindu tidak akan berbuat demikian. Malah tidak ada apa-apa resit diberikan sebagai bukti bayaran.
Datuk Guluji mampu mengutip keuntungan bersih sekitar RM600,000 – tanpa resit dan apa-apa bukti – pada setiap sesi yang dijalankannya. Bayangkan jika sesi seumpama itu dijalankan dua minggu sekali.
Hanya selepas mendapat kesedaran dan meninggalkan kumpulan pimpinan Datuk Guluji, mangsa terbabit menyedari bahawa ia sebenarnya sebuah sindiket yang menjalankan kerja haram yang bertentangan dengan undang-undang perniagaan.
Tidak kurang juga mangsa yang bertegas mengatakan bahawa Datuk Guluji pasti telah menggunakan ilmu hitam untuk memukau orang ramai yang menghadiri kelas pertama yang dikendalikan.
Akibat terkena pukau dan sihir, para pengikut akan mengikut sahaja secara membabi buta. Ramai yang menggadai harta-benda, meminjam wang daripada saudara-mara dan along serta sanggup bergaduh dengan keluarga demi mahu menjadi pengikut tegar Datuk Guluji.
Guna ugutan, samseng
Selalu juga pengikut menyembah dan mencium kaki Datuk Guluji dan isterinya (Datin Guluji) sebagai tanda hormat serta mahu mendapatkan berkat, restu dan “kuasa ajaib” yang dimilikinya.
Konsep MLM turut diterapkan secara penuh licik di mana sekiranya seseorang berjaya memujuk, memaksa dan membawa lebih ramai orang menjadi pengikut Datuk Guluji – dengan bayaran minimum lebih RM700 – maka orang itu akan lebih disayangi Datuk Guluji dan akan mendapat berkat, restu serta kuasa ajaib daripada guruji itu.
Kisah-kisah yang diceritakan kepada saya oleh mangsa dari tempat-tempat yang berlainan adalah hampir sama. Modus operandi yang digunakan untuk menarik orang ramai menyertai kumpulan ajaran sesat itu adalah serupa.
Cara bagaimana pengikut dimanipulasi secara mental – dipukau atau disihir? – sehingga sanggup melakukan apa-apa sahaja demi Datuk Guluji juga sama. Malah, apabila seseorang memutuskan untuk meninggalkan kumpulan itu, kandungan ugutan yang diterima juga hampir sama.
Akhirnya, ramai mangsa yang memilih untuk meninggalkan kumpulan itu secara senyap-senyap. Mereka memilih untuk tidak mendedahkan apa-apa mengenai Datuk Guluji kepada sesiapa kerana bimbang akan keselamatan diri dan keluarga.
Rata-rata mangsa yang menghubungi saya mengakui bahawa sebahagian pengikut tegar Datuk Guluji terdiri daripada orang yang menyerupai anggota kongsi gelap, mafia dan samseng. Mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk “menutup mulut” orang yang berani melawan Datuk Guluji.
Walaupun ramai yang meninggalkan kumpulan ajaran sesat itu, apabila mereka (mangsa) memilih untuk berdiam diri (kerana takut), maka agen-agen Datuk Guluji masih bebas dan aktif mengumpulkan ahli-ahli baru yang sanggup membayar lebih RM700 (tanpa resit) dengan harapan diberikan “kuasa ajaib” oleh lelaki berkenaan.
Saya pernah membaca laporan mengenai kenderaan mewah beberapa individu dibakar dan disyaki perbuatan itu dilakukan pengikut seorang guru ajaran sesat. Akan tetapi, tidak pasti sama ada ia melibatkan kumpulan Datuk Guluji.
Pihak berkuasa bagaikan dipukau
Tambahan pula, sepertimana didedahkan menerusi akhbar Tamil Malar sejak pertengahan Disember 2013, nampaknya ada beberapa guruji seperti itu yang aktif beroperasi di negara ini tanpa rasa takut kepada pihak berkuasa.
Dalam makalah “Kisah Datuk Guluji” (FMT, 2 Disember 2013), saya ada mempersoalkan mengapa Malaysia Hindu Sangam (MHS) tidak berani mengambil tindakan terhadap penyebaran ajaran sesat seperti ini.
Dua hari kemudian, saya dihubungi pekerja dari ibu pejabat MHS yang memaklumkan bahawa mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana tidak ada sebarang laporan bertulis diterima daripada mana-mana mangsa Datuk Guluji.
Katanya, langkah susulan hanya akan difikirkan oleh presiden MHS selepas semua laporan bertulis dikumpul daripada para mangsa yang tampil membuat aduan dengan pergi sendiri ke ibu pejabat MHS.
Semasa saya bertemu bekas presiden MHS, Datuk A Vaithilingam di kediaman beliau di Petaling Jaya pada 19 Januari 2014, beliau menceritakan mengenai seorang lagi individu bernama “Datuk Seri Guruji” atau nama sebenarnya Balakrishnan Vellasamy.
Khabarnya MHS pernah mengambil tindakan tegas dan berani terhadap operasi Datuk Seri Guruji selepas menerima aduan daripada orang ramai. Berita berkaitan guruji tersebut ada juga disiarkan di Tamil Malar dan FMT tidak lama dahulu.
Dalam pada itu, Datuk Guluji dan beberapa lagi guruji masih aktif menjalankan kegiatan yang nampaknya memang memudaratkan masyarakat, berunsur ajaran sesat, berciri perniagaan dan melibatkan kutipan bayaran tanpa resit.
Maka tentulah orang ramai – khususnya kaum India dan penganut Hindu – mengharapkan tindakan sewajarnya bukan sahaja daripada MHS dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) India/Hindu, tetapi juga daripada pihak berkuasa dan jabatan terbabit.
Atau mungkinkah juga – seperti dibisikkan oleh beberapa orang kepada saya – kuasa wang, ilmu hitam dan pukau Datuk Guluji turut mengabui mata dan minda rasional pihak tertentu? Mungkin Tuhan sahaja yang tahu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.