Sebahagian daripada Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di Sabah didapati menjual barangan pada harga lebih mahal daripada kedai biasa, kata Ketua Pemuda Umno Sabah, Hafez Yamani Musa.
Berdasarkan kajian rawak dijalankan pemimpin Pemuda Umno itu, pihaknya melakukan tinjauan berkenaan sebagai sebahagian usaha mereka mengumpul data untuk menubuhkan Skuad Pengguna di negeri berkenaan.
“Apa yang menarik adalah alasan di sebalik perkara ini. Mungkin ia sebahagian daripada strategi untuk mengalih kos operasi kedai."Ini baru kajian prelimenari. Kami akan buat kajian menyeluruh di seluruh negeri dan akan mengeluarkan kenyataan lengkap berhubung perkara ini," katanya dipetik daripada portal berita Daily Express.
Sementara itu, portal Daily Express turut membuat tinjauan terhadap peniaga, dan mendapati harga kangkung tidak pernah turun seperti didakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ahli Jawatankuasa Pengguna Daerah, Tukimin Tumin turut terkejut apabila beliau mengetahui penurunan harga kangkung sedangkan harga sayuran itu kekal berada pada kadar RM2 seikat.
Peniaga sayur, Surina Tapikon, 52, berkata, khabar angin penurunan harga sayuran juga tidak benar, namun tidak menolak kenaikan itu disebabkan peningkatan harga petrol yang dijadikan alasan.
Harga yang ditetapkan Gerakan Pengguna Daerah bagi harga sayuran adalah seperti berikut; tomato RM9 sekilo, bunga kobis RM9 sekilo, cili merah RM12 sekilo, sayur bunga RM3.50 sekilo, lobak merah RM5.50 sekilo, kangkung RM2 seikat.....lagi TMI
Khabar angin berkenaan penurunan harga kangkung bermula selepas ucapan Najib ketika menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir di Kemaman.
Video berkenaan kemudiannya menjadi momokan warga Internet, malah turut dipetik media antarabangsa BBC.
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam mendakwa pihak yang terus memainkan isu kangkung sebagai bodoh, tidak mengetahui maksud di sebaliknya dan menjauhi budaya ketimuran.
Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, apa yang dimaksudkan Najib adalah kangkung sejenis sayuran yang murah dan boleh ditanam di merata tempat.
"Saya sudah beritahu mereka ini bodoh. Main isu kangkung ini bodoh. Dia tidak tahu konotasi maksudnya kerana kangkung ni jenis sayuran yang murah dan boleh ditanam di merata-rata.
"Apa yang Najib persoalkan adalah mengapa (sayuran) ini pun boleh turun naik tetapi mereka ini bodoh tidak ikut (budaya) ketimuran. Ikut cara Barat memburuk-burukkan dan memfitnah," katanya selepas merasmikan majlis sambutan Maulidur Rasul Masyarakat Acheh Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.
Tengku Adnan yang mesra dipanggil Ku Nan berkata, mereka yang terus memainkan isu kangkung ini perlu menjawab dengan Allah di Akhirat kelak.
"Ini masalah mereka. Kita boleh berjumpa mereka apabila bertemu dengan Allah nanti," katanya.
Najib ketika berucap di Kemaman pada Ahad lalu menjelaskan adalah tidak adil sekiranya rakyat meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada kerajaan apabila berlaku kenaikan harga barang namun enggan memuji kerajaan apabila terdapat harga barangan di pasaran mencatatkan penurunan.
“Kalau harga sayur-sayuran naik, ada masa ia naik, ada masa ia turun. Hari ini dalam surat khabar saya baca, ada yang dah turun. Kangkung dulu naik, sekarang ni dah turun. Bila turun kenapa tak puji kerajaan? Masa naik dipersalahkan kerajaan. Ini tidak adil,” katanya.
Tengku Adnan turut mengingatkan peniaga agar tidak menaikkan harga barang sewenang-wenangnya kerana bertentangan dengan prinsip Islam.
Katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) di Wilayah Persekutuan akan turut membantu kerajaan dalam memerhati harga jualan peniaga tempatan agar tidak terus membebankan rakyat.
“Saya hendak maklumkan kepada ahli perniagaan. Ingat kalau kamu makan keuntungan yang lebih. Apa hukum Allah? Haram. Berhati-hatilah.
“DBKL sebagai PBT diminta memantau di kedai bagi membantu kerajaan melihat harga yang dijual kepada rakyat agar berpatutan. Saya juga memberi arahan kalau mereka tidak patuh kepada arahan ini, lesen mereka akan ditarik balik,” katanya.
Ahli Parlimen Putrajaya itu turut menyelar peranan orang tengah yang lebih berpihak kepada pembangkang dan sering mencanangkan kepada rakyat tentang keburukan kerajaan BN.
“Kita sedar banyak orang tengah menyokong kepada pembangkang. Apa yang dilakukan mereka membuat satu kaedah supaya rakyat benci kepada kerajaan BN. Ini tidak adil. Kenapa buat begini?
“Mereka juga berkata kalau bagi BN menang, barang akan naik kononnya BN bermakna Barang Naik pada hal BN untuk Better Nation (negara yang lebih baik),” katanya. – 19 Januari, 2014.TMI
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.