`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, April 24, 2014

Pembodek Najib mahu nama Obama di lebuh raya di Putrajaya

Sehingga hari ini difahamkan Putrajaya Holding akur dengan nasihat Mahathir itu
obama1PETALING JAYA: Blogger Shahbudin Husin mendakwa salah seorang penasihat Perdana Menteri yang bertaraf menteri dikatakan mahu meletakkan sebatang jalan di Putrajaya dengan nama “Lebuh Obama” sempena lawatan Presiden Amerika Syarikat itu ke Malaysia Sabtu ini.
Katanya, jalan yang dikenalpasti untuk ditukar nama itu ialah salah satu jalan yang menjadi laluan menuju beberapa kementerian dan tidak jauh daripada Masjid Putrajaya.
“Percubaan meletakkan nama Obama ini tidak lain ialah untuk menggembirakan hati Najib yang tentu akan berbunga-bunga hatinya apabila dipuji oleh Presiden Amerika itu nanti,” tulisnya dalam posting terbaru dalam blognya www.shahbudindotcom.blogspot.com
Beliau yang juga bekas ahli jawatankuasa Umno Bahagian Wangsa Maju berkata ura-ura pertukaran nama itu telah disampaikan kepada Putrajaya Holding dan turut menjadi perbualan sebilangan kakitangannya dan rata-rata turut tidak bersetuju dengannya.
Menurutnya lagi, kunjungan Obama ini mencatat sejarah kerana kali terakhir seorang Presiden Amerika berkunjung ke negara ini ialah pada tahun 1966 iaitu Lyndon B. Johnson. Berikutan lawatannya itu, sebuah tanah rancangan Felda di Negeri Sembilan kemudiannya telah diberi nama Felda L.B Johnson.
“Oleh kerana Datuk Seri Najib Tun Razak dapat membawa Obama ke negara ini hanya dalam tempoh lima tahun berkuasa dan mampu menyaingi Mahathir yang memerintah selama 22 tahun tetapi tiada seorang pun Presiden Amerika yang datang melawat, barangkali penasihat itu merasakan pengabadian namanya pada sebatang jalan di Putrajaya adalah suatu penghormatan yang amat tinggi,” dakwanya.
Shahbudin menambah walaupun mengabadikan nama pemimpin besar dunia yang pernah berkunjung ke negara ini bukanlah suatu isu yang sangat besar sebenarnya tetapi meletakkan nama Obama pada sebatang jalan di pusat pentadbiran kerajaan di Putrajaya tentulah tidak begitu sesuai dan seolah-olah menunjukkan negara mahu berkiblatkan kepada kuasa besar itu.
“Sekali imbas dan nyata, ia dilihat seperti Najib mahu membodek Obama tetapi yang sebenarnya ia adalah percubaan salah seorang penasihat yang ingin membodek, menyenang dan dan menggembirakan hati Perdana Menteri yang diketahuinya begitu taksub kepada pemimpin kuasa besar itu,” dakwanya lagi.
Katanya, bagaimanapun apabila percubaan pertukaran nama jalan itu sampai ke pengetahuan Tun Dr Mahathir Mohamad, orang yang mewujudkan Putrajaya, beliau telah menyuarakan rasa tidak setujunya atas ura-ura itu kepada pengurusan tertinggi Putrajaya Holding dan mahu imej Putrajaya yang ada dikekalkan.
Sehingga hari ini difahamkan Putrajaya Holding akur dengan nasihat Mahathir itu, dakwanya lagi.
Katanya, namun demikian, sempena kunjungan Obama bermula Sabtu ini, tidak dipastikan sama ada sebatang jalan lain, kampung atau bangunan yang lain akan dinamanakan dengan nama Presiden Amerika itu tetapi yang pastinya Putrajaya tidak berjaya dicemari dengan unsur-unsur pengagungan nama-nama pemimpin luar.
“Segala-galanya kerana Mahathir masih ada dan ramai yang masih segan dengannya. Bagaimana agaknya jika selepas beliau tiada lagi dan pemimpin yang ada beserta penasihatnya terus menerajui negara ini? “ soal Shahbudin.
Menurut beliau, semalam Dr Mahathir menulis di blognya mengenai peranan pembodek dan penasihat kepada seseorang yang berkuasa sehingga menyebabkan kemarahan rakyat dan seterusnya boleh mengakibatkan seseorang pemimpin itu tersingkir daripada takhta kuasa.
“Walaupun beliau menulis secara umum dan tidak menyebut nama mana-mana pemimpin, tetapi jelas difahami bahawa tulisannya itu ditujukan kepada Perdana Menteri yang bukan saja dikelilingi paling ramai penasihat, bahkan juga pembodek yang sentiasa mengiyakan apa saja yang dilakukannya,” dakwa Shahbudin.
Katanya, dalam semua kritikan dan kelemahan yang dikaitkan dengan Najib, selain beliau sendiri tidak mempunyai personaliti yang benar-benar kukuh sebagai pemimpin, peranan penasihat yang berada di di sekelilingnya turut dipersalahkan.
“Walaupun mempunyai paling ramai penasihat, pegawai dan konsultan di sekelilingnya, mereka itu dilihat tidak memberikan nasihat yang betul dan jujur, sebaliknya lebih untuk menyenangkan hati dan menggembirakan Perdana Menteri saja,” katanya.
Sebab itu, ujarnya, bukan saja ekonomi tidak berkembang, hutang bertambah, pembaziran berleluasa, tetapi juga menyebabkan timbulnya pelbagai masalah politik, sosial dan perpaduan yang tidak berkesudahan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.