`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, September 6, 2014

Akta Hasutan 1948: Antara sumpahan dan kuasa

Akta Hasutan 1948 umpama satu sumpahan buat pembangkang dan satu senjata kuat buat pemerintah dalam memastikan kuasa terus dipusatkan dalam tangan mereka.
COMMENT
Oleh Edwin Michael
akta-hasutanDalam perkembangan sistem pemerintahan bermasyarakat, demokrasi dianggap sebagai satu sistem politik terbaik yang terkandung di dalamnya idealisme sosio-politik yang sesuai untuk kehidupan manusia. Bermula dengan pemikiran Socrates hinggalah ke hari ini, demokrasi berkembang selari dengan konsep negara bangsa, kontrak sosial, aspirasi umum, penyertaan rakyat, hak rakyat dan sebagainya. Kesemua konsep ini mengikat demokrasi dengan kehendak majoriti rakyat terhadap satu-satu pemerintah. Dengan itu, pemahaman mengenai demokrasi dapat ditakrifkan sebagai sebuah negara atau kerajaan yang terhasil daripada kehendak dan aspirasi kelompok masyarakat majoriti.
Ciri-ciri demokrasi yang dapat dilihat pada hari ini merangkumi pilihan raya, parti politik, kebebasan media, hak asasi manusia, pembahagian kuasa dan masyarakat sivil. Ia menjadi mekanisme yang diwujudkan untuk mengimbangi kekuatan kerajaan dan kepentingan masyarakat majoriti supaya terus terpelihara. Kebebasan bersuara, kebebasan media dan hak untuk berorganisasi menjadi penyumbang ke arah mewujudkan suatu persekitaran kondusif kepada sistem demokrasi.
Bagaimanapun, sukar untuk mengesan sebuah negara yang benar-benar memberikan hak-hak tersebut kepada rakyat dan ia boleh dikatakan tidak bersifat mutlak. Ia membawa kepada andaian bahawa tidak ada satu model demokrasi pun di dalam sistem dunia ini yang mengamalkan demokrasi yang patuh kepada ciri-ciri tersebut.
Akta Hasutan 1948: keperluan atau kemestian?
Ahli akademik, wartawan dan ahli-ahli politik pembangkang menjadi sasaran Akta Hasutan 1948. Saya berpegang teguh kepada keperluan Akta Hasutan 1948 ini namun penyalahgunaan akta ini nyata membimbangkan.
Apabila undang-undang digunakan untuk mengawal apa yang boleh ditutur atau ditulis oleh seseorang ahli akademik dan wartawan maka secara langsung itu adalah petanda betapa negara sedang menuju kepada kemunduran hak asasi manusia. Pencabulan hak berakademik dan pemerkosaan etika kewartawanan oleh kerajaan melalui undang-undang turut mencetus perdebatan bagaimana kerajaan semacam takut kepada kelantangan suara golongan intelektual di negara ini yang mengkritik dasar, polisi dan sistem kerajaan itu sendiri.
Dua faktor yang menentukan dasar negara kerajaan authoritarian terhadap media – elektronik dan cetak ialah media mestilah memperjuang kepentingan kerajaan dan penggunaan gelombang elektromagnet adalah hak milik negara. Kerajaan negara authoritarian mempunyai kuasa monopoli sepenuhnya ke atas sistem media massa negara berkenaan.
Jika mampu berkeras dengan media portal pro pembangkang maka tindakan yang sama harus dilaksanakan pada media cetak pro kerajaan seperti Utusan Malaysia.
Pembangkang bukan maksum
Agak aneh apabila Pakatan Rakyat dengan lantangnya mengkritik Akta Hasutan 1948 sehingga bertindak menubuhkan kempen MAH atau Mansuhkan Akta Hasutan.
Apakah laporan 91 muka surat yang kononnya mengandungi salah laku Tan Sri Khalid Ibrahim dan menuntut beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor tidak boleh dijustifikasikan sebagai berbentuk hasutan dan menimbulkan kebencian rakyat pada seorang Menteri Besar (MB) dan seterusnya merangsang rakyat untuk mencabar Institusi Raja itu sendiri? Ini belum mengambil kira kempen Pakatan Rakyat (PR) yang mengelilingi negeri Selangor dengan motif yang sama iaitu untuk menghasut rakyat Selangor supaya membenci MB yang diperkenan oleh Sultan.
Nampaknya, konsep pendefinisian hasutan itu berbeza bagi Pakatan Rakyat. Sekiranya mereka menghasut rakyat maka itu dilihat sebagai sesuatu yang wajar dan harus diletakkan dibawah kerangka demokrasi PR. Namun sekiranya pendefinisian yang sama digunapakai oleh kerajaan maka kerajaan itu adalah maha zalim dan harus ditumbangkan.
Walaupun pembangkang tidak maksum namun itu tidak bererti kerajaan bersifat sempurna. Perdana Menteri sendiri mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan kebencian terhadap kaum Cina iaitu sehari selepas pengumuman keputusan PRU 13 apabila beliau sifatkan pilihanraya tersebut sebagai ‘Tsunami Cina’. Tidak kurang juga beberapa pemimpin pro kerajaan yang suka memperlekeh kaum-kaum bukan Melayu di negara ini. Adakah ini satu penghakiman bersifat pilih kasih?
‘Disini Lahirnya Sebuah Cinta’
Walaupun ada kecacatan pada pelaksanaan Akta Hasutan 1948 namun akta ini masih relevan dalam menangani anasir-anasir yang cuba memporak-perandakan negara. Hari ini, wujudnya garis pemisah antara kaum adalah akibat dihasut oleh kedua-dua pihak pembangkang dan kerajaan. Selepas sekian lama membiarkan hasutan dan kebencian merajai segenap ruang waktu rakyat Malaysia, bagaimana kita masih boleh berfikiran bahawa akan lahirnya sebuah cinta antara kaum dinegara ini?
Hubungan negara dan rakyat kini berada dalam krisis yang amat serius. Tiada alternatif daripada pihak kerajaan dalam soal Akta Hasutan 1948 ini sementara pembangkang pula lebih suka memanipulasikan isu ini untuk terus timbulkan kebencian terhadap pemerintah. Bak roda, berpusing dan berpusing tanpa ada garisan penamat dan rakyat sekadar menjadi pemerhati sahaja.
Edwin Michael adalah Pensyarah Universiti Tunku Abdul Rahman, Perak.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.