`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, September 30, 2014

Sampel air kencing atlet wushu dikhuatiri disimpan hampir 16 jam, kata Khairy

 Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menyatakan terdapat keraguan kronologi perjalanan sampel air kencing milik atlet wushu Tai Cheau Xuenitu yang mungkin berada dalam simpanan selama hampir 16 jam sebelum tiba di Doping Control Command Centre (DCCC). – Gambar fail The Malaysian Insider, 30 September, 2014.  Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menyatakan terdapat keraguan kronologi perjalanan sampel air kencing milik atlet wushu Tai Cheau Xuenitu yang mungkin berada dalam simpanan selama hampir 16 jam sebelum tiba di Doping Control Command Centre (DCCC). – Gambar fail The Malaysian Insider, 30 September, 2014. 
Malaysia perlu mencabar keputusan Anti-Doping Rule Violation (ADRV) terhadap atlet wushu Tai Cheau Xuen memandangkan terdapat kesangsian bagaimana sampel air kencing atlet itu dikendalikan, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.
Katanya, ia membabitkan keraguan terhadap kronologi perjalanan sampel itu yang mungkin berada dalam simpanan selama hampir 16 jam sebelum tiba di Doping Control Command Centre (DCCC).
"Kita meragui bagaimana sampel air kencing atlet itu dikendalikan atau lebih tepatnya, amalan chain of custody (CoC) ke atas sampel tersebut.
Kata Khairy dalam satu kenyataan, dokumen CoC seterusnya mencatatkan yang sampel itu tiba di DCCC pada pukul 11.10 pagi, dengan anggapan ia bertarikh 21 September, memandangkan tiada tarikh dicatatkan pada sampel tersebut.
Kemudian katanya, sampel itu dibawa ke Institut Sains dan Teknologi Korea (KIST) dan tiba di makmal institut berkenaan pada 1.29 petang, sekali lagi dengan anggapan ia bertarikh 21 September, memandangkan tiada tarikh dicatatkan.
"Ketiadaan catatan tarikh ini menimbulkan tanda tanya serta keraguan terhadap kronologi perjalanan sampel berkenaan.
"Jika anggapan kita tentang tarikh dan masa tersebut adalah tepat – berdasarkan maklumat yang ada – ia bermaksud sampel tersebut berada dalam simpanan selama  hampir 16 jam, dari venue wushu ke DCCC.
"Ini adalah sesuatu yang amat pelik dan menimbulkan kesangsian ke atas integriti CoC. Mengapa mengambil masa 16 jam?" soalnya.
Terdahulu hari ini, ketua kontinjen negara Datuk Daniyal Balagopal Abdullah berkata pihaknya akan mengemukakan rayuan berhubung dakwaan Majlis Olimpik Asia (OCA) bahawa Tai gagal ujian doping.
OCA hari ini memutuskan menarik balik pingat emas yang dimenangi Tai kerana beliau didapati gagal ujian dadah.
Menurut kenyataan pihak penganjur, ujian sampel air kencingnya yang dilakukan selepas pertandingan pada 20 September mendapati ia mengandungi Sibutramine iaitu bahan terlarang dalam Senarai Larangan Agensi Anti Doping Sedunia (Wada).
Khairy berkata, sekalipun mengambil kira masa dan jarak di antara venue, DCCC dan KIST, ia masih tidak masuk akal mengapa mengambil masa begitu lama.
"Jelas ia tidak disimpan di venue dan tidak juga dihantar ke KIST dengan segera. Sekiranya penganjur mengemukakan alasan ia disimpan di peti sejuk, tiada sebarang rekod menyatakan sedemikian," katanya.
Malaysia katanya sudah mengemukakan semua persoalan itu kepada panel disiplin temasya itu yang dipengerusi Tayyab Ikram dan menghantar surat kepada badan OCA Antidoping menyuarakan ketidakpuasan hati tentang bagaimana proses CoC dijalankan.
"Lebih menimbulkan persoalan ialah dalam perjumpaan kedua dengan panel tersebut, mereka mengemukakan dokumen CoC berkenaan yang secara jelas dipinda, berbeza dengan butiran yang kita terima secara rasmi sebelum itu.
"Versi dokumen yang dipinda itu tidak pernah dikemukakan kepada pihak kontinjen negara dan ia sesuatu di luar kelaziman, memandangkan kita berhak mendapat maklumat sepenuhnya tentang sampel berkenaan," katanya.
Khairy berkata, Malaysia tiada sebarang sebab mempersoalkan pengambilan sampel berkenaan atau kesahihan analisis oleh KIST tetapi persoalannya adalah tentang kepincangan proses CoC yang tidak dijawab dengan sebaiknya oleh panel itu.
"Dalam kita berjuang secara agresif memerangi penggunaan dadah di kalangan atlet,  kita juga perlu memastikan agar proses CoC dilaksanakan dengan penuh integriti kerana setiap atlet berhak mendapat layanan adil dan saksama.
"Ini juga untuk memastikan tiada pertikaian ataupun kesangsian terhadap proses anti-doping berkenaan."
- TMI

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.