`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, September 10, 2014

Kisah Mukhriz dan ‘ladang kurma’ termahal



DATO' Paduka Mukhriz Mahathir mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi Menteri Besar yang tidak menetap di Kedah. Beliau hanya ‘membujang’ di Kedah sedangkan anak isterinya tinggal di Kuala Lumpur. Sebab itu isteri Mukhriz jarang bersama dalam majlis-majlis rasmi anjuran kerajaan.

Setahun menjalani kehidupan seperti itu menyebabkan beliau mula menerima kritikan daripada para pemimpin kerajaan serta rakyat negeri ini. Mereka nampak Mukhriz semacam tidak serius untuk menjadi anak Kedah tulen. Tidak munasabah Menteri Besar Kedah tidak menetap di Kedah bersama keluarganya.

Mungkin kerana itu beliau membuat keputusan untuk tinggal di kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon. Menteri Besar Kedah yang terakhir tinggal di rumah rasmi kerajaan itu ialah Dato’ Syed Omar. Tujuh menteri besar selepas itu, termasuk Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan tidak tinggal di Seri Mentaloon.

Yang mencetuskan kontroversi ialah apabila ubah suai yang dilakukan kerajaan BN terhadap kediaman rasmi tersebut, termasuk landskapnya adalah berjumlah RM4.3 juta! Ubah suai itu pula dilakukan hanya selepas tiga tahun kediaman itu diubah suai.

Dalam peristiwa banjir besar yang melanda Kedah pada 2010, Seri Mentaloon adalah antara kawasan yang turut diharung banjir. Maka selepas banjir terpaksalah dibaik pulih. Pada Mac dan April 2011, Seri Mentaloon diubah suai sekali lagi. Kali ini adalah untuk menyediakan penginapan yang sesuai (dengan keperluan Istana Negara) bagi menyediakan 'Istana Tetamu' untuk kegunaan DYMM Seri Paduka Baginda YDP Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin yang melakukan lawatan rasmi tiga hari ke Kedah sempena berakhirnya perkhidmatan baginda. Gantinya adalah KDYMM Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Sultan Kedah sebagai YDP Agong ke-13.

Kerajaan Kedah bersiap selaras dengan sambutan yang wajar sebuah negeri kepada lawatan rasmi oleh ketua sebuah negara. Tiada hotel bertaraf lima bintang atau yang setara dengan keperluan Istana Negara di Alor Setar. Kediaman itu juga pernah menjadi 'Istana Tetamu' kepada Duli-Duli yang Maha Mulia Sultan beberapa negeri, termasuk Almarhum Sultan Johor dan Sultan Brunei sewaktu menghadiri acara di Kedah sebelum itu. Ubah suai yang dilakukan terhadap bangunan dan landskap itu menelan belanja RM1.4 juta, menjadikan kediaman rasmi itu bertaraf ‘lima bintang’.

Belanja RM1.4 juta itu, bukanlah pengubahsuaian bangunan, penambahan beberapa ruangan baharu dan hiasan dalam sahaja, malahan termasuk kerja-kerja di luar bangunan. Di bahagian luar dibina kolam air pancut berlampu, jalan pejalan kaki, ubah suai landskap, lampu-lampu dipasang di tembok pagar dan pokok-pokok di bahagian hadapan.

Bekas Setiausaha Politik Menteri Besar, Muhammad Sanusi Mohd Noor mendedahkan bahawa angka RM1.4 juta itu mencetuskan kemarahan Ustaz Azizan. Baginya, jumlah tersebut terlalu mahal. Namun apa nak dikata, angka itu sampai ke pengetahuan Ustaz Azizan selepas kerja-kerja diselesaikan.

Kini kerajaan BN melakukan pengubahsuaian tanpa berlaku sebarang kerosakan pun. Memang tiada keperluan untuk melakukan ubah suai. Menurut maklumat yang dibocorkan, orang yang ‘mengatur’ perhiasan dalaman serta peralatan mewah yang perlu dimasukkan ke kediaman itu ialah isteri Mukhriz sendiri. Kontraktor dikatakan terpaksa merujuk kepada mahligai Mukhriz di Kuala Lumpur bagi mengenal pasti bahan-bahan yang akan digunakan dalam pengubahsuaian di Seri Mentaloon. Maksudnya, bagi memenuhi cita rasa isteri seorang menteri besar. Semua peralatan adalah jenama mewah dan mahal.

Pengubahsuaian kediaman sahaja bernilai RM1.4 juta. Manakala untuk bahagian landskap (luaran) kosnya adalah sebanyak RM2.9 juta. Bermakna jumlah keseluruhannya RM4.3 juta, jumlah yang cukup untuk membina sebanyak 215 unit rumah kos rendah yang bernilai RM20,000 sebuah.

Apa istimewanya landskap sehingga mencecah hampir RM3 juta? Ia cuma sebuah taman yang ditanam dengan pohon-pohon kurma. Mungkin mereka mendapat idea membuka ‘ladang kurma’ setelah melihat pokok kurma di Kota Bharu berbuah lebat. Bolehlah rasanya kerajaan BN Kedah meneruskan agenda Belanda Timur yang diasaskan Ustaz Azizan, Kedah muncul sebagai negeri pengeluar kurma yang utama di Malaysia. Cuma kos menanam pokok kurma sangat mahal, sepohon pokok bernilai hingga puluhan ribu ringgit. Semua ini menjadi bahan jenaka yang 'diviralkan' di media maya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.