Suri rumah berusia 25 tahun terbabit enggan membuat laporan polis walaupun telah dinasihatkan berbuat demikian pada Isnin lalu kerana tidak mahu suaminya dikenakan tindakan.
VIDEO INSIDE
KUANTAN: Kes suami menendang isterinya yang masih dalam pantang di sebuah kedai dobi di Kuantan akan dirujuk kepada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).
Tindakan lelaki itu berjaya dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) dalam premis dobi layan diri berkenaan sebelum ia menjadi viral di laman media sosial.
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Abdul Aziz Salleh berkata, tindakan itu diambil selepas suri rumah berusia 25 tahun terbabit enggan membuat laporan polis walaupun telah dinasihatkan berbuat demikian pada Isnin lalu.
“Wanita itu tidak mahu suaminya yang berusia 29 tahun yang juga seorang buruh dikenakan tindakan. Oleh itu, kita serahkan kepada JAIP supaya tindakan seperti kaunseling dapat dilakukan.
“Kita tidak mahu masyarakat menganggap polis tidak mengambil sebarang tindakan ke atas lelaki itu walaupun video kejadian telah diviralkan di laman sosial Facebook,” katanya pada sidang media hari ini.
Abdul Aziz turut mengesahkan wanita yang berasal dari Kuantan itu tidak pernah membuat laporan polis terhadap suaminya.
Beliau memaklumkan pemilik kedai dobi di Jalan Mat Kilau itu turut membuat laporan polis semalam, bagi menafikan beliau adalah individu yang menyebarkan video selama seminit itu.
“Pemilik kedai dobi menyatakan beliau menyedari kejadian itu semasa menonton semula CCTV bersama rakan. Anak saudara rakannya yang ada bersama telah menyebarkan video itu,” katanya.
Polis bagaimanapun tidak akan mengambil tindakan terhadap individu berkenaan yang menyebarkan rakaman video itu.
Rakaman video itu menunjukkan suami mangsa yang berada di depan kedai bertindak membaling bakul plastik ke arah isterinya sebelum masuk dan menendang pinggang wanita yang baru melahirkan anak kedua.
Lelaki itu bagaimanapun turut terjatuh selepas menendang isterinya kerana terpijak baju di atas lantai.
Video itu turut menunjukkan anak sulung mangsa yang masih kecil menuju ke arah ibunya dan memeluk wanita berkenaan yang sedang menahan kesakitan pada bahagian punggung.
– BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.