`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Tuesday, February 14, 2017

2 tahun tanpa Nik Aziz, 180 darjah untuk PAS?

Hanya 4 bulan selepas kematian Nik Aziz, PAS mengalami perubahan besar, dan kini berpaut kembali kepada sokongan tradisinya yang pernah menggerakkan parti itu selama beberapa dekad.
nik-aziz-karpal-singh
PETALING JAYA: Hujung minggu lalu, genap 2 tahun pemergian Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mursyidul am PAS dan menteri besar Kelantan yang mengemudi parti itu sehingga ke akhir hayatnya.
Di bawah Nik Aziz, Kelantan menjadi sebahagian daripada politik arus perdana Malaysia, sentiasa mendapat perhatian dengan statusnya sebagai satu-satunya negeri ditadbir pembangkang, sehinggalah kemenangan pembangkang pada 2008.
Suara Nik Aziz dalam PAS menjadi penentu langkah parti kedua terbesar di Malaysia itu, malah pengaruh beliau dalam gabungan pembangkang, Pakatan Rakyat, dikatakan amat besar, sebaris – kalau bukan lebih daripada – Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sering dinobatkan simbol penyatuan pembangkang.
Nik Aziz bukan sahaja menjadi “tuan guru”, sumber rujukan perihal agama. Selama 3 dekad menerajui Kelantan, beliau terbukti seorang ahli politik yang lincah, dan sekian lama berjaya melawan kelincahan politik Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kelincahan silat politik Nik Aziz membuatkan ketegasannya itu tidak mencetuskan perpecahan dalam Pakatan Rakyat. Karismanya pula menyebabkan orang bukan Islam mula lebih rapat dengan parti yang antara lain mahu melaksanakan hukum hudud.
Siapa boleh lupa gambarnya bersama-sama mendiang Karpal Singh – tokoh yang sungguh-sungguh menolak hudud – melunakkan hati orang Melayu untuk mengundi DAP, dan orang bukan Melayu untuk mengundi PAS.
“Dakwah Nik Aziz lebih terbuka, dan gerakan mengukuhkan hubungan PAS di kalangan orang bukan Islam dilakukan dengan begitu intensif,” kata Mohd Hisomudin Bakar dari badan kajian politik, Ilham Centre.
Dua tahun adalah tempoh singkat, namun tidak bagi dunia politik, dan perubahan yang berlaku ke atas PAS membuktikan demikian.
Hanya 4 bulan selepas kematian Nik Aziz, PAS mengalami perubahan besar, apabila golongan konservatif yang selama beberapa dekad mencorakkan parti itu kembali berkuasa. Hampir kesemua pemimpin yang mahu membawa parti itu ke pentas politik arus perdana dengan cara berpaut pada Pakatan Rakyat, tiba-tiba mendapati diri mereka hilang jawatan.
Ia membawa kepada perpecahan dalaman dan penubuhan Amanah 3 bulan kemudian. Dan disusuli dengan terbubarnya Pakatan Rakyat, digantikan dengan Pakatan Harapan yang sehingga kini hanyalah “bayang-bayang” kepada kekuatan Pakatan Rakyat.
Bagaimana pula dengan PAS?
“PAS mengalami perubahan ketara, boleh dikatakan 180 darjah,” kata Hisomudin, sambil menambah ia kembali ditolak pengundi bukan Islam seperti mana di zaman sebelum 1990-an ketika PAS selesa dengan sokongan di Pantai Timur.
“PAS semakin hilang arah,” kata Dr Aziz Bari, pensyarah undang-undang yang menyertai DAP.
Sekiranya ada satu perkara untuk membuktikan bagaimana PAS berubah sejak pemergian Nik Aziz, ia adalah usahanya meminda undang-undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dengan sokongan Umno dan pelbagai pertubuhan lain yang selama ini tidak mendokong perjuangan pembangkang.
Gambaran keakraban PAS dengan Umno, antara larangan Nik Aziz yang paling tegas, sudah beberapa kali berlaku, apabila pemimpin kedua-dua parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Najib Razak, berkongsi pentas.
Sukar untuk kita membayangkan perkara serupa di bawah Nik Aziz.
“Jika akar umbi terus mabuk dan terpukau dengan Hadi, PAS akan hancur. Dengan politik sekarang ini, yang tidak mahu kerjasama (gabungan dengan Pakatan Harapan) disebabkan ada DAP dan Amanah,” kata Aziz Bari.
Dua tahun berlalu dan PAS masih belum dapat mencari ganti kepada Nik Aziz.
“Barangkali (Timbalan Presiden) Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, tetapi sedikit terhalang kerana dibayangi presiden. Saya lihat ada akar umbi PAS yang masih kekal kerana harapan yang dibawa Tuan Ibrahim,” kata Hisomudin.
Namun dengan mengambil kira langkah politik PAS pada masa ini, adakah parti itu berminat mencari pengganti “Tok Guru”? FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.