`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Monday, February 27, 2017

BR1M Duit Kita Sendiri

Image result for BR1M 2017

A Kadir Jasin


SEKARANG musim Brim. Sebenarnya bukan Brim tapi BR1M, singkatan bagi Bantuan Rakyat 1Malaysia.


Berita media arus perdana bagi gambaran BR1M adalah contoh kejayaan Perdana Menteri Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil, Mohd Najib Abdul Razak.

Kejayaan macam mana? Kejayaan bagi rakyat miskin di antara RM450 dan RM1,200 sekeluarga setahun?

Kalau tengok bilangan yang minta dan dapat, kita terpaksa tanya adakah rakyat jelata kita tambah miskin tahun demi tahun atau tambah tamak.

Pasal apa saya kata macam itu? Pasal, tahun lepas 7.2 juta orang minta BR1M tapi tahun ini 8.2 juta. Naik satu juta orang. Boleh baca di sini.

Maksudnya dalam masa 12 bulan sejuta orang rakyat jelata kita jatuh ke dalam bakul kemiskinan 1MDB.

Apabila rakyat jelata jatuh miskin, mereka tentulah gembira terima apa saja bantuan walaupun tak banyak mana.

BR1M Kayu Ukur Baru Kemiskinan Rakyat Jelata
Pasal apa saya kata macam itu? Jawabnya, pasal apa yang mereka dapat dalam bentuk BR1M adalah sangat sedikit berbanding kenaikan kos sara hidup.

Pasal kos sara hidup melambung? Jawabnya, antara lain, adalah sebab subsidi dihapuskan, tambang pengangkutan naik, tol naik, tarif elektrik naik, bayaran hospital kerajaan naik, tambang bas sekolah naik, harga petrol naik, harga ikan kembung naik. Senarainya berterusan.

Oh ya, jangan lupa kesan nilai tukaran duit kita yang jatuh lebih 20 peratus berbanding dolar Amerika sejak dua tahun lepas.

Bila nilai RM jatuh, harga semua harga barang import naik. Yang terbaru harga beras untuk Sabah dan Sarawak.

GST Selamatkan Siapa?

Najib kata GST selamatkan negara. Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sokong. Biasalah. Dia kata, GST penggerak utama ekonomi negara.

Saya tak mahu bahas dengan Abdul Hadi pasal pengetahuan agama saya ibarat kail panjang sejengkal. Tentu tak terlawan pengetahuan agama Abdul Hadi yang sedalam lautan.
GST: Abdul Hadi setuju dengan Najib

Tapi saya tahu sedikit sebanyak berkenaan ekonomi. Mana yang saya tak tahu, saya tanya orang yang tahu.

Baru-baru ini saya tanya seorang ahli ekonomi dan penyelidik muda yang sedang naik namanya, apakah BR1M boleh atasi kesan GST ke atas orang miskin?
Dia jawab macam ini:

"Kutipan GST tahun 2016 kira-kira RM39 bilion. Bilangan isi rumah di Malaysia 6.35 juta. Jadi bayaran purata GST setiap isi rumah kira-kira RM6,141 setahun.

“Ini anggaran kasar sebab perniagaan pun bayar GST. Saya tidak tahu peratusan GST yang dibayar oleh pengguna dan perniagaan."
BR1M dijangka akan dinikmati oleh tujuh juta penerima dengan jumlah besar RM6.8 juta.

Maksudnya apa yang dibagi sebagai BR1M hanyalah sebahagian kecil saja daripada beban GST yang ditanggung oleh rakyat jelata. Kerajaan kutip RM39 bilion tapi bagi balik RM6.8 juta. 
Itu belum lagi dikira kenaikan harga barang dan perkhidmatan macam saya sebutkan di atas.

Jadi kalau kita kaji dan halusi, susah kita nak telan hujah yang kata GST selamatkan negara dan BR1M bantu rakyat jelata atasi kos sara hidup yang melambung.

Pasal apa saya kata macam itu? Pasal kutipan GST sekadar tampung sebahagian kecik hasil kerajaan yang jatuh merudum akibat kemerosotan harga minyak dan komoditi.
Sebaliknya, beban yang ditanggung oleh rakyat jelata akibat pengurusan ekonomi yang terlalu sangat utamakan sistem pasaran bebas bebankan rakyat jelata, khususnya golongan pendapatan rendah.

Sebab itu lah bilangan pemohon dan penerima BR1M melambung.

BR1M Rebat Cukai

Nak bagi mudah faham, saya kata macam ini: Kerajaan ambil banyak duit rakyat melalui GST dengan tangan kanan dan bagi balik sikit melalui BR1M dengan tangan kiri.

Apa yang rakyat dapat dalam bentuk BR1M adalah duit mereka sendiri. Dalam bahasa perniagaan dan percukaian dipanggil rebat (rebate).

Jawapan jangka sederhana dan panjang kepada masalah ekonomi negara kita sekarang adalah kita berusaha kembalikan kepercayaan (trust) pelabur dan pengguna kepada pentadbiran negara.

Kepercayaan pelabur asing dan tempatan merudum akibat skandal macam 1MDB, SRC International, hutang negara dan hutang kerajaan yang terlalu tinggi dan  manipulasi institusi-institusi negara bagi melindungi Najib.






Pelabur dalam dan luar negara bukan tak percaya kepada kita pasal kita pencuri, penyamun, penyangak, kawar dan  jemuan haramzada.

Orang tak percaya kepada kita pasal Jabatan Kehakiman Amerika (DoJ) kata, MO1 (Malaysian Official 1) atau Pegawai Nombor 1 Malaysia adalah seorang kleptokrat.

Kleptokrat adalah dari bahawa Greek yang bererti pemimpin yang curi duit negara dan duit rakyat jelata.

Jadi DoJ guna KARI - Kleptocracy Asset Recovery Initiative - untuk rampas duit 1MDB yang kleptokrat curi.

Mula-mula kita tak tahu atau tak berapa jelas siapa MO1. Tapi, Alhamdulillah dan terima kasih kepada Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional, Datuk Abdul Rahman Dahlan, pasal sahkan kepada Badan Penyiaran British (BBC) yang MO1 itu adalah Najib.

Abdul Rahman tunjuk Najib sebagai MO1
Pelabur bodoh atau pelabur yang rasuah saja akan datang melabur di negara kita selagi kita diperintah oleh seorang kleptokrat.

Oleh kerana itu, kita janganlah jadi rakyat jelata kelas dedak yang gadai negara dengan sebab dibagi BR1M yang sebenarnya adalah duit kita sendiri.

Ambil dan belanja dengan bermanfaat.

Wallahuaklam.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.