`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Wednesday, February 15, 2017

BN AKAN TETAP MENANG?

img832.imageshack.us_img832_3761_flagsw
Rahimi Osman
Minggu lepas, saya berjumpa dengan beberapa orang rakan yang dahulunya UMNO, tetapi kini telah menyertai parti pembangkang. Bagi saya tidak ada masalah untuk ‘lepak’ dengan mereka, berbeza padangan politik ini tidak seharusnya dijadikan sebab untuk bermusuhan. Jika Tun Mahathir dan Anwar akhirnya boleh berkawan, kenapa tidak yang di bawah ini. Selagi tidak menolak konsep asal penubuhan Malaysia, maka perbezaan itu cumalah perbezaan padangan mengenai sesuatu isu.
Antara topik utama yang dibicarakan adalah di mana kekuatan sesebuah parti politik? Saya lontarkan pendapat berdasarkan pengalaman saya yang tidak seberapa.
Selalunya di Malaysia, kekuatan sesebuah parti itu diukur dengan jumlah kehadiran perhimpunan, ceramah ataupun kongres. Saya lihat kawan-kawan dari PPBM selalu berbangga dengan kehadiran ribuan orang ke ceramah Tun Mahathir di merata tempat. Jadi adakah ini boleh dijadikan kayu ukur keputusan PRU nanti?
Tidak! Saya teliti dan lihat gambar-gambar ceramah Tun Mahathir, ianya masih tidak boleh malah jauh untuk melawan kehadiran ceramah reformasi Anwar pada tahun 1998 dan juga pra-tsunami politik 2008. Walaupun Tun M mencatatkan kehadiran ribuan orang, tetapi tidak mampu mencapai jumlah seperti Anwar. Ketika saya bertugas dengan Anwar, saya bertangggungjawab menyusun program-program ceramah menjelang PRU2008. Secara purata Anwar akan berceramah dalam 7-9 program pada satu hari.
Jika kehadiran kurang dari 5 ribu untuk program pada siang hari dan kurang dari 10 ribu untuk ceramah perdana waktu malam, ianya dianggap ‘gagal’. Anwar tidak akan gembira dan saya perlu buat post mortem. Kerana selalunya pada setiap ceramah Anwar mampu menarik minima 10-15 ribu orang di sesuatu tempat.
Dengan kekerapan ceramah dan kekuatan kehadiran seperti ini pun, ianya masih belum mampu menumbangkan Barisan Nasional. Isu sewaktu itu pun banyak, dan harga petrol ketika itu adalah RM2.70 seliter!
Jadi di mana terletaknya kekuatan UMNO dan Barisan Nasional? 
Walaupun kita lihat di media sosial dan di bandar-bandar orang ramai marahkan BN atas pelbagai isu.Persoalannya, adakah yang memaki hamun BN dan Najib di media sosial ini pengundi? Adakah mereka mengundi di kawasan yang BN menang ataupun kebanyakan mereka mengundi di kawasan-kawasan bandar yang memang BN sudah kalah? Jika tambah 100 ribu undi pembangkang di setiap kawasan bandar pun, tidak akan ada kesan kepada BN.
Jumlah undi keseluruhan BN mungkin akan berkurangan, itu sahaja. Tetapi daripada segi kerusi saya yakin BN akan terus mengekalkan majoriti di Parlimen.
Kekuatan sebenar UMNO dan BN terletak pada beberapa faktor. Antaranya adalah pada wakil rakyat, calon dan jentera parti di bahagian-bahagian. Mereka ini kerap turun ke kawasan dan menyantuni pengundi. Orang Melayu ini hatinya lembut, walaupun marah dengan kenaikan harga minyak masak tetapi mereka tidak akan sampai hati undi calon lain selain dari YB mereka. Manakan tidak, kalau di kedai YB belanja minum kopi, bila sakit atau mati YB pasti datang, anak nak sekolah YB tolong, anak masuk universiti YB tolong, bayar bil elektrik tertunggak pun YB bantu.
Berbanding dengan pembangkang yang kerap menghantar calon payung terjun, sudah tentu pengundi lebih selesa dengan calon mereka sendiri yang mereka kenali. Jika pembangkang menurunkan calon tempatan sekali pun, calon tersebut kurang dikenali kerana tidak selalu memberikan khidmat kepada pengundi. Mereka cuma dikenali melalui penganjuran program ceramah menghentam kerajaan.
Bila saya pulang ke Pekan, saya selalu bertanya kepada pengundi-pengundi di sana mengenai Najib. Ada yang sambil menitiskan air mata kasihankan Najib yang selalu diserang, dia kata orang kampungnya sangat kasihkan pada Tun Razak dan Najib yang selalu membantu mereka. Inilah sentimen orang kawasan Najib terhadap Najib sendiri, walaupun di bandar ramai yang menentang. Sebab itu bila Tun Mahathir ajak orang kalahkan Najib di Pekan, saya cuma mampu ketawa sahaja. Ini saranan tak masuk akal. Tambahan pula di Pekan terdapat kem Tentera yang cukup besar, kebiasaannya Tentera akan mengundi kerajaan memerintah sedia ada.
Ada beberapa Menteri dan Ahli Parlimen BN yang selalu dikutuk dan dibenci oleh orang ramai, tetapi bila tiba waktu PRU mereka ini tetap menang besar di kawasan masing-masing. Mungkin apa yang mereka tidak tahu, Menteri dan MP ini setiap minggu turun ke kawasan kadang-kadang berkain pelikat dan menaiki motor untuk bertemu serta membantu rakyat.
Perpecahan Pembangkang
Antara faktor lain adalah perpecahan pembangkang itu sendiri. Semakin dekat dengan Pilihanraya semakin besar retak mereka. Lebih-lebih lagi apabila perbincangan pengagihan kerusi diadakan. Jika dahulu Anwar berjaya untuk memastikan satu lawan satu di Semenanjung, tetapi Anwar masih gagal memastikan perkara yang sama di Sabah dan Sarawak. Walaupun Anwar berulang kali ke Sabah dan Sarawak untuk berunding, tetapi parti politik di sana mempunyai pendirian masing-masing dan tidak mudah menyerah kalah dalam perbicangan.
Kini dengan adanya beberapa parti baru yang mempunyai kekuatan tersendiri seperti PPBM dan Warisan, pengagihan kerusi akan bertambah rumit. Adakah PKR dan DAP akan memberikan laluan kepada kerusi yang mereka sudah menang? Ataupun parti-parti baru ini akan tercampak ke kerusi kubu-kubu kuat BN dan mungkin terpaksa lawan 3 penjuru dengan parti pembangkang lain? PAS yang sudah tidak sehaluan dengan Pakatan Harapan juga pasti akan masuk gelangang.
Jika di Semenanjung pun sukar untuk berunding satu lawan satu, apatah lagi di Sabah dan Sarawak. Dan tidak ada parti boleh memerintah kerajaan Persekutuan tanpa mendapat jumlah kerusi yang banyak di Sabah dan Sarawak. Janganlah penyokong pembangkang di Semenanjung marah pada rakyat di Sabah Sarawak kerana terus menerus mengundi BN sedangkan pemimpin pembangkang sendiri tak boleh berkerjasama.
Rakyat juga akan tertanya, dengan segala ikon yang ada dalam setiap parti blok pembangkang, siapa akan jadi Perdana Menteri jika mereka menang? Anwar, Wan Azizah, Mukhriz, Muhyiddin, Azmin atau Mahathir? Ini bukan soal kecil, kalau hari ni menang esok sudah mula gaduh, ke mana rakyat dan negara? Adakah kerajaan yang mereka tubuhkan tidak akan berkepala sehingga mereka selesai berbincang? Itupun jika perbicangan tersebut boleh selesai. Kerusi Perdana Menteri ini lain macam panas nya!
Jadi pengundi akan mengambil jalan selamat dengan mengundi BN, sudah tentu esok tidak ada yang bergaduh nak jadi Perdana Menteri. Jika Najib adalah Presiden UMNO maka Najib lah yang jadi Perdana Menteri. Presiden parti-parti komponen faham dan setuju hal itu, tidak dipertikai dan tiada masalah.
Ilusi ‘Angin Perubahan’
Perkara di atas tidak akan berubah, bukan dalam masa terdekat. Sudah lebih 10 tahun pembangkang berbicang dan berwacana, hasilnya tetap sama. Malah semakin besar keretakan yang berlaku. Penyokong pembangkang perlu menghadapi realiti bahawa perbicangan pemimpin mereka tidak lebih seperti lepak minum teh tarik di kedai mamak. Apabila keluar kata-kata dari pemimpin pembangkang mengatakan bahawa mereka akan berbicang dan mencari kata sepakat, saya dan beberapa rakan yang pernah bertugas di sana mesti ketawa besar. Dari dulu, itulah yang disebut setiap kali mesyuarat… dah 10 tahun!
Akhirnya penyokong pembangkang akan terus dibuai mimpi dengan ilusi ‘angin perubahan’ sedangkan pemimpin pembangkang tahu ianya mustahil. Tiba pilihanraya anak-anak muda ini akan optimis bahawa parti pembangkang akan menumbangkan BN. Mereka akan menjerit i|Inikalilah! Dan pada malamnya mereka sendiri akan kecewa dengan keputusan PRU.
Saya punyai ramai rakan di bandar yang menyokong pembangkang. Rakan sekolah saya di Damansara juga majoritinya menyokong pembangkang dan yakin BN akan tumbang. Sudah beberapa pilihanraya keyakinan mereka tetap tidak berubah. Sebabnya, mereka tidak tahu kekuatan BN kerana tidak pernah turun ke kawasan luar bandar dan tengok cara BN bekerja.
Wakil rakyat BN turun kampung setiap minggu, beri khidmat dan beri pelbagai bantuan. Pemuda, Wanita, Puteri UMNO juga begitu – wajb setiap minggu ada program dengan rakyat. Program penerangan, sukan, kebajikan, keusahawanan dan macam-macam lagi. Di setiap kawasan pula wujud beberapa koperasi dengan sokongan YB untuk jana pendapatan rakyat setempat.
YB dan pemimpin bahagian kenal hampir semua orang dan hampir semua orang di kawasan tersebut pernah bertemu YB. Tidak kira lah di pejabat, kenduri, pasar malam atau kedai kopi. Mereka nampak batang hidung YB.
Pada waktu yang sama cuba pergi cari jentera atau pemimpin pembangkang di kawasan tersebut,  jika tidak di program ceramah umum maka mereka akan ceramah di kedai kopi. Itu sahaja. Apa yang saya nyatakan ini dalah realiti di kebanyakan kawasan luar bandar yang menjadi kubu kuat BN.
Ramai yang ketawa apabila ceramah-ceramah atau program UMNO cuma dihadiri 100-200 orang, tetapi hakikatnya 100-200 itu adalah benar-benar pengundi di kawasan tersebut. Ianya cara menyampaikan mesej yang lebih berkesan berbanding ceramah pembangkang yang mampu menarik ribuan orang tetapi ramainya adalah ‘political tourist’.
Beberapa pilihanraya telah diadakan selepas kerajaan perkenalkan sistem cukai yang cukup kontroversi iaitu GST. PRK Rompin – selang sebulan selepas GST dilaksanakan menyaksikan BN kekal menang dengan majoriti selesa. PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar juga diadakan selepas segala isu seperti 1MDB, GST dan Mahathir vs Najib timbul tetapi BN masih menang besar. Begitu juga PRN Sarawak menyaksikan BN menyapu hampir kesemua kerusi yang ditandingi.
Saya bukan bersikap yakin dan angkuh kerana saya sekarang ahli UMNO, ini adalah realiti sebenar. Ketika kempen PRU 2008, saya tanya Anwar sendiri “Datuk Seri yakin kita boleh menang?”. Anwar cuma jawab “yakin kurangkan majoriti 2/3 BN”. Bila saya tanya kenapa tidak yakin boleh tubuh kerajaan terus dia cuma senyum dan cakap “Sabah Sarawak mana kita boleh menang”. Sebabnya mudah, kerana di sana pertadingan lebih dari 2 penjuru.
Tetapi Anwar tetap tunjuk yakin dalam setiap ceramahnya dengan berkata BN akan tumbang dan dia akan turunkan harga minyak lepas jadi Perdana Menteri. Itulah yang terjadi hari ini, penyokong terus dibuai mimpi kerana pemimpin ‘buat-buat yakin’ BN akan tumbang.
Sewaktu 2008 dan 2013, boleh dikatakan kekuatan dan kesatuan pembangkang itu berada di tahap tertinggi. Tetapi masih tidak boleh mengalahkan BN, apa yang buat anda rasa BN akan tumbang dalam keadaan pembangkang berpecah sekarang?

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.