`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, April 16, 2017

Jururawat Malaysia jadi rebutan hospital Singapura

Pertukaran dolar Singapura yang tinggi, kelebihan dari segi persekitaran dan geografi menyebabkan negara jiran itu menjadi pilihan terbaru buat jururawat dari Malaysia.
Singapura,-jururawat,-Arab-SaudiPETALING JAYA: Kemahiran bertutur pelbagai bahasa dan latihan profesional yang dijalani jururawat dari Malaysia menyebabkan mereka menjadi rebutan hospital luar negara, khasnya Singapura ekoran pertukaran mata wang asing yang tinggi.
Menurut laporan Guang Ming Daily, JobStreet.com mempunyai lebih 300 kekosongan jururawat, tetapi lebih 200 daripadanya diperlukan di hospital Singapura.
Selain hospital, klinik swasta dan klinik pergigian di negara jiran itu turut mencari jururawat dari Malaysia.
Jika sebelum ini ramai jururawat Malaysia berhijrah ke Arab Saudi untuk bekerja di sana, kini pertukaran dolar Singapura yang tinggi, kelebihan dari segi persekitaran dan geografi menyebabkan negara jiran itu menjadi pilihan terbaru buat jururawat tempatan.
Penolong ketua jururawat di Penang Adventist Hospital, Nor Aida dipetik akhbar itu sebagai berkata, kira-kira 70% jururawat di hospital itu meletak jawatan dan bekerja di Singapura, tahun lalu.
Beliau berkata, Kolej Kejururawatan Dan Sains Kesihatan Adventist mempunyai 2 semester setahun dan kadar pendaftaran pelajar baharu mencecah 60%. Selain pelajar tajaan Penang Adventist Hospital, hospital lain seperti Hospital Gleneagles turut menghantar pelajar tajaan mereka ke kolej itu.
Katanya, kolej itu berjaya melahirkan ramai jururawat setiap tahun, namun pertukaran dolar Singapura semakin tinggi menyebabkan pengaliran keluar jururawat yang serius disebabkan kemahiran berbahasa dan latihan profesional yang mereka lalui.
“Pelajar tajaan Penang Adventist Hospital perlu berkhidmat dengan hospital kami selama 6 tahun. Tetapi, sejak 3 tahun lalu, ramai graduan sanggup membayar pampasan untuk menamatkan kontrak perkhidmatan sebelum genap 6 tahun kerana diambil bekerja di hospital swasta Singapura.”
Buat masa ini, katanya, Penang Adventist Hospital mempunyai kira-kira 500 kakitangan perubatan dengan seitar 360 jururawat berdaftar. Gaji asas jururawat yang memiliki diploma profesional kira-kira RM1,800.

“Gaji asas yang ditawarkan hospital di Singapura bagi lepasan diploma tidak banyak beza dengan hospital tempatan. Tetapi, disebabkan kadar tukaran dolar Singapura yang tinggi, jadi orang merasakan gaji mereka lebih tinggi.”
Ketika ini, RM3.15 bersamaan S$1. Beliau berkata, ini menjadikan gaji jururawat tempatan tidak boleh dibandingkan dengan kadar tukaran mata wang Singapura, Arab Saudi dan Britain yang tinggi.
Katanya, antara jabatan yang kekurangan jururawat di Penang Adventist Hospital ialah unit rawatan rapi (ICU), bilik pembedahan dan unit lain yang tugasnya lebih mencabar.
Bagi mengatasi masalah itu, beliau berkata, hospital berkenaan akan memberikan latihan dalaman kepada penolong jururawat supaya mereka boleh menangani unit lain yang tugasnya lebih mencabar.
Menurut statistik Kementerian Kesihatan, Malaysia kini memiliki kira-kira 96,598 jururawat, namun ia masih tidak cukup menampung keperluan pasaran.
Seorang jururawat berpengalaman yang hanya dikenali sebagai Wong berkata, jururawat tempatan akan memilih gaji tinggi yang ditawarkan hospital luar negara kerana di Malaysia, mereka perlu berdepan tekanan daripada pesakit dan keluarga, selain dokumentasi yang banyak.
“Sebelum ini saya pernah bekerja di Arab Saudi, sekarang ramai yang pergi ke Singapura disebabkan kadar tukaran dolar Singapura yang tinggi dan lokasinya tidak jauh dari Pulau Pinang, lebih mudah hendak balik kampung,” katanya yang pernah bekerja di hospital kerajaan sebelum melompat ke hospital swasta di Malaysia dan Singapura.
Beliau berkata, jururawat yang baru menghabiskan pengajian boleh mendapat gaji S$2,700 di hospital swasta Singapura, lebih tinggi daripada jururawat berpangkat tinggi di Malaysia.
“Jika anda mempunyai diploma dalam bidang khusus, anda lebih senang diupah hospital negara lain,” katanya sambil menambah beban kerja jururawat berkurangan kerana hospital di Singapura lebih bersistematik dan mempunyai peralatan lebih canggih.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pelawat Hospital Pulau Pinang, Lim Thoon Deong dipetik Guang Ming Daily berkata, hospital itu mempunyai kira-kira 1,800 jururawat dan aliran jururawat sekitar 5% setiap tahun.
Katanya, kadar aliran itu termasuk penempatan semula, melanjutkan pelajaran dan meletak jawatan, tetapi hospital kerajaan tidak berdepan masalah kekurangan jururawat.
“Ketika ini, gaji asas jururawat lepasan diploma ialah RM1,600 dan kira-kira RM2,000 termasuk elaun. Bagi pemegang ijazah pula, gaji asas ialah RM2,259 dan RM2,800 termasuk elaun. -Mkini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.