`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, April 21, 2017

Peguam: Banglo Adam Rosly boleh diduduki walaupun disita

Fahmi Abd Moin berkata, Adam Rosly tidak dihalau dari banglonya, cuma beliau tidak boleh menjual atau memindah milik hartanah berkenaan.
Adam-Rosly-jamal-yunos_bangloPETALING JAYA: Walaupun banglo Ketua Pemuda PKR Ampang, Datuk Adam Rosly sudah disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetapi rumah itu masih boleh diduduki, kata seorang peguam.
Fahmi Abd Moin yang pakar dalam mengendalikan kes jenayah berkata, terdapat 2 kategori harta boleh disita SPRM, iaitu harta boleh diambil alih dan tidak boleh diambil alih yang disyaki dibeli dengan wang suapan.
“Apabila proses sita dilakukan, harta yang tidak boleh diambil alih seperti rumah akan diletakkan sekatan (sementara) oleh pendaftar di pejabat tanah.
“Maknanya tuan rumah tidak boleh pindah hak milik selagi kesnya dalam siasatan. Penghuni tidak dihalau keluar, cuma ia tidak boleh dijual,” katanya kepada FMT hari ini.
Beliau berkata, harta boleh diambil alih pula ialah wang tunai atau simpanan di dalam bank, kereta dan barang kemas.
“Sebagai contoh keretanya diambil dan disimpan di pejabat SPRM. Kalau SPRM ada bukti barang yang dirampas itu ada unsur rasuah, ia akan dirampas, termasuk beg tangan buatan Itali yang mahal.
“Harta itu akan disimpan dalam stor khas, tidak boleh dijual selagi kes masih berjalan. Manakala kereta pula yang mengalami penurunan harga dan jika masih terikat dengan pinjaman, peguam akan mencadangkan ia dijual dan baki wang itu akan simpan,” katanya.
Semalam, SPRM mengesahkan banglo Adam di Ampang yang dibeli dengan wang tunai RM1.2 juta sudah disita dan beliau didakwa ke mahkamah hari ini.
Fahmi berkata, SRPM membuka 2 kertas siasatan – Seksyen 32(8)(c) dan Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla) yang membolehkan hartanya disita.
“Di bawah Amla, mana-mana agensi siasatan seperti polis, SPRM, Bank Negara Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mempunyai kuasa menyita dan membekukan apa-apa harta yang disyaki terlibat dengan sumber tidak sah.
“Jadi, apa-apa harta yang dibeli menggunakan wang rasuah akan disita bagi tujuan siasatan,” katanya sambil menambah siasatan di bawah Amla perlu diselesaikan dalam tempoh 12 bulan, sama ada suspek dituduh atau tidak.
“Kalau ada pertuduhan, sepanjang kes berjalan sampai akhir rayuan, jika didapati bersalah, rumah itu akan dirampas kerajaan.”
Adam didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 6 pertuduhan berkaitan keterangan palsu. Hakim menetapkan wang jaminan RM300,000 dan mengarahkan pasport tertuduh dirampas.
Beliau yang didakwa di bawah Seksyen 32(8)(c) dan Seksyen 89 Amla boleh didenda sehingga RM3 juta dan penjara tidak melebihi 5 tahun, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, sumber SPRM yang dihubungi FMT berkata, agensi itu mempunyai kuasa menyita aset suspek yang didapati dibeli dengan wang haram dan memiliki kekayaan luar biasa yang tidak dapat dibuktikan sumbernya.
Beliau berkata, penahanan Adam berpunca daripada tindakannya memberi dokumen palsu kepada SPRM.
Pemuda berusia 28 tahun itu ditahan ketika hadir di ibu pejabat SPRM pada 13 April lalu bagi memberi keterangan berhubung siasatan kekayaan luar biasa yang dimilikinya. Tempoh reman Adam dilanjutkan 4 hari lagi bermula Rabu lalu.
Kekayaan Adam menjadi perhatian selepas Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos mempertikaikan rumah besar dan kereta mewah yang dimilikinya, walaupun baru sepenggal memegang jawatan dalam parti.
November lalu, Jamal membawa wartawan menaiki helikopter meninjau banglo milik Adam, sambil mempersoalkan sumber kekayaan pemimpin Pemuda PKR itu, disusuli Ketua Umno Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo membuat laporan SPRM terhadap Adam. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.